Khamis, 9 Jun 2016

Lean in : Women, Work and The Will to Lead



Saya mula tertarik dengan buku ini semasa membaca perbincangan di laman sosial syarikat semasa hari wanita. Post tersebut menyenaraikan wanita-wanita yang menjadi simbol pemerkasaan wanita dunia. Sheryl adalah antara yang tersenarai, bersama bukunya. Selepas mendengar TED talk yang disampaikan beliau, saya semakin tertarik untuk membaca bukunya. Ketika di PBAKL2016, saya tidak sangka akan bertemu dengan buku ini.

Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa buku ini adalah The Feminist Manifesto, tetapi bagi saya ia adalah perbincangan yang jujur berkenaan dengan dilemma yang dihadapi wanita terutamanya dalam kerjaya. Saya masih ingat kata-kata bekas perdana menteri Malaysia, kita memerlukan wanita dalam workforce, jika tidak kita akan kehilangan 50% daripada sumber manusia yang kita ada. Namun buku ini saya kira, bukan lah khas buat wanita, ia juga sangat bermanfaat bagi seorang suami dan ayah, bagaimana kita dapat memahami dan membantu.

Selain itu, buku ini juga sangat baik untuk lelaki dan juga wanita dalam memahami perkembangan karier, strategi dalam dunia korporat, juga nasihat-nasihat jujur dalam masalah-masalah berkaitan kerjaya.

Wanita pada hari ini mempunyai peranan yang berbeza dari wanita dahulu. Jika dahulu kerjaya-kerjaya seperti jurutera, pemandu kapal terbang, doktor, kebanyakannya di monopoli oleh kaum lelaki, namun kini peluang terbuka sama rata buat kedua-dua gender.

Namun wanita bekerjaya mempunyai kerisauan yang besar iaitu keluarga. Sering kali mereka menarik diri dari kerjaya untuk berkorban menjadi suri rumah untuk menjaga anak-anak. Jarang kita dengar lelaki yang berhenti kerja kerana ingin menjadi suri rumah (mungkin sura rumah buat lelaki). Perkara ini merugikan kerana bakat mereka tidak dapat digunakan.

Disinilah datangnya peranan lelaki. Suami seharusnya menjadi pendorong buat isteri untuk mereka berjaya di alam kerjaya. Suami tidak boleh bertindak sebagai bos di rumah. Tetapi haruslah ia mengambil bahagian dalam tugasan keluarga. Seharusnya suami tidak kekok menjaga anak, menyusukan anak, menyalin lampin bayi, membasuh baju, memasak dan sebagainya. Rasulullah sendiri menjahit sepatunya yang koyak, Baginda tidak hanya menjadi bos di rumah.

Buku ini juga mempunyai banyak nasihat perihal kerjaya, saya sarankan ia dibaca terutamanya buat para fresh graduate yang baru ingin memasuki alam pekerjaan.

1 ulasan:

pedangtertinggi berkata...

bila nak jumpa nak mintak nasihat terbaik utk menjadi suami