Baru-baru ini ada seorang teman yang sedang mengemas rumah bersama keluarganya. Dirumahnya terdapat banyak buku yang ditinggalkan arwah ayahnya yang merupakan pensyarah sejarah di maktab perguruan, juga buku-buku arwah kakaknya yang merupakan seorang peguam. Dia menjemput saya melihat-lihat jika ada buku yang saya mahu sebelum beliau jual buku-buku tersebut pada orang lain atau dilupuskan.
Saya bukan seorang kolektor buku, cuma mungkin gemar membaca secara kecil-kecilan jika ada masa lapang. Banyak manuskrip-manuskrip tinggalan ayahnya yang merupakan manuskrip melayu lama, zaman cerita dieja dengan "cherita". Bagi kolektor buku, koleksi ayahnya ini pasti dianggap seperti "syurga". Banyak juga novel-novel saya dapati, terutamanya novel John Grisham, tetapi saya juga tidak berapa minat membaca novel walaupun pernah membaca naskah The Pelican Brief karya Grisham. Mungkin jika saya ambil pun novel-novel tersebut saya tidak akan membacanya, jadi lebih baik ia dijual pada orang lain.
Yang menarik minat saya adalah buku-buku anthropology, walaupun ia bukan bidang saya, saya sudah lama ingin mendalami sekolah anthropology - kajian berkenaan dengan manusia. Membaca diluar bidang sebenarnya satu aktiviti yang sangat berguna, selain menambah ilmu dan pengetahuan am, kita juga akan terdedah pada lingo orang didalam bidang tersebut, ia boleh digunakan dalam diskusi juga dalam melebarkan rakan dan kenalan. Buku-buku perihal ekonomi juga menarik perhatian saya, juga satu buku poket kecil berkenaan Socrates. Lama juga saya membelek-belek.
Entah bila saya mampu habiskan semuanya. Buku yang dibeli 10 tahun lalu pun ada lagi yang belum berusik, masih dibalut plastik. Pulang ke rumah saya perlu menyusun semula buku di rak, nampaknya perlu dibeli rak baru. Saya memang suka membaca dengan perlahan, saya tiada hajat untuk menjadi speed reader, bagi saya membaca adalah proses menghadam ilmu, perlukan masa untuk berfikir dan memahami, saya merasakan tidak berguna membaca dengan laju andai tiada apa kefahaman yang bertambah, tiada guna mengumpul koleksi buku jika ia tidak terkumpul menjadi ilmu. Jika saya tidak sempat membaca semua buku yang ada di dalam dunia pun tidak mengapa, kerana saya sedar masa, wang, dan tenaga kita terbatas. Oleh itu saya memilih-milih juga apa yang nak dibaca, bukan sekadar hentam keromo.
Selepas habis saya memilih buku, saya pun bilang pada teman saya "name the price". Dia kata "alah 20 ringgit sudah-lah". Saya pun girang, di Chowrasta pun tidak dapat harga sebegini, memborong buku seolah-olah memborong jiwa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan