Rabu, 14 Ogos 2024

Ismail Haniyeh: Pucuk Perjuangan Baharu Akan Tumbuh, Sentiasa


Tanggal 31 Julai 2024, pejuang dunia Islam yang dihormati, Ismail Haniyeh telah dibunuh oleh penjenayah dunia iaitu Israel. Beliau mengikuti dua orang pejuang Palestin sebelumnya iaitu Sheikh Ahmad Yassin dan Dr. Aziz Al-Rantisi. Tulisan ini adalah tribute buat As-Syahid Ismail Haniyeh.

Hari ini (31 Julai 2024) merupakan hari kesedihan bagi perjuangan kebebasan. Namun itulah harga perjuangan yang benar. Bukan sekadar laungan kosong, tapi hingga menyerahkan nyawa. Namun kehilangan pemimpin tidak akan mematahkan sayap perjuangan Islam termasuklah perjuangan Hamas di Palestin, pucuk baharu akan terus tumbuh, sentiasa. Hingga akhirnya penjajahan akan roboh ditelan sejarah.

Dahulu ada intelektual jadian yang mengkritik As-Syahid Ismail Haniyeh yang duduk berjuang di luar negara sementara bangsanya berjuang di medan Gaza. Hari ini beliau telah membenarkan kejujuran perjuangannya. Sementara intelektual yang membosankan yang mengkritiknya terus menjadi kuman yang tidak signifikan buat umat manusia.

Harum segar sang syahid yang setia berjuang membebaskan bangsa dan negara dari cengkaman penjenayah dan penjajah. Moga Allah ganjarkan seluas-luas syurga buat pejuang yang gugur di jalan pembebasan. Sedang mulut yang mencacinya kekal hina. Dalam kesedihan, akan ada pucuk baharu yang tumbuh, yang kekal setia, menjalari perjuangan, hingga nusa dan watan mencapai kemerdekaan.

Moga Allah merahmati sang syahid, yang pengorbanannya akan membajai jalan kemerdekaan.

Allahumaghfirlahuwarhamhu warhamhu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Adakah syahidnya Ismail Haniyeh adalah kerana pengkhianatan Iran?

Saya sampai satu tahap nak termuntah apabila ada asatizah dan agamawan mengkritik Iran, kononnya bantuan mereka pada Palestin tidak jujur dan bermuslihat. Asatizah ini jumud, tak berfikiran jauh, mereka tak pernah ada kawan dalam kalangan orang Iran, mereka telan propaganda imperialis Amerika Syarikat, dan hanya baca kitab-kitab lampau. Mereka tersekat di masa lalu. Otak mereka tak mampu membaca masa depan umat. Mereka gagal lihat orang Iran sebagai manusia yang sama macam mereka. Ada hati dan perasaan, banyak juga jujur dalam bantuan mereka. Jika mereka baca sejarah dengan jujur, pengkhianat banyak datang dari negara-negara Arab tempat para asatizah ini pergi belajar. Kalau orang sunni Arab tidak khianat dan berkiblat pada Amerika Syarikat, Palestin sudah merdeka 20-30 tahun yang lalu. Tapi apa nak buat, minda senget mereka hanya boleh sampai konflik sunni-syiah, otak mereka tak dapat pergi jauh. Jadi kalau ada ustaz yang sibuk burukkan Iran, saya sarankan cepat-cepat kita lari dan jangan percaya kalam lusuh mereka.

Moga Allah merahmati saudara-saudara Syiah kita yang istiqomah membantu perjuangan Palestin, dan melaknat pengkhianatan pemimpin-pemimpin negara Arab.

Tiada ulasan: