Rabu, 19 Mei 2021

Pembersihan Etnik di Sheikh Jarrah oleh Israel & Masa Depan Palestin


Terdapat sebuah video yang merakamkan aksi pendatang haram Yahudi Zionis ingin mengambil alih rumah rakyat Palestin di Sheikh Jarrah, Timur Jerusalem. Video ini kelakar dan menjengkelkan dalam masa yang sama. Pendatang haram Israel tersebut hendak masuk dan menceroboh rumah rakyat Palestin di Sheikh Jarrah. Dia kemudian berhadapan dengan wanita pemilik asal rumah tersebut.

Wanita itu berkata "kamu sedang mencuri rumah saya".

Pendatang haram itu menjawab "kalau saya tak curi, orang lain akan curi".

Keliru, wanita itu berkata "tidak, sesiapa pun tidak dibenarkan mencuri".

Ada beberapa perkara yang bergelumang ke dalam fikiran saya apabila menyaksikan video ini. Pertama, pendatang haram ini langsung tiada rasa malu, mengaku dia sedang mencuri. Alasan yang diberikan juga sangat dangkal, dia mencuri kerana takut orang lain yang akan mencuri dulu.

Kedua, apa yang menyebabkan seorang manusia itu berfikir dia mempunyai "hak" untuk mencuri? Seolah-olah mencuri itu bukan satu kesalahan, siapa cepat dia dapat. Tidak lain dan tidak bukan kerana propaganda yang telah diberi makan kepada pendatang-pendatang haram ini bahawa Palestin itu milik mereka dan mereka boleh berbuat apa sahaja. Inilah bahaya ideologi Zionis yang ditanam ke dalam minda pendatang-pendatang haram Yahudi, bahawa mereka berhak mencuri rumah penduduk asal.

Saya tidak berapa suka kita sekadar bersolidariti setiap kali konflik Palestin "hit the news", sebaliknya solidariti kita perlu sepanjang masa. Konflik yang masuk berita sekali sekala ini hanyalah simptom kepada masalah yang lebih besar. Akar kepada masalah yang sebenarnya yang perlu diselesaikan. Kita sebagai warga dunia perlu bersama menyelesaikan akar masalah ini.

Apakah akarnya?

Akarnya adalah projek kolonial dan penghapusan etnik yang masih berjalan setelah 73 tahun. Namun saya yakin, kejap atau lambat, projek kolonial ini akan gagal seperti mana gagalnya projek-projek kolonial yang lain. Cuma apabila ia mencapai kegagalan nanti, sejarah akan melihat semula, apa yang kita buat untuknya, adakah kita ada berbuat sesuatu atau hanya menutup mata.

Akar kepada penjajahan ini berlaku pada tahun 1948, apabila para-militia Yahudi, Haganah, Lehi, Irgun, dan Stern Gang membakar kampung-kampung Palestin, membunuh dan mengusir penduduknya. Sebahagian penduduk yang diusir kemudian menetap di Sheikh Jarrah. Apabila mereka ingin dihalau kali kedua pada 2021, mereka tak mahu berganjak dan mula protes. Kritik antarabangsa mula terasa bahangnya. Israel perlu melakukan sesuatu untuk mengalih isu.

Polis Israel mula menyerang jemaah yang sedang solat di Masjid Al-Aqsa pada bulan ramadhan 2021 sebagai provokasi. Israel perlukan pretext. Apabila Hamas melancarkan roket yang dengan mudah dipatahkan dengan sistem Iron Dome Israel, akhirnya Israel mempunyai pretext untuk menyerang Gaza dan mengalih perhatian dunia dari pembersihan etnik yang sedang dilakukan di Sheikh Jarrah, Silwan, dan pelbagai penempatan Palestin lain di Jerusalem.

Israel pun mula menyebarkan propaganda "kami punya hak untuk pertahankan diri, tengok Hamas ni teroris". Media antarabangsa pun makan propaganda ini dan mula fotostat berita bahawa Israel hanya bertindak balas terhadap roket Hamas. Gaza tidak mempunyai Iron Dome, jadi bom Israel bebas membunuh kanak-kanak. Kanak-kanak ini dibunuh sebab kononnya Israel mahu "pertahankan diri". Akhirnya ini semua salah orang Palestin dan Hamas, mereka ini teroris. Akhirnya the victim is to blame. Repeat everytime. Inilah taktik propaganda yang diulang-ulang Zionis bagi mengalih perhatian dunia dari pembersihan etnik yang mereka lakukan sejak 1948.

Namun kita harus memilih optimisma berbanding kesedihan dan kekalahan. Optimism Over Despair.

Saya sendiri tidak ingat bila saya mula berminat perihal penjajahan terhadap tanah Palestin, mungkin sejak kecil, sejak kecil saya telah diceritakan perihalnya. Saya telah menghadiri pelbagai demonstrasi dari stadium Shah Alam, Dataran Merdeka, Jalan Tun Razak. Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan dengan menggambarkan perjuangan Palestin sebagai perjuangan umat Islam kita mengenepikan perjuangan kemanusiaan. Apabila ia dijadikan isu umat Islam kononnya ia tidak dapat menarik simpati orang bukan Islam.

Saya sendiri belajar mengenai isu ini dari kesedaran Islam. Sebelum mula membaca buku-buku yang lebih rencam. Saya tak rasa salah jika ia dikatakan isu umat Islam. Pertama ia bagus dari sudut introductory, we need to start from something. Kedua, isu penindasan dan kezaliman sememangnya isu Islam, jika Islam tidak respon terhadap isu kezaliman, kemanusian, dan keadilan maka ia bukan lagi agama yang dinamik dan manusiawi. 

Saya bersetuju jika kita mengatakan bahawa kita perlu mendalami isu ini. Bukan hanya kita marah dan beremosi “benci Yahudi” tanpa tahu konteks dan sejarahnya. Dengan mendalami dan memahami isu ini, kita boleh bersama dengan komuniti antarabangsa memperjuangkannya tanpa menggadaikan nilai ukhuwah Islamiyah kita bersama saudara kita. Kita bukan membenci Yahudi kerana bangsa atau agamanya. Kita membenci ideologi yang rasis juga kezaliman seperti pembunuhan, penjajahan, dan penindasan. Sama seperti sikap kita terhadap Myanmar, kita tidak membenci mereka kerana mereka Buddha, tetapi jenayah yang mereka lakukan terhadap bangsa Rohingya.

Tahun ini penjajahan Palestin yang bermula pada tahun 1948 telah memasuki tahun ke 73. Kita mungkin merasakan bahawa ia adalah satu perjuangan yang sia-sia. Setiap tahun kita melihat ratusan rakyat Palestin dibunuh, membuatkan kita semakin pesimis akan kemenangan yang tak kunjung tiba. Tetapi setelah sekian lama saya cuba memahami isu ini, saya tidak punya apa-apa melainkan optimisma. Mengapa?

Bagi saya pembersihan etnik pada tahun 1948 itu adalah pembersihan etnik yang gagal. Gagal kerana dua sebab. Yang pertama rakyat Palestin yang diusir keluar banyak menjadi tokoh yang terkenal. Mereka mengasaskan dan menyebarkan idea perjuangan Palestin ke negara-negara diaspora yang mereka diami. Edward Said sebagai contoh, merupakan sarjana yang disegani di seluruh dunia. Kita juga ada Rashida Tlaib yang kini menjadi ahli kongres Amerika Syarikat mewakili Michigan. Mereka ini duduk di negara lain, menyebarkan kefahaman terhadap perjuangan Palestin, serta menarik sokongan masyarakat antarabangsa untuk Palestin. Kedua, pembersihan etnik 1948 tidak berjaya membentuk negara dengan majoriti Yahudi seperti yang diidamkan Ben Gurion. Hari ini warga Palestin lebih ramai dari warga Yahudi, oleh sebab itu sebahagian mereka dinafikan hak mengundi (dasar apartheid). Populasi warga Palestin ini juga berkembang dengan pantas (disebut Israel sebagai demographic bomb) dan secara aktif melawan hegemoni yang cuba dipaksakan. 

Jadi selepas 73 tahun, Palestinian is still there and kicking. Kejayaan bangsa Palestin seperti yang disebutkan oleh Mustafa Barghouti dalam perbincangan bersama Jeremy Corbyn, Linda Sarsour, dan Andrew Feinstein dalam Double Down News adalah mereka tidak melarikan diri. Ini adalah kejayaan bangsa Palestin dan kegagalan gerakan Zionis. Selepas 73 tahun mereka masih tidak mahu menyerah kalah dan mati, mereka masih memilih untuk berdiri.

Israel juga bergantung kuat pada Amerika Syarikat yang membekalkannya sejata. Noam Chomsky pernah menyebutkan bagaimana Israel merupakan rakan Pentagon. Israel memberi Amerika tapak ketenteraan juga depoh simpanan senjata di Timur Tengah. Amerika juga menggunakan Israel bagi menguji persenjataan baru, senjata yang diuji ini akan diiklankan kepada negara lain sebagai terbukti berkesan. Namun situasi di Amerika juga menampakkan bibik-bibik optimisma.

Walaupun polisi luar masih kuat dilobi oleh Kristian Zionis dan juga organisasi lobi seperti AIPAC, kelihatan bibit-bibit perubahan mula berputik. Jika sebelum ini sokongan keatas Israel berbentuk bi-partisan antara Demokrat dan Republikan, hari ini kita melihat ramai ahli politik terutamanya generasi baru yang progresif dalam kem Demokrat, mereka sedar bahawa polisi Israel bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Ahli politik seperti Bernie Sanders, Cori Bush, Betty McCollum, Ilhan Omar, Rashida Tlaib, Ayanna Pressley dan Alexandria Ocasio-Cortez mula menukar persepsi publik dan menggambarkan sisi manusia dalam perjuangan Palestin. Itu belum kita bincangkan gerakan-gerakan organik seperti IfNotNow yang secara aktif melawan naratif Israel dan cuba memastikan ahli politik berpihak kepada Palestin. Walaupun Israel menikmati sokongan ketenteraan dari Pentagon, jika public opinion berubah, Israel bakal kehilangan penyokong kuatnya. Sama seperti perang Vietnam yang disokong oleh Pentagon dan ditentang oleh publik, ia berakhir dengan pengunduran.

Ghassan Kanafani, seorang seniman Palestin juga pejuang PFLP ketika ditanya oleh Richard Carleton pada tahun 1970, apakah yang telah dicapai oleh perjuangannya? Kanafani menjawab “Satu perkara, iaitu kami mempunyai sebab untuk berjuang, itu sudah memadai, kami bangsa Palestin memilih untuk mati berdiri berbanding kalah, apa yang kami capai? Kami berjaya membuktikan bahawa Raja Jordan melakukan kesilapan. Kami berjaya membuktikan bahawa negara ini akan terus berjuang sehingga menang dan bangsa kami tidak akan dikalahkan. Kami berjaya mengajar dunia bahawa kami adalah negara kecil yang berani yang akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk menegakkan keadilan selepas dunia gagal memberikan keadilan pada kami. Ini adalah apa yang kami capai.”

Mungkin ada yang bertanya, kenapa beriya sangat nak ambil tahu pasal Palestin, masalah tempatan pun banyak tak selesai lagi. Pertama, entah, mungkin minat orang lain-lain. Jika Jane Goodall dengar cakap orang, mungkin dia tidak akan pergi ke Gombe, Tanzania untuk ambil tahu dan belajar pasal Chimpanzee, dan kita akan kehilangan banyak kajian-kajian berharga dari beliau. Kedua, bagi saya secara peribadi banyak benda yang kita boleh belajar dari perjuangan Palestin. Ramai orang suka membaca buku Nelson Mandela (saya juga suka dan baca), mengagumi perjuangan pembebasannya yang berjaya, dan mahu belajar daripadanya. Tetapi perjuangan beliau telah berlalu. Perjuangan Palestin masih hidup, didepan mata kita, ia merupakan sejarah yang sedang diukir, kita bukan sahaja boleh belajar daripadanya secara langsung, malah kita juga boleh menjadi sebahagian dari pengukir sejarah ini!

Tanpa sejarah, kita akan membentuk masa depan yang tempang.

Tiada ulasan: