Isnin, 27 Jun 2016

China : Kapitalis yang memakai baju komunis



Di abad yang ke-21 ini setelah kejatuhan blok Soviet Union, hanya tinggal beberapa negara yang masih berdiri dengan ideologi komunisme, sebahagian besar dunia telah menerima dan sebati dengan sistem kapitalis dan konsumerisme. Antara negara-negara ini ialah China, Cuba dan juga Korea Utara.

Ramai orang kagum dengan kejayaan komunisme di era puncak mereka. Sesetengah pemimpin barat berkata "I've seen the future" apabila melihat kejayaan sistem komunis. Soviet Union dilihat sebagai model masa depan bagi negara yang ingin membangun. Soviet merupakan kuasa pengimbang yang menyaingi Amerika Syarikat dan Britain satu ketika dahulu. Mereka berjaya mendahului dalam pelbagai sudut, ketenteraan, sukan, mereka juga terkenal apabila berjaya menghantar Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa. Pemimpin-pemimpin negara Islam turut terpengaruh dan kagum dengan mereka, mereka menjalin kerjasama erat dengan blok komunis, antaranya Iraq dan Syria dan lain-lain. Namun kisah cinta ini berakhir pada tahun 1991 apabila blok Soviet Union berpecah secara rasmi di tangan Gorbachev.

Idea komunis lahir dari pemikiran Karl Marx, juga dikenali sebagai Marxist. Pada tahun 1848 Karl Marx dan Friedrich Engels menerbitkan ideologi mereka di dalam The Communist Manifesto. Yang menjadi sumber utama fahaman komunis. Jika kita membaca tulisan ini, kita akan dapati ayat-ayat yang penuh semangat, semangat memperjuangkan hak kaum proletariat menentang kaum bourgeois. Jika kita melihat ideologi Marx dan Engels dari sudut ekonomi, asas kepada komunisme adalah pengharaman pemilikan harta. Setiap harta adalah kepunyaan 'state' atau penguasa. Ini adalah punca kegagalan Soviet Union apabila ia telah berkembang begitu besar, dan setiap harta harus di hantar ke Moscow. Menyebabkan negeri-negeri jauh ditimpa bencana kelaparan kerana hasil tani perlu dihantar ke Moscow. Akhirnya membawa kepada ketidakstabilan. 

Jadi mari kita lihat dua asas ini, dan lihat apa yang berlaku di China. Yang pertama adalah perjuangan proleteriat atau kaum buruh  melawan kekuasaan bourgeois yang merupakan kaum bangsawan atau feudal. China menjadi republik dibawah pemerintahan Mao Zedong pada 1949 selepas beberapa siri perang saudara. Mao yang sangat kuat keimanannya kepada komunisme mengikuti jejak langkah yang sama dalam hal-hal ekonomi seperti blok Soviet. Ekonomi merosot ke tahap yang sangat dahsyat, dianggarkan 45 juta manusia mati hingga tahun 1961 dibawah model ekonomi komunis Mao. Dari sudut pandangan pertama kita melihat asas komunis proletariat melawan bourgeois, ia tidak ada sejak dari awal pemerintahan Mao. Kerana kaum pekerja (proletariat)  terus ditindas dan harus bekerja sehingga mati untuk keselesaan kaum bourgeois. Kaum bourgeois bukan lagi feudal dinasti China tetapi merupakan ahli tertinggi parti komunis China.

Asas kedua dalam sistem komunis adalah pengharaman pemilikan harta atau 'private ownership'. Semua adalah milik kerajaan atau 'the state'. Selepas kematian Mao Zedong, pada 1978 Deng Xiaoping mengambil alih kuasa. Ini adalah turning point dimana China hanya komunis pada nama. Xiaoping memulakan reformasi ekonomi dengan membuka pasaran China kepada dunia. Melonggarkan peraturan dagangan dan membenarkan pemilikan harta. Ia bukan lagi ekonomi komunis, tetapi ekonomi kapitalis dengan acuan China.

Sebab itu, kita dapati kilang-kilang yang menindas hak pekerja kebanyakannya di China. Walhal fahaman komunis itu sendiri diasaskan untuk memperjuangkan hak pekerja iaitu kaum proletariat. Walaupun China masih di pimpin oleh parti komunis, ia telah lama meninggalkan ideologi komunis.

Tiada ulasan: