Ada ketika saya membaca buku-buku, zine yang membicarakan tentang pemikiran dan penulisan penulis silam, saya terfikir bahawa antara peranan penulis adalah memperkenalkan buku dan penulis lama kepada generasi seterusnya. Banyak pemikiran, penulisan, idea, dan penulis yang saya kira tidak akan saya kenali jika saya tidak membaca.
Jadi membaca sebenarnya bukan membawa kita mengenali penulis sedia ada, tetapi sering kali memperkenalkan kita dengan penulis yang sudah tidak ada. Saya kira penulisan itu hidup selagi ia dibaca pembaca. Jadi penulis baru sebenarnya penyambung hayat kepada penulis terdahulu, menyambung rantaian dalam khazanah keilmuan yang panjang.
Cuma mungkin proses ini hanya boleh berlaku ke belakang. Contohnya, buku yang diterbitkan pada tahun 2018 tidak akan berbicara perihal buku yang diterbitkan pada tahun 2021. Jadi kita hanya boleh mengenali penulis di belakang tidak di depan.
Saya bersetuju dengan frasa "semakin banyak kita membaca, semakin banyak kita tidak tahu". Sememangnya dengan membaca saya menemui banyak lagi buku-buku dan penulis yang saya tidak pernah kenal. Makin dibaca makin banyak nama-nama baru yang tidak dikenali muncul. Makin banyak buku yang dibeli. Semakin banyak buku-buku baru yang dijumpai. Proses pergandaan itu berterusan hingga akhirnya kita sedar bahawa garisan fatamorgana itu tidak wujud, tiada garis penamat untuk membaca. Tiada siapa boleh mendabik dada "aku telah banyak membaca buku". Mungkin garis yang ada hanyalah garis kematian, apabila tamat umur, tamatlah pengembaraan membaca kita.
1 ulasan:
Dulu saya pernah membaca buku terbitan Jemari Seni oleh saudara Imaen (penulis sudah pun meninggal dunia). Di dalam bukunya, beliau ada menyebut tentang Hamka dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Saya tidak menunggu lama untuk mencari buku itu dan seterusnya diperkenalkan dengan pelbagai lagi buku yang saya kira memberi banyak pengaruh dalam hidup.
Saya sangat setuju dengan tulisan tuan.
Catat Ulasan