Penerbit: Rider, 2014
Sehari selepas saya tamat membaca buku ini, Kim Jong Nam telah dibunuh oleh pembunuh upahan Korea Utara di Malaysia. Ia merupakan peristiwa yang mengabsahkan kekejaman parti buruh komunis dalam usaha mempertahankan kuasa mereka.
Buku ini merupakan sorotan
pengalaman seorang penyair yang berkhidmat untuk Kim Jong-Il. Beliau mendapat
anugerah khas dari Kim Jong-Il atas puisinya yang patriotik pada usia yang
muda. Beliau kemudian berkhidmat di jabatan kerajaan yang bertanggung jawab
untuk menyebarkan propaganda ke luar negara juga dalam negara.
Beliau mendapat kebenaran khas
untuk membaca bahan-bahan terlarang termasuk bahan penerbitan Korea Selatan.
Dari pengalaman beliau melihat keadaan ekonomi dalaman Korea Utara dan
dibandingkan dengan kemajuan ekonomi Korea Selatan, Jang tidak dapat lagi
menafikan pemikiran beliau bahawa polisi ekonomi sosialis dan ideologi komunis
telah gagal di Korea Utara. Beliau berkongsi bahan bacaan terlarang dengan
rakan beliau Young-min, namun akhirnya diketahui oleh pihak berkuasa.
Akibatnya mereka berdua terpaksa
melarikan diri dengan menyeberangi sungai Tumen dan berlindung di Yanbian,
China. Namun di China mereka masih diburu atas tuduhan bunuh, mereka di kejar
oleh pihak berkuasa China dan juga Agen korea Utara. Mereka terpaksa
bersenbunyi di kaki-kaki bukit.
Di China, etnik Korea diiktiraf
sebagai etnik minoriti. Mereka inilah yang banyak membantu saudara mereka yang
melarikan diri dari Korea Utara. Kebanyakan rakyat Korea Utara melarikan diri
kerana keadaan ekonomi yang buruk, kelaparan, juga undang-undang yang kejam. Keadaan
ekonomi yang mundur ini hingga ke tahap seorang ibu terpaksa menjual anaknya
dengan harga 100 Won. Jang kemudian ke Shenyang , sebelum akhirnya berjaya
sampai ke konsul Korea Selatan di Beijing dan mendapat perlindungan. Jang
kemudian dipindahkan ke Seoul.
Selain kisah pelarian mereka,
buku ini mendedahkan pelbagai polisi dalaman Korea Utara yang didedahkan oleh Jang
selaku pegawai atasan dalam Parti Buruh Komunis. Antara polisi ini adalah
strategi penculikan warga Jepun bagi
dijadikan agen Korea Utara, bagaimana ‘Sunshine
Policy’ oleh Korea Selatan dimanipulasikan Korea Utara, bagaimana parti
memanipulasikan sejarah, juga didedahkan kemewahan dinasti Kim.
Buku ini juga berjaya
menyampaikan nilai kemanusiaan. Sepanjang pelarian mereka di China dan diburu
oleh Agen Korea Utara, banyak pihak telah membantu mereka. Ada yang baik hati
memberikan mereka makanan percuma, tempat tinggal, juga memberikan mereka wang
untuk membeli tiket bas. Ia merupakan pengajaran bahawa kita perlu melihat
seseorang itu lebih dari sekadar ideologi, agama, bangsa, tetapi sebagai
seorang manusia yang mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan