Isnin, 3 Ogos 2020

Jihua Shengyu: Eksperimen Sosial Terbesar Dalam Dunia



Eksperimen sosial paling besar dalam sejarah dunia adalah jihua shengyu, yang bermaksud "program kawalan kelahiran" yang merupakan euphemism untuk terma yang lebih berterus terang - yitai zhengce, "polisi satu anak". Bagaimana polisi ini boleh terhasil? Menurut analisis Mei Fong dalam bukunya One Child: The Story of China's Most Radical Experiment, polisi ini lahir selepas kegagalan polisi-polisi seperti The Great Leap Forward dan Cultural Revolution yang menimbulkan persoalan terhadap legitimasi rejim Parti komunis yang memerintah China. Solusi mereka adalah untuk mencari legitimasi dari ekonomi, oleh itu China berusaha untuk membangunkan ekonominya.

Ekonomi bergantung kepada pengeluaran barangan dan juga penggunaan barangan, amat sukar untuk meningkatkan pengeluaran secara drastik, tetapi penggunaan boleh dikawal melalui kawalan pertumbuhan populasi. Ungkapan yang mashur di China adalah ren tai duo iaitu "terlalu ramai manusia". Secara teorinya, apabila pengeluaran ditingkatkan dan penggunaan dikurangkan, peningkatan pendapatan per kapita dapat dicapai. Hanya masyarakat yang telah bankrap moral sahaja boleh menerima kawalan reproduksi manusia dilayan seperti mengawal komoditi seperti batu arang dan gandum. Menurut Mei Fong, hanya rejim totalitarian sahaja yang boleh melaksanakan polisi tersebut, ia akan ditentang habis-habisan jika dilaksanakan dalam masyarakat yang terbuka dan demokratik.

Bagaimanapun, China pada ketika itu tidak mempunyai asas sains sosial yang kuat untuk mengkaji kesan polisi ini. Subjek demografi, serta subjek-subjek sains sosial lain telah dibuang dari silibus sewaktu Cultural Revolution, ia hanya diperkenalkan semula setahun selepas polisi ini dilaksanakan. Eksperimen sosial terbesar ini dimulakan diatas asas yang tidak kukuh. Kerana kekurangan saintis sosial, China menggunakan saintis yang mengkaji perihal roket untuk mengkaji polisi ini bagi dilaksanakan. Antaranya adalah Song Jian, yang merupakan pakar dalam bidang ballistic missile yang mendapat latihan di Rusia dan merupakan anak didik Qian Xuesen, pengasas bersama NASA Jet Propulsion Lab. Ironinya, saintis ahli bidang roket yang menentukan berapa ramai bayi yang boleh dilahirkan wanita di China.

Menjangkakan pertumbuhan populasi bukanlah merupakan tugas yang mudah, perangkaan dibuat berdasarkan tiga faktor: kelahiran, kematian dan migrasi. Migrasi dan kelahiran sangat susah dijangka, perangkaan biasanya hanya boleh dianggap tepat dalam lingkungan 20-30 tahun, lebih dari itu ia hanya merupakan tekaan sahaja, manakala menjangkakan perkembangan populasi 100 tahun lagi adalah merupakan sains fiksyen.

Mei Fong dilahirkan di Malaysia, beliau merupakan keturunan cina dari Selatan China. Beliau bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia, kerana pada ketika itu Malaysia telah mula moden dan amalan membuang bayi perempuan tidak berlaku. Tetapi sejak dari kecil beliau sedar bahawa anak lelaki lebih dihargai dari anak perempuan dalam budaya masyarakat China. Ayah beliau sentiasa mahukan anak lelaki walaupun cita-cita beliau itu tidak tercapai akhirnya. Mei Fong berkerja sebagai wartawan untuk Wall Street Journal dan dihantar ke China sebagai koresponden.

Kekuatan utama buku ini bagi saya adalah isu yang dikupas oleh Mei berkenaan dengan kesan terhadap manusia hasil dari polisi ini (human cost). Harga kemanusiaan yang perlu dibayar rakyat China untuk mengecapi keajaiban ekonomi. Beliau memulakan buku ini dengan gempa bumi yang terjadi di Sichuan, yang membunuh ramai "anak-anak tunggal" kepada keluarga-keluarga disana. Kematian ini bukan sahaja merupakan kesedihan peribadi, yang membawa kesan emosi, tetapi status sosial mereka dalam masyarakat juga menjadi lebih buruk kerana mereka yang tidak mempunyai anak akan lebih sukar membeli tanah perkuburan atau masuk ke rumah jagaan orang tua. Mei Fong juga menceritakan kisah dahsyat yang berlaku kepada Feng Jianmei, buruh kilang yang dipaksa menggugurkan kandungan beliau yang berusia 7 bulan. 

Feng Jianmei merupakan seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dan mengandung anak kedua. Beliau mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun dan percaya beliau boleh mendapat pengecualian untuk anak kedua. Pihak berkuasa tidak bersetuju dan meminta dia dan suaminya membayar denda $6,000. Kerana takut dipaksa menggugurkan kandungan Feng selalu lari dari berjumpa pegawai kesihatan, dan menyorok di rumah saudara maranya. Tetapi Feng tidak bernasib baik, ketika kandungannya 7 bulan beliau ditangkap dan dibawa ke hospital. Pihak berkuasa kini meminta $16,000. Suaminya Deng minta denda dikurangkan, dan membayar 1/3 selepas meminjam wang dari kawannya. Tapi diberi tahu dia perlu membayar penuh tanpa kurang satu sen pun.

Dalam masa yang sama Feng dipaksa untuk menandatangani persetujuan untuk mengugurkan kandungan. Dia kemudian disuntik ubat untuk membunuh fetus dalam kandungannya. Feng menceritakan keadaan beliau ketika itu "saya boleh merasai bayi saya meronta-ronta di dalam diri saya, tetapi kemudian dia berhenti bergerak". Sampai sini saya sudah koyak dan sebak. Jururawat kemudian meletakkan bayi kebiruan yang telah sempurna sifat tetapi tidak bernyawa itu disebelah Feng. Dan kakak ipar Feng mengambil gambar beliau yang murung dan lemah berbaring disebelah mayat bayinya. Jika anda punya hati yang kuat anda boleh mencari gambar Feng Jianmei yang memurungkan ini di internet. Apa yang berlaku kepada Feng, walaupun kedengaran sangat kejam, bukanlah unik, ia adalah cerita yang berlegar sejak 1980 sejak polisi ini dimulakan. Ia adalah harga manusia yang dibayar oleh rakyat China.


Apakah kesan-kesan lain polisi ini?


Antara kesan besar polisi ini adalah ketidaksamaan gender dalam populasi, apabila keluarga hanya dibenarkan mempunyai satu anak, ramai yang memilih untuk mendapatkan anak lelaki. Pelbagai cara digunakan untuk mencapai matlamat ini, antaranya pengguguran fetus perempuan, cara yang dipanggil sebagai infanticide dan gendercide. Kekurangan wanita juga menyebabkan mereka menjadi komoditi, peningkatan pemerdagangan manusia untuk seks dan pelacuran. Surplus lelaki yang tidak dapat berkahwin juga mewujudkan industri baru, industri penghasilan patung wanita bersaiz manusia untuk menggantikan kepuasan seksual yang didapati dari isteri melalui perkahwinan.


Polisi ini turut mempercepatkan China untuk menjadi masyarakat tua, dengan sedikit golongan muda yang bekerja yang perlu menangung populasi yang kian menua sepanjang tahun. Antara bidalan terkenal di China adalah "China akan menua dahulu sebelum sempat menjadi kaya". Walaupun keajaiban ekonomi China telah mengangkat 500 juta manusia dari garis kemiskinan, kira-kira 185 juta golongan pencen hidup dengan kurang satu dollar sehari. Hidup sebagai orang tua tidak mudah di China, ketika Cultural Revolution, nilai-nilai kekeluargaan dihapuskan dan anak-anak digalakkan menderhakai ibubapa, ditambah dengan kehilangan rasa hormat, mereka juga kini tidak punya ramai anak untuk menjaga mereka, menyebabkan kebanyakan mereka hidup merempat sendirian. Polisi ini juga menyebabkan ramai keluarga bermuhasabah tentang pentingnya hubungan kekeluargaan, apabila ibu bapa menua dan mati, anak tunggal tidak lagi punya pertalian kekeluargaan dekat dengan sesiapa.


Polisi ini juga tidak diamalkan secara monolitik, banyak keluarga yang kaya boleh mempunyai anak yang ramai dengan membayar denda, pihak yang paling teruk terkesan dengan penguatkuasaan tidak berperi kemanusiaan adalah keluarga miskin luar bandar. Golongan kaya juga boleh menggunakan "pelancongan kelahiran" dengan melahirkan anak diluar negara untuk lari dari didenda. Mereka juga boleh mendapatkan rawatan fertility bagi mendapatkan anak kembar yang dikira sebagai satu kelahiran oleh sistem di China dan tidak didenda. Antara kekejaman lain hasil polisi ini adalah penculikan anak-anak dan juga pemerdagangan bayi. China merupakan pengeluar terbesar dunia yang menyediakan bayi untuk dijadikan anak angkat di Amerika dan negara barat. Antara kes-kes yang biasa adalah anak hasil kelahiran diluar kebenaran yang diambil oleh pihak berkuasa, yang kemudiannya diletakkan di rumah anak yatim sebelum dipasarkan ke luar negara.


Walaupun saya secara peribadi berfikiran bahawa buku ini melakukan tugas yang baik dalam menerangkan kesan kemanusiaan hasil polisi ini, saya juga sedar bahwa Mei Fong melihat polisi ini dari kacamata Barat dan mempersoalkannya berdasarkan nilai-nilai Barat. Beliau semestinya mempunyai bias yang tersendiri, tetapi buku ini bagi saya tetap tempat yang baik untuk memulakan kefahaman terhadap polisi sosial yang terbesar di dunia, sebelum kita membaca lebih lanjut kajian dan analisis yang lebih akademik berkenaan polisi ini. 

Tiada ulasan: