Sabtu, 12 Ogos 2017

Berfikir tentang pemikiran




Pemikiran merupakan sesuatu yang berubah, tidak statik tetapi dinamik. Seusia kita berubah, seputar zaman berlalu, banyak fakta berubah menjadi sejarah, banyak idea menjadi lesu dan basi. Sepanjang zaman suasana akan berubah, orang yang tidak mahu berubah akan ketinggalan, orang yang berani melihat perubahan sebagai satu pengembaraan dan sedia berubah akan kekal relevan.

Saya bukan lah peminat tegar Thomas Friedman, tetapi saya kira pemikiran nya ada betulnya. Banyak pekerjaan 10 tahun lalu telah pupus, dan banyak pekerjaan hari ini tidak ada 10 tahun yang lalu. Kata Friedman "Pekerja yang mempunyai kebolehan mempelajari perkara baru akan terus kekal relevan." Anda mungkin bagus pada pekerjaan anda sekarang, tetapi jika anda tidak mampu belajar perkara baru, anda akan menjadi tidak relevan beberapa tahun lagi.

Saya melihat ramai orang yang hidup dalam satu budaya, bangsa dan agama, dan sering menganggap dia telah berada dalam kebenaran. Dia tidak membaca pemikiran lain, tidak bergaul dengan masyarakat. Menjadikan minda mereka begitu sempit, seolah dunia ini hanya dihuni oleh mereka sahaja. Padahal dunia ini diwarnai pelbagai bangsa, agama, pemikiran, budaya, semuanya berharga dan menyumbang kepada warna warni dunia.

Saya merasakan sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah-langkah kecil untuk memahami dunia di luar konteks kefahaman kita.

Carl Sagan apabila melihat bumi yang diambil oleh camera Voyager-1 mengatakan "Manusia begitu sombong, membunuh dan berperang hanya untuk merebut sebahagian dari habuk dalam lautan kegelapan Cosmos". Ya, dari kapal angkasa yang telah jauh meninggalkan bumi, apa yang kita panggil bumi hanyalah satu pixel kecil cahaya, berbanding angkasa raya yang luas.

Jika kita tidak merubah pemikiran kita, kita akan melihat generasi akan datang sibuk dengan gosip-gosip artis, sementara manusia lain membina fusion reactor bagi menghasilkan tenaga hijau tanpa limit. Kemudian kita akan bertanya, mengapa kita tidak boleh maju?

Tiada ulasan: