Ahad, 19 Julai 2020

Balik ke Kuala Lumpur



Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dan pergerakan merentas negeri dibenarkan, saya tidak dapat pulang ke kampung (bandar) di Kuala Lumpur dengan segera kerana perlu menduduki peperiksaan professional. Setelah tamat peperiksaan akhirnya sempat untuk pulang ke bandar halaman untuk menziarahi ibu tersayang.

Menghantar Naskah Buku di Perpustakaan Negara Malaysia

Di kesempatan pulang ini, saya mengambil peluang untuk menyerahkan 5 naskah wajib bagi buku terbaru saya Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Ini selaras dengan peraturan dibawah Akta Penerimaan Terbitan yang mewajibkan serahan 5 naskah di Perpustakaan Negara Malaysia. Semoga buku saya tersebut ada sumbangannya kepada perbendaharaan buku negara.

Ada banyak buku-buku yang bagus-bagus yang ditulis penulis muda Malaysia yang saya baca tidak didaftar dan mendapatkan ISBN. Bagi saya ini satu kerugian kerana ia tidak direkod dan dikatalog oleh PNM untuk rujukan generasi akan datang. Jika menulis, saya kira, elok ia di daftar dan dikatalogkan, agar mudah dirujuk generasi akan datang. Tidak kira sama ada kita rasa buku kita itu bagus atau tidak. Malaysia memberi ISBN secara percuma tidak seperti sebahagian negara lain.

Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.


Kami ingin masuk Perpustakaan Negara hari ini, tapi kanak-kanak masih belum dibenarkan masuk dek kerana wabak Covid-19. Jadi anak-anak bergambar di luar sahaja.

Menghadiri Pembukaan Kedai Buku The Bibliophile

Alang-alang sudah di Lembah Klang, sempat ke perasmian pembukaan kedai buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya. Kedai buku baru yang diusahakan anak muda Kiridaren Jayakumar. Selain membeli buku, saya juga menghantar buku tulisan saya. Selain buku baru Life full of Reading, buku lama saya Berfikir Tentang Pemikiran juga boleh didapati secara eksklusif di kedai beliau.

Buku lama saya ini sudah out-of-print tapi boleh di dapati di The Bibliophile. Hanya ada beberapa naskah terakhir. Buku ini pernah di kritik oleh Benz Ali dari Republik Buku, kata beliau 

"Buku ini agak tepu dengan nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya".

Ia dikritik sekali dalam siri reviu ke-2, tulis Benz:

"Boleh dikatakan aku agak kecewa juga membaca 100 ms pertamanya."

Buku tersebut juga pernah di reviu, oleh Saudara Akmal Sabri, namun ulasan Akmal tidak begitu ganas, mungkin kerana dia mahu menjaga hati saya. Beliau menulis:

"Begitu dangkalnya manusia sebegini. Tidak mengunakan anugerah akal dari Tuhan untuk berfikir, hanya mengikut sahaja. Saya sangat marah ketika membaca komen tersebut. Saya yakin saranan membaca dalam Islam juga bermaksud membaca, menganalisa dan berfikir. Itulah saranan yang pertama dalam Islam dan sangat cocok untuk zaman ini. Owh isu fictional reality juga menarik."

Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran


Selain dari buku saya yang tidak menarik, banyak buku-buku menarik boleh didapati di The Bibliophile. Malam ini saya sempat mendapatkan empat buah buku.

1. No Way Home tulisan Teo Ann Siang
2. Fidel Castro oleh Clive Foss
3. Islam And Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4. The Sejarah Melayu Revisited oleh Ahmat Adam

Banyak lagi buku-buku menarik dalam dan luar negara yang boleh didapati di The Bibliophile. Saya yakin ia akan menjadi tempat bertandang kegemaran buat para pencinta buku!

Menziarahi Pusara Arwah Ayah

Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka.


Pulang kehalaman kali ini benar-benar rasa kelainannya, tiada lagi suara girang ayah yang menyambut kepulangan cucu-cucu. Alhamdulillah berkesempatan bersama ibu, isteri, dan anak-anak untuk menziarahi pusara arwah ayah. Ada satu nafas ketenangan di kubur arwah ayah. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan terima ayah sebagai orang-orang beriman dan beramal soleh.

Sabtu, 18 Julai 2020

Murung



Saya ada satu perasaan yang sangat kuat dengan kenangan. Entah kenapa kenangan bagi saya merupakan sesuatu yang sangat berharga. Perlu disimpan dengan selamat. Jika boleh, diabadikan.

Atau mungkin proses pengabadian kenangan itu memang sifat manusia. Sebab itu manusia mencipta pelbagai alat, pelbagai teknologi untuk mengabadikan kenangan. Jika dahulu, kenangan disimpan dalam bentuk lukisan potret. Kemudian manusia mencipta kamera, alat yang boleh menangkap cahaya dan mengabadikan momen tersebut dalam bentuk gambar.

Pada zaman persekolahan, saya masih ingat. Kami pernah ke USM untuk menyokong pasukan hoki sekolah. Gambar-gambar semasa disana dimasukkan dalam sebuah CD. Kemudian CD tersebut saya tercicir. Segala kenangan pada waktu itu musnah. Saya berasa sangat sedih. Sangat murung, lama juga perasaan itu menghantui jiwa saya, sebelum saya dapat menerima kenyataan itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Apabila menyambung pengajian ke luar negara, saya menyimpan gambar-gambar di dalam hard disk. Ternyata teknologi ini walaupun canggih tapi masih belum matang. Kedua-dua hard disk saya corrupt dan cubaan untuk recover data didalamnya tidak berjaya. Namun tetap saya simpan kedua-dua hard disk tersebut. Mungkin satu hari nanti teknologi baru muncul dan saya boleh recover semula gambar-gambar tersebut. Jika anda membaca tulisan ini, dan tahu cara atau bagaimana untuk recover data dari hard disk yang mengalami mechanical damage, bolehlah bantu saya dengan meninggalkan komen. Anda akan membantu saya menjadi kurang-murung. Saya sedikit bernasib baik kerana sebahagian besar gambar tersebut saya cuci, dan ada dalam bentuk fizikal dalam simpanan album.


Gambar-gambar sekolah saya simpan di dalam CD di almari di rumah. Setiap kali pulang ke rumah saya akan buka almari tersebut dan pastikan CD itu ada disitu. Saya ada juga terfikir untuk copy gambar-gambar tersebut ke dalam hard disk kerana teknologi CD kelihatan bakal berakhir. Manusia kini menyimpan data di dalam pendrive dan hard disk. Komputer baru dihasilkan tanpa CD reader. Namun saya tidak bertindak atas fikiran tersebut. Saya fikir ianya tidak penting sangat kerana tiada siapa yang mengusik CD-CD tersebut. Namun ternyata saya silap.

Selepas pemergian arwah ayah, rumah saya di-renovate. Perabut dikemas dan dialihkan. Dan CD itu termasuk dalam barang buangan. CD itu menyimpan seribu satu kenangan gambar di sekolah dari tingkatan 1 hingga 5. Malah mungkin gambar-gambar keluarga ketika zaman itu, semuanya ada di dalamnya. Ia adalah kenangan hidup yang paling berharga. Gambar-gambar zaman formatif dan nostalgik. Saya tidak sempat mencucinya ke dalam bentuk fizikal, malah sebahagian besar gambar tersebut tidak pernah di upload ke internet.

Kehilangan gambar tersebut sangat memurungkan saya, sehingga saya terpaksa keluar dari rumah, duduk di padang tempat saya bermain bola ketika kecil, dan menulis penulisan ini. Saya cuba sedaya upaya memendamkan perasaan sedih, beraksi biasa bersama keluarga seolah tidak ada apa-apa. Seolah saya tidak sedih. Seolah-olah kenangan itu tidak berharga. Namun ternyata sukar, ternyata minda saya lemah untuk merasionalkan realiti ini.

Teringin balik ke masa lalu, dan bawa CD itu ke tempat selamat. Ingin kembali ke masa lalu untuk pesan agar CD itu tidak diusik. Tidak dibuang, tidak dihilangkan. Walaupun saya sedar ini adalah mainan minda yang tak boleh menyanggah realiti. Realitinya kenangan itu sudah dibuang, mungkin sekarang ia berana dalam timbunan sampah di pusat perlupusan sampah. Mungkin sudah dibakar, mungkin sudah pecah. Mungkin ini semua hanya mimpi. Seribu satu mungkin yang lain.

Untuk apa kesedihan ini? Kenapa manusia dibekalkan dengan perasaan sedih yang membinasakan ini. 

Jika saya menggunakan akal rasional. Satu perkara yang saya boleh belajar dari semua ini. Gambar kenangan lebih selamat jika ia dicuci dan disimpan dalam album fizikal. Berbanding simpanan di dalam bentuk elektronik seperti CD dan hard disk. Namun, sekarang saya tidak rasional, saya emosional. Saya memilih untuk bersedih, saya memilih untuk murung.

Khamis, 16 Julai 2020

PPSMI: Diskusi bersama Wern Han



Pada 16 Julai 2020 sekitar jam 12 petang, saya berkesempatan untuk berdiskusi dengan Wern Han salah seorang ahli kumpulan GE-Global di Facebook. Beliau berkongsi pautan berita dari Malaysiakini tentang jawapan menteri pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen yang menyatakan bahawa program PPSMI tidak akan dihidupkan semula, dan pengajaran tulisan Jawi akan diteruskan.

Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri. Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60 tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.

Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru. Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan, ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia, dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji polisi pendidikan negara.

Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan. Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap Malaysia?

Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26, dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland (Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia, Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di tempat kedua.

Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han, pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi. Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia. Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?

Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.

Selasa, 14 Julai 2020

Belajar Sepanjang Hayat


Dalam buku tulisan Iltizam Iman yang bertajuk 'Menolak Perintah' ada diperbahaskan soal-soal pendidikan. Saya sangat gemar perbahasan tersebut. Terutamanya persoalan-persoalan falsafah pendidikan, seperti mengapa kita belajar? Adakah belajar sekadar menghafal? Adakah ijazah sekadar tiket untuk masuk ke alam pekerjaan?

Ya, betul. Banyak yang kita boleh kritik tentang sistem pendidikan, malah kritik itu boleh pergi ke dasar, fundamental pendidikan, bukan sekadar cabang atau teknik mendidik. Dan kita juga boleh buat kesimpulan yang berbeza. Ada yang menyimpulkan bahawa pendidikan formal itu memandulkan potensi berfikir secara kritis, lalu meninggalkannya dan mencuba pendidikan alternatif sendiri seperti homeschooling. Ada juga yang menyimpulkan bahawa, ya, memang bermasalah, oleh itu pendidikan perlu diteruskan dirumah sesudah sekolah dan universiti, sekolah tidak boleh di harap penuh, ia perlu disambung oleh ibubapa di rumah.

Terserah kepada kita untuk membuat kesimpulan berdasarkan kefahaman dan gaya fikir kita. Ya teknologi hari ini telah merevolusikan tentang cara kita memandang pendidikan. Jimmy Wales pengasas Wikipedia dalam wawancara oleh Aljazeera, dalam hujahnya mempertahankan kegunaan Wikipedia yang dituduh tidak akademik, membawakan kisah Jack Andraka yang mencipta idea diagnosis test untuk pancreatic cancer hanya dengan menggunakan Google dan Wikipedia. 

Teknologi membolehkan kita belajar apa sahaja yang kita mahu dalam beberapa saat sahaja. Ingin tahu apa itu Kalam Cosmological Argument yang dipelopori semula oleh William Lane Craig? Kita boleh tonton sahaja di Youtube. Ingin belajar tentang konsep fundamental breach dalam undang-undang yang sekarang dianggap telah outdated, kita boleh baca kes mahkamah Photo Production v Securicor dengan mencari di Google.

Dalam erti kata lain, teknologi memberikan kita cara untuk belajar apa yang kita mahu belajar. Bukan kita belajar apa yang kita disuruh untuk tahu, apa yang disuruh kita untuk belajar. Namun saya secara peribadi beranggapan, institusi formal masih ada nilainya, dan masih ada pentingnya. Terutamanya dalam mengabsahkan pengetahuan seseorang dalam sesuatu bidang. Walaupun tidak bererti takpa pengabsahan itu bermaksud seseorang itu tidak tahu.

Selepas habis sarjana muda dahulu, saya menyambung pengajian pasca-siswazah. Ternyata ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Kita bukan sahaja belajar tentang metodologi untuk belajar, metodologi untuk bertanya, saya juga dapat fahami bahawa belajar itu satu proses masa yang panjang. Walaupun dalam institusi formal kita diberi masa untuk melengkapkan pengajian, ada bidang-bidang yang memerlukan masa untuk ditekuni. Dan saya tidak berjaya menghabiskan pengajian.

Memasuki alam pekerjaan, belajar secara formal merupakan satu cabaran besar. Kita bukan sahaja perlu mencari titik keseimbangan untuk masa bersama keluarga, isteri dan anak-anak. Kita juga perlu mencari keseimbangan terhadap masa kita untuk pekerjaan, masyarakat, diri sendiri, hobi, dan seribu satu perkara yang lain. Namun walaupun kini telah tua, saya harap perasaan untuk menuntut ilmu itu kekal muda.

Antara sebab saya bekerja di syarikat saya adalah falsafahnya yang mendorong pekerja melanjutkan pengajian. Pada mulanya dahulu, pekerja yang menyambung pengajian di bayar yuran mereka, ini bagi saya merupakan satu insentif yang baik. Walaupun sudah jauh dari institusi akademik, kita boleh meneroka ilmu di institusi-institusi professional. Walaupun sijilnya tidaklah setaraf dengan sijil akademik, tetapi ilmunya tetap dihargai di dalam bidang industri. Ilmu itu bukan milik institusi akademik sahaja. Namun jauh disudut hati saya, jika berjaya menyelesaikan pengajian professional, saya ingin menyambung pengajian yang tertangguh, menjadi murid semula walaupun telah tua.

Biarlah mati ketika sedang menuntut ilmu, barulah perpatah "tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad" itu terlaksana.

Ahad, 12 Julai 2020

Aljazeera: Mempertahankan Kebebasan Media



Pada awal bulan Julai 2020, Aljazeera telah menerbitkan sebuah dokumentari bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" yang menceritakan keadaan pekerja migran di Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan untuk mengawal wabak Covid-19. Sosial media meletup, dan sekali lagi kita menyaksikan pelbagai page meniupkan kempen kebencian 2.0 kepada pekerja-pekerja migran dan pelarian di Malaysia. Kempen kebencian terhadap migran pertama adalah pada pertengahan Jun 2020, apabila netizen mengamuk mempertahankan tindakan kerajaan menghalau bot pelarian Rohingya yang ingin mendarat menyelamatkan nyawa mereka.

Saya kira menjadi tugas dan tanggungjawab kita, yang sedar, yang faham, yang ada perasaan sayang, untuk menunjukkan kepada manusia yang mereka sebenarnya tidak rasional, emosional, dan bertindak seperti kambing-kambing yang digembala kebencian.

Bagi saya secara jujur, maaf, orang-orang yang mengikut menyerang "page", bangga kononnya berjaya menjatuhkan rating sesuatu "page" atau memberi banyak "dislike", kononnya itu menjadi bukti bahawa dia benar, atau kempennya berjaya, bagi saya, secara jujur, maaf, mereka seperti orang-orang yang bodoh. Kasar bunyinya, jadi saya mohon maaf kali ketiga, izinkan saya terangkan.

Pertama, nombor tidak menjadikan sesuatu perkara itu benar. Majoriti Nazi yang menyokong penghapusan etnik, tak membawa maksud penghapusan etnik itu benar. Majoriti Zionis yang menyokong pembunuhan rakyat Palestin tak bermaksud pembunuhan itu benar. Apa yang benar adalah benar menurut prinsip dan asas fundamentalnya.

Kedua, bagi saya mereka terlebih emosional, seolah-olah jika kita mengasihani imigran kita tidak patriotik, jika kita melayan mereka seperti manusia kita tidak hormati undang-undang. Di masa hadapan, mungkin manusia akan melihat perspektif seperti ini adalah perspektif primitif atau perspektif orang gila. Namun itulah hakikatnya yang berlaku, maka mereka pun digembala "page-page" tertentu yang sedap mengarah follower mereka menyerang pembawa mesej. Sedih sekali page-page ini menggunakan kebencian untuk mencari populariti, mengeksploitasi rasa insecurity masyarakat dalam melonjakkan capaian mereka. Tetapi tahukah kalian apa yang lebih sedih? Yang lebih sedih adalah ada mangsa di alam realiti yang mengalami kebencian. Mereka merasakan komen-komen kebencian jelik itu harmless, tanpa mereka sedar mereka sedang membina sifat rasisma tebal dalam masyarakat, mereka menyokong polisi yang menekan imigran-imigran yang hidup dalam ketakutan. Sudahlah mereka membanting tulang membina negara kita dengan gaji yang rendah, sentiasa takut ditangkap dan diburu, kini mereka dibenci dan dihina oleh masyarakat. Jika ada media yang berani membela mereka media itu diserang, dijatuhkan rating. Entah dimana moral dan agama mereka.

Jika ummat Islam ditindas dinegara lain, hai! mereka bangkit memberontak, membakar bendera kononnya membela saudara seagama. Apabila kaum seagama mereka datang menumpang mencari rezeki di tanah mereka, mereka hina pula saudara seagama mereka, "kotor", "meludah sirih", "busuk", "pendatang haram", "elok dibuang ke laut", "elok di biar mati tenggelam". Alangkah hipokrit, alangkah dustanya solat, puasa, haji, umrah, usrah, ukhuwwah dan qunut nazilah mereka. Alangkah hinanya mereka di hadapan Tuhan yang menciptakan dunia tanpa sempadan, yang menciptakan manusia tanpa passport atau kad pengenalan, yang menciptakan manusia dengan pelbagai rupa, bentuk dan warna kulit.

Jika bukan kita saudara seagama, saudara semanusia yang patut membela mereka siapa lagi? Jika bukan sekarang, ketika mereka sedang tertindas, bila lagi? Bila masa yang sesuai untuk membela pekerja imigran yang dilayan dengan buruk di Malaysia? Bila mereka mati atau lemas di laut? Bila? Benar sekali pertanyaan Hillel the Elder, sang cendiakawan Yahudi, "If not us, who? If not now, when?".

Dahulu, saya pernah naik bas satu malam, dari KL ke utara. Masa bas tersebut lalu dalam KL ternampak bangunan-bangunan yang gah tinggi. Kemudian tersingkap permandangan "rumah" yang diperbuat dari kayu-kayu binaan dan dicerahi dengan lampu mentol, di bawah flyover jalan. Kelihatan pekerja-pekerja sedang mandi. Permandangan itu beri kesan yang sangat mendalam. Di satu sudut ada bangunan tinggi yang mewah, didiami oleh manusia yang lahir dalam keluarga yang betul, dalam bangsa yang betul, dan dalam negara yang betul. Di sudut lain ada manusia yang hidup dalam papan-papan walaupun merekalah yang membanting tulang menyiapkan bangunan mewah tersebut, tapi mereka lahir di dalam keluarga yang salah, bangsa yang salah, dan negara yang salah. Jadi martabat mereka lebih rendah.

Bangunan-bangunan yang tinggi yang kita bangga-banggakan semuanya dibuat oleh pekerja asing, kemudian ditampal jenama-jenama kita, kita pun mendabik "Oh lihat negaraku maju!". Majukah kita jika kemodenan kita dibina atas tulang-tulang pekerja asing yang ditindas. Yang dilayan dengan hina seolah mereka bukan manusia. Mungkin makanan kucing-kucing peliharaan kita lebih mahal dari makanan mereka.

Ada yang mengatakan dokumentari Al Jazeera ini tidak adil dalam mengkritik Malaysia, bagi saya secara peribadi mereka ini tidak mahu mengaku kesilapan diri. Tidak jujur dalam melihat kemanusiaan. Negara, sempadan, bendera semuanya ciptaan fantasi manusia. Tetapi, manusia, dunia tanpa sempadan itu dicipta Tuhan. Tidak patut kita mendiskriminasi manusia kerana mereka mempunyai kertas yang berbeza dari kita, atau kerana mereka tak punya kertas seperti yang kita ada. Kita mendabik dada dengan kemajuan kita. Dapi dari segi moral, kita masih jauh dari sebarang kemajuan.

Alhamduillah. Ditengah-tengah campaign of hate kita masih ada suara-suara rasional yang mendokong prinsip kemanusiaan Islam walaupun mereka minoriti. Yang melihat manusia lebih dari kertas-kertas pendaftaran. Mudah untuk kita mengikut arus kebencian yang dimainkan page-page di media sosial, mengambil tindakan-tindakan reaksionari tanpa mengukurnya dengan batas akal dan rasional. Tapi prinsip mengajar kita untuk tidak menjadi lalang yang mudah ditiup api kebencian. Islam mengajar kita kemanusiaan, dan kita harus pegang kemanusiaan itu dan memilih untuk tidak menjadi suara-suara kebencian. Antara yang berani bersuara adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Mereka mengeluarkan kenyataan:

“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan."

Semoga MAPIM terabadi harum dalam sejarah kemanusiaan, kekal berprinsip ketika negara dilanda kempen kebencian. Menjadi suara kemanusiaan menerangi lumpur hina kebencian dan rasisma.

Ramai rakan dan teman tidak bersetuju dengan pendirian saya mempertahankan saudara-saudara migran dan pelarian. Baik, mari kita bentangkan hujah (H) mereka, dan saya akan bentangkan jawapan (J) saya.

(H) Media Qatar tu? Mereka pun punya rekod buruk mengendalikan pekerja migran. Tepuk dulang paku serpih, kata negara orang dia yang lebih!

(J) Ini adalah falasi, orang lain buat salah tak bermakna kita pun boleh buat salah. Two wrongs don't make a right.

(H) Cuba bagi tahu negara mana yang bagi kebebasan penuh kepada pendatang tanpa izin?

(J) Ini adalah strawman. Jika kita lihat dokumentari dengan penuh, tiada pun pekerja imigran ini minta kebebasan penuh, ini bukan permintaan mereka! Mereka cuma mohon dilayan dengan ihsan dan diberi keadilan. Mereka juga mahu hidup tanpa ketakutan ditangkap dan diugut.

(H) Banyak lagi warga asing yang kaya, kenapa bersifat selektif dan tunjuk yang miskin sahaja?

(J) Itu adalah skop dokumentari tersebut, untuk mengangkat nasib mereka yang tidak bernasib baik, itu tugas media, tugas media bukan untuk mengampu kerajaan. Jika anda hendak buat dokumentari untuk mengetengahkan isu pendatang asing kaya, silakan buat dokumentari sendiri. Dokumentari vs dokumentari, baru buku bertemu ruas, bukan pergi menangkap wartawan.

(H) Nampak sangat Aljazeera bias dalam liputan mereka.

(J) Untuk mengkritik sesuatu isu, kita kena ambil posisi, ya betul Aljazeera bias kerana dia mengetengahkan suara golongan migran yang tidak mendapat suara dalam media tempatan. Tapi adakah itu menjadikan laporannya tidak benar? Tidak. Laporannya tetap perlu diteliti dan diselesaikan masalahnya. Kita kena selesaikan masalah, bukan menghukum orang yang beri tahu kita bahawa kita ada masalah.

Banyak lagi hujah-hujah yang saya kira tidak langsung menjawap persoalan yang dibangkitkan. Ia lebih kepada emosi dan falasi. Kesimpulannya, kita hendaklah memandang serious laporan tersebut, merenung kesilapan kita dalam melayan buruh-buruh asing, pelarian yang menyelamatkan diri yang menumpang teduh di negara kita, mereka perlu dibantu dan dilayan dengan baik. Sebaliknya kita patut elakkan sifat terlebih emosional, mahu menghukum media yang menyampaikan berita, bukan menyelesaikan masalah yang diutarakan. Kita kena belajar terima kelemahan, menerima kelemahan tidak bermaksud kita tidak patriotik atau membelakangkan undang-undang. Jikalau kita masih lagi merendahkan bangsa lain hanya kerana mereka lahir di tempat yang berbeza, maka dalam diri kita masih ada sifat Aljahiliyah.


Sabtu, 11 Julai 2020

Yitai Zhengce: Polisi Satu Anak


Baru-baru ini ada sembang secara santai dengan kawan berkenaan dengan anak. Saya tanya dia, bila nak menimang anak kedua, melawak dia kata "kitorang mengamalkan one-child policy". Selepas perbualan itu saya teringat buku perihal polisi satu anak China yang ditulis Mei Fong. Sudah lama saya beli buku tersebut dari BookExcess di Gurney Paragon, namun masih belum sempat menelaah tulisan beliau berkenaan dengan eksperimen sosial paling besar dalam sejarah. Walaupun sibuk dengan peperiksaan, dan masih ada buku lain yang belum habis, saya ambil keputusan untuk selak sedikit buku tersebut. Pandangan ini mungkin sedikit pra-matang kerana saya baru menghabiskan 70 mukasurat dari buku yang mempunyai 250 mukasurat.

Namun apabila sampai ke mukasurat 60, perasaan saya pecah, ada satu perasaan tidak selesa timbul dalam diri saya, perasaan dingin yang meresap ke tulang-tulang saya, saya tidak boleh duduk diam selagi tidak menulis perihalnya. Sebelum sampai ke mukasurat 60, elok kita bincang dahulu sedikit latar belakang buku ini.


Buku ini ditulis oleh Mei Fong, seorang anak kelahiran Malaysia, anak bongsu ke-5 dari keluarga yang tidak punya anak lelaki. Beliau bersyukur kerana moyangnya dari Selatan China berhijrah ke Malaysia, jika tidak, dia mungkin tidak dilahirkan. Mei Fong berkerja sebagai wartawan untuk Wall Street Journal, dan di hantar ke China untuk menjadi koresponden.


Dari Latar Mei Fong, saya beranggapan bahawa sudut pandang penulisan beliau pasti membawa perspektif Barat dan juga Western Bias terhadap China. Ya, memang betul, Mei Fong hampir tidak jumpa satu apa pun berkenaan China untuk tidak dikritik. Dari pencemaran udara sehinggalah ke stadium Olimpik yang membazir, beliau tidak berhenti mengadu. Mudah untuk kita dismiss kritikan Mei Fong sebagai "ala dia ni terpengaruh dengan fahaman Barat yang dengki dengan kejayaan ekonomi China" atau sengaja hendak memburukkan China.


Kenapa polisi ini tercetus? Dalam analisis beliau, China mempunyai krisis legitimasi selepas bencana polisi seperti Great Leap Forward dan Cultural Revolution. Untuk menyelesaikan masalah ini China perlu mencari legitimasi dari sudut ekonomi. Ekonomi bergantung pada pengeluaran dan penggunaan, namun, sukar untuk tingkatkan pengeluaran secara drastik, tapi penggunaan boleh dikurangkan, dengan mengawal jumlah pengguna, atau dalam kata lain mengurangkan jumlah penduduk. Secara teori, dengan meningkatkan pengeluaran, mengurangkan populasi penduduk, pendapatan per kapita dapat ditingkatkan.


Mei Fong dalam analisinya berkata hanya masyarakat yang telah bankrap intelektual sahaja boleh menerima polisi mengawal manusia seperti mengawal komoditi lain seperti batu arang dan gandum. Dan hanya masyarakat dengan sistem totalitarian sahaja yang boleh melaksanakan polisi ini, jika masyarakat terbuka, polisi ini tidak mampu bertahan walaupun sehari. Apa itu kerajaan totalitarian? Ada dibincangkan oleh Francis Fukuyama, tapi diluar penulisan ini. Jadi pembaca boleh mencari sendiri.


Namun untuk melaksanakan polisi radikal ini, kajian perlu dibuat untuk memastikan unjuran populasi boleh mencapai jumlah populasi yang di ingini. Disini timbul masalah kerana China ketika itu tidak mempunyai ahli demografi dan saintis sosial yang mampu mengkaji masalah ini dengan mendalam. Intelektual elit mereka telah lumpuh terutamanya bidang sains sosial yang ditekan ketika era Cultural Revolution. Oleh itu, polisi ini telah dikaji dan dibentangkan oleh saintis dalam bidang roket, golongan intelektual yang masih tersisa ketika itu. Salah seorang darinya adalah Song Jian, seorang specialist dalam bidang ballistic missile yang dididik di Rusia. Song merupakan protege Qian Xuesen, co-founder NASA's Jet Propulsion Lab (JPL). Oleh kerana tidak mempunyai kapasiti pada ketika itu, Mei Fong berpendapat polisi ini berdiri atas asas yang lemah.


Walaupun kajian mendalam impak polisi ini tidak dapat dijalankan kerana kekurangan data dan kepakaran, ia dilaksanakan pada tahun 1980 ke seluruh negara. Untuk menguatkuasakan polisi radikal ini ke satu negara yang besar seperti China, ia memerlukan birokrasi yang sangat besar. Dari perembesan propaganda untuk meyakinkan masyarakat, sehinggalah kepada pekerja sosial diperingkat kampung untuk memerhati dan memasti polisi ini dipatuhi. Disini bagi saya merupakan pusingan yang menyaksikan kekejaman polisi ini. Apa yang dipanggil sebagai "human cost". Kerana manusia itu kompleks, cubaan merendahkan manusia untuk disesuaikan dengan teori adalah sukar. Kita melihat bagaimana Darwinisme cuba menyempitkan manusia kepada sifat biologi seperti survival dan reproduksi, jadi Richard Dawkins struggle untuk membahaskan soal altruism. Bagaimana, ahli teori neo-liberal yang cuba menjual teori pasaran terbuka, terpaksa membawa konsep 'rational economic man' walaupun ia bertentangan dengan maxim bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak rasional. Harga kemanusiaan ini yang membuatkan saya merasakan bahawa analisis Mei Fong ini bukan sekadar kritikan untuk memburukkan China.


Baik, setelah membentangkan sedikit pengenalan, disini kita sampai kepada apa yang berlaku di mukasurat 60. Di mukasurat ini Mei Fong menceritakan bagaimana penguatkuasaan dilakukan. Beliau membawa satu cerita.


Feng Jianmei merupakan seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dan mengandung anak kedua. Beliau mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun dan percaya beliau boleh mendapat pengecualian untuk anak kedua. Pihak berkuasa tidak bersetuju dan meminta dia dan suaminya membayar denda $6,000. Kerana takut dipaksa menggugurkan kandungan Feng selalu lari dari berjumpa pegawai kesihatan, dan menyorok di rumah saudara maranya.


Tetapi Feng tidak bernasib baik, ketika kandungannya 7 bulan beliau ditangkap dan dibawa ke hospital. Pihak berkuasa kini meminta $16,000. Suaminya Deng minta denda dikurangkan, dan membayar 1/3 selepas meminjam wang dari kawannya. Tapi diberi tahu dia perlu membayar penuh tanpa kurang satu sen pun.


Dalam masa yang sama Feng dipaksa untuk menandatangani persetujuan untuk mengugurkan kandungan. Dia kemudian disuntik ubat untuk membunuh fetus dalam kandungannya. Feng menceritakan keadaan beliau ketika itu "saya boleh merasai bayi saya meronta-ronta di dalam diri saya, tetapi kemudian dia berhenti bergerak". Sampai sini saya sudah koyak dan sebak. Jururawat kemudian meletakkan bayi kebiruan yang telah sempurna sifat tetapi tidak bernyawa itu disebelah Feng. Dan kakak ipar Feng mengambil gambar beliau yang murung dan lemah berbaring disebelah mayat bayinya. Jika anda punya hati yang kuat anda boleh mencari gambar Feng Jianmei yang memurungkan ini di internet.


Apa yang berlaku kepada Feng, walaupun kedengaran sangat kejam, bukanlah unik, ia adalah cerita yang berlegar sejak 1980 sejak polisi ini dimulakan. Ia adalah harga manusia yang dibayar oleh rakyat China. Banyak lagi kesan-kesan sosial yang dibincangkan dalam buku ini, seperti kekurangan tenaga kerja, populasi tua, ketidaksamaan gender dalam populasi (kerana ramai yang memilih bayi lelaki, dan mengugurkan kandungan perempuan), dan banyak lagi. Tapi mungkin lebih adil jika saya ulas apabila saya telah baca keseluruhan naskah ini.


Rujukan:

Fong, Mei. One child: The story of China's most radical experiment. Houghton Mifflin Harcourt, 2015.

Sabtu, 4 Julai 2020

Reviu: Menolak Perintah oleh Iltizam Iman


Judul Buku: Menolak Perintah: Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan
Penulis: Iltizam Iman
Penerbit: Penerbitan Ikan Kekek, 2020.

Pertama sekali, kerana saya juga terlibat dalam aktiviti pembukuan dan penerbitan, saya ingin komen sedikit perihal teknikal-teknikal format buku. Yang pertama adalah pernomboran, saya kira buku ini akan lebih kemas jika nombornya dimulakan pada mukasurat prakata, memulakan pernomboran dari halaman kandungan kelihatan agak janggal. Seharusnya halaman kandungan tidak bernombor. Yang kedua, bagi saya sangat penting, adalah tidak adanya nombor ISBN, dalam kata lain sayang sekali karya yang sangat menarik ini tidak termasuk dalam simpanan perbendaharaan buku negara. Saya kira elok ia didaftarkan agar dapat di-indeks dan dikatalog oleh perpustakaan negara untuk rujukan generasi akan datang. Yang ketiga adalah perihal pandangan saya secara peribadi, buku ini tidak di dapati dalam database Goodreads. Bagi saya, membaca bukan sekadar rutin, malah ada ritual peribadi, antaranya menandakannya di Goodreads, tapi untuk yang ketiga ini kecil sahaja, saya telah masukkan buku ini di Goodreads bagi memudahkan ritual pembacaan saya. Yang keempat, setelah beberapa ketika saya membaca, saya dapati Iman ada mengulas naskah-naskah yang beliau baca seperti tulisan Ali Syari'ati, Asghar Ali Engineer dan novel Benz Ali, namun tiada bibliografi di belakang, saya kira elok ditambah bibliografi agar memudahkan pembaca untuk merujuk dan dapat diketahui naskah yang mana yang dibincangkan. Yang kelima, ada pengulangan isi yang sama pada bab-bab akhir berkenaan dengan pandangan SH Al-Attas terhadap "Revolusi Mental", pengulangan ini harap dapat dibuang untuk edisi kemaskini. Semua isu ini adalah isu teknikal pembukuan, isu-isu teknikal ini kecil sahaja, boleh diperbaiki untuk cetakan akan datang.

Baik, mari kita bincangkan isi kandungan, ini yang lebih utama.

Buku ini bagi saya sangat baik sebagai perenungan, ternyata Iman menintakan fikiran-fikirannya, jadi ia adalah buku yang membantu kita berfikir, berfikir tidak semestinya setuju, tetapi pertimbangan kita dalam menilai sesuatu idea. Iman memulakan kitabnya dengan membahaskan falsafah kerosakan, yang baginya berasal dari hati manusia, sesuatu yang abstrak kemudian memberi kesan kepada dunia material luaran, kerosakan yang dilakukan oleh penguasa juga asalnya adalah dari hati mereka, kata Iman baik "Marxist atau Islamis" jika hati mereka bermasalah, kerosakan akan tetap berlaku. Falsafah inilah yang diambil untuk menamakan judul kitabnya "Menolak Perintah" iaitu menolak tirani didalam dan luar diri. 

Antara rangkap yang saya minati dalam naskah ini adalah "Ironinya, kita takut mati tapi malas bangun tidur". Rangkap ini bagi saya begitu mengesankan, memotivasikan kita untuk hidup dengan lebih "hidup" dan melawan kemalasan. Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan artificial intelligence, saya kira beliau lebih membawa banyak persoalan dari jawapan. Contohnya, beliau bertanya "Adakah manusia boleh mencipta sesuatu yang dia sendiri tidak faham? Contohnya mimpi? Apa kegunaan mimpi?" Walaupun kecanggihan sains menolak sempadan limitasi semakin laju, saya tidak fikir manusia mampu mencipta "kesedaran" yang setara dengan kesedaran manusia, apatah lebih lagi dari kesedaran manusia. Saya mungkin salah, tapi setakat hari ini, kita masih belum mampu.

Buku ini mengajak manusia berfikir, Iman menulis bahawa kita harus "memperbanyakkan dialog-dialog dengan diri", yang saya kira merupakan satu ajakan yang penting. Sering kali kita melakukan perkara dalam hidup ini kerana kebiasaan, kerana adat dan agama, kerana mengikut orang, kita lakukan banyak perkara tanpa sedar, tanpa bertanya mengapa kita melakukannya. Mengapa perkara ini penting? Kerana bagi saya, jika kita tidak berfikir, kita akan melakukan perkara yang mungkin kita tidak perlukan, dan masa yang kita ada adalah sedikit, kehidupan yang singkat ini memerlukan kita fokus pada apa yang kita benar-benar "perlu". Persoalan dan dilema perubahan juga menarik diperbahaskan, Iman membawakan bagaimana orang miskin tidak sempat melakukan perubahan kerana mereka sibuk dengan urusan "kelangsungan hidup", manakala orang kaya tidak melakukan perubahan kerana mereka telah selesa, Iman bertanya "di mana jalan penyelesaiannya?". Saya kira jawapan kepada persoalan ini ada di dalam sejarah, kerana jika tidak, masakan kita lihat perubahan-perubahan berlaku dalam sejarah, jika semua manusia tersepit dalam dilema ini kita tidak akan punya revolusi atau pemberontakan. Jawapanya adalah pada kewujudan insan-insan radikal, mereka yang merasakan prinsip itu lebih penting dari "kelangsungan hidup" dan "keselesaan", mereka adalah ejen perubah sepanjang zaman. Howard Zinn, sang sejarawan agung pernah membawa konsep "civil disobedience", dimana mereka yang radikal yang melawan undang-undang adalah mereka yang membawa perubahan.

Iman juga ada membincangkan perihal-perihal agama, contohnya beliau menghuraikan Surah Al-Maa'uun yang membawakan keperluan untuk Muslim menterjemahkan agama ke dalam aktiviti membangun masyarakat. Agama bukanlah sekadar amalan-amalan ritual untuk individu mengejar pahala untuk dirinya, tetapi perlu ada usaha dalam membaiki masyarakat seperti memperkasa anak-anak yatim serta mengangkat kesusahan golongan miskin. Orang agama yang mementingkan diri, sibuk dengan ritual tetapi meninggalkan masyarakat, adalah pendusta agama. Dalam pen-definisi-an perkataan "kafir" beliau membawakan maksud yang dinukilkan oleh Asghar Ali, iaitu kafir itu bukan bermaksud penolakan tauhid tetapi penolakan terhadap keadilan, kafir didefinisikan sebagai penindasan terhadap golongan yang lemah. Bagi mereka yang tidak pernah membaca Asghar Ali, definisi ini mungkin kedengaran agak janggal dari tafsiran agamawan tradisional. Sememangnya Asghar banyak menafsir semula konsep-konsep agama ke dalam bahasa yang lebih umum, mencakupi seluruh manusia, dan menekankan nilai-nilai revolusioner dalam agama. 

Saya kurang bersetuju dengan penulis dalam perbahasan beliau berkenaan dengan "Alam dan Manusia" yang menyuruh kita belajar dari haiwan. Saya bersetuju bahawa kerosakan yang dibawa oleh manusia lebih teruk dari haiwan, haiwan yang "memburu sekadar untuk makan sehingga kenyang", tapi penyelesaiannya saya kira bukanlah mengamalkan undang-undang rimba. Walaupun Iman tidak menulis secara explicit berkenaan dengan Darwinisma, beliau ada mengungkapkan perihal proses evolusi. Evolusi tidak boleh memberi kita moral dan etika. Buku Yuval sebagai contoh, mengatakan semua perkara yang boleh dilakukan secara biologi adalah natural, dalam konteks ini apa yang Hitler lakukan adalah natural kerana ia "boleh dilakukan secara biologi". Sains tidak dapat memberi kita moral, ia boleh menjawab persoalan-persoalan emperikal bukan moral. Jadi saya tidak setuju dengan belajar dari haiwan kita boleh melahirkan masyarakat yang tidak diskriminatif. Nazi menghapuskan bangsa Yahudi juga adalah kerana mereka beriman dengan biologi dan evolusi, kerana pada keyakinan mereka bangsa German adalah bangsa yang lebih develop dalam hiraki evolusi berbanding bangsa lain (social darwinism). Malah Darwin sendiri tidak setuju kita membantu manusia yang lemah, kerana menurut natural selection dan survival of the fittest, yang kuat perlu menang dan membiak manakala yang lemah perlu dibiarkan mati. Mencari moral dari evolusi hanya akan melahirkan moral nihilism

Banyak lagi persoalan-persoalan yang dibangkitkan di dalam buku ini yang mengayakan minda dan mencabar pemikiran seperti apa yang dimaksudkan dengan kebenaran. Antara perkara yang dibincangkan yang sangat menarik perhatian saya adalah perbahasan-perbahasan berkenaan dengan alam. Perbahasan ini saya kira jarang diangkat oleh penulis lain (atau mungkin saya yang ignorant dalam subjek ini). Perlawanan orang kampung untuk menghentikan projek pelupusan sisa di Bukit Payong yang dibincangkan dengan mendalam pada saya merupakan sejarah rakyat yang penting. Oleh itu saya merasa sangat sayang sekali jika naskah ini tidak dikatalog dan diindeks oleh Perpustakaan Negara, kerana sejarah rakyat ini mungkin tidak boleh dirujuk oleh pengkaji akan datang.

Kritik beliau buat alam persekolahan adalah satu perenungan yang sangat baik, bagaimana sistem pendidikan kita membunuh sifat "kecurigaan" dalam diri anak-anak, sebaliknya membentuk mereka menjadi mesin untuk menghafal informasi untuk dimuntahkan ke kertas peperiksaan. Walaupun saya bersetuju dengan kritik pendidikan ini namun saya mempunyai kesimpulan yang berbeza, kesimpulan saya bukanlah home-schooling walaupun saya hormati ibubapa yang memilih option tersebut. Bagi saya sistem yang lemah itu perlu diperbaiki bukan ditinggalkan. Bagi saya institusi sekolah, pengajarannya bukan sahaja perkara-perkara formal, banyak perkara yang tidak formal kita belajar di sekolah seperti belajar berkawan. Juga tak semua orang mampu untuk melaksanakan home-schooling, mungkin bagi ibubapa yang kedua-duanya buruh mereka tidak punya masa dan tenaga untuk melakukannya kerana tuntutan hidup. Juga bagi saya, kelemahan sekolah itu perlu ditampung oleh ibubapa di rumah, pendidikan seharusnya dilihat secara keseluruhan, tidak adil jika kita menolak semua tanggungjawab pendidikan kepada sekolah. 

Iman menulis perihal pendidikan tinggi, berkenaan dengan kajian "thesis-thesis tak guna budak-budak degree sampai PhD. Tunggu masa dibuang atau dikitar semula". Di sini saya secara umumnya bersetuju, kebanyakan thesis-thesis ini dilambakkan di perpustakaan akademik yang tak dibaca oleh manusia. Seharusnya, thesis-thesis ini dibukukan, diolah semula ke dalam bahasa masyarakat agar ia menjadi ilmu yang berguna. Kebanyakan kita menggunakan pengajian tinggi hanya sebagai tiket untuk mendapat pekerjaan, membaca kritikan ini membuatkan saya tersedar. Ada benarnya, seharusnya kita belajar kerana ingin tahu dan meningkatkan ilmu.

Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan "Masyarakat dan Negara", saya tertarik dengan kawalan media, pemerintah yang mengawal media dapat memastikan isu apa yang dimainkan dalam masyarakat, jika sesuatu isu yang merugikan pemerintah dibahas masyarakat, mereka perlu segera mencipta isu-isu remeh-temeh yang tidak bermanfaat untuk diputarkan bagi mengalih perhatian. Sedikit sebanyak mengingatkan saya berkenaan dengan buku Manufacturing Consent tulisan Herman dan Chomsky.

Akhir sekali, isi yang saya ingin ulas perihal naskah ini adalah keperluan kepada kekuatan spiritual dalam menjamin perubahan yang bertahan lama. Beliau mengulas dapatan SH Al-Attas bahawa yang menjadikan revolusi agama bertahan lama berbanding revolusi ideologi kiri seperti Komunisme adalah kekuatan spiritual mereka. Kita melihat bagaimana eksperimen sosial untuk mengunapakai sistem Komunis di Soviet yang tidak menekankan keperluan spiritual, atau menafikan tempatnya dalam hidup manusia, namun apabila Soviet runtuh, manusia kembali mencari kekuatan spiritual mereka, agama-agama yang disangkakan mati hidup semula.

Tahniah diucapkan buat saudara Iltizam Iman atas penerbitan buku sulung beliau ini. Naskah ini saya kira sangat baik dalam mengangkat persoalan-persoalan pemikiran, perspektif hidup, kelestarian alam, juga sikap-sikap kita mendepani politik dan pemerintahan. Semoga kita dapat menggeluti fikiran-fikiran beliau dalam naskah-naskah yang akan datang.

Khamis, 2 Julai 2020

MATRI: Sekolah Kecil

Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek
Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek.


Baru-baru ini mendapat berita bahawa ustaz yang disayangi, Ustaz Abdul Hadi Osman mendapat anugerah sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2020. Mendengar sesi temuramah yang diadakan oleh JPN Perlis di rumah ustaz di Kampung Tunjung sangat menggamit memori. Ustaz Hadi adalah ustaz yang banyak memberi sentuhan pendidikan peribadi kepada saya, terutamanya ketika di tingkatan satu. Ustaz sering solat subuh berjemaah bersama kami jika dia tidak mempunyai kuliah luar, sebelum kami dilepaskan untuk sarapan biasanya ustaz akan bagi sedikit tazkirah 2-3 minit. Antara peringatan yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah apabila ustaz menyebut "Jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Walaupun pada ketika itu saya masih belum berkahwin atau mempunyai anak, pesanan itu entah kenapa, melekat sehingga ke hari ini dalam kotak memori.

Ustaz juga seorang yang suka membaca, antara tips membaca yang pernah dikongsi oleh ustaz adalah baca sedikit sebelum tidur, dua tiga helai muka surat pun mencukupi, lama-lama akan habis satu buku dibaca. Antara pesanan lain ustaz, yang saya ingat diberikan ketika program Pelajar Lepasan MATRI (PLM) adalah perlunya pelajar MATRI berkahwin dengan pelajar MATRI supaya ibubapa yang mempunyai kefahaman Islam yang sama dapat meneruskan melahirkan generasi seterusnya yang berfikrah dengan fikrah Islam yang jelas. Pada ketika mendengar nasihat itu saya tersenyum didalam hati, walaupun dahulu saya pelajar ustaz yang nakal, sekurang-kurangnya nasihat ustaz yang ini saya laksanakan.

MATRI ini sekolah yang kecil, duduk pula dalam kebun getah di negeri yang hujung di utara Malaysia. Ketika sekolah-sekolah lain sibuk melahirkan pelajar untuk dipasarkan di pasaran kerja, sekolah kecil ini mengambil pendekatan yang berbeza. Sekolah kecil ini tidak mengejar untuk melahirkan robot-robot untuk dipasarkan ke industri, tetapi melihat masalah masyarakat yang ada dan beriltizam untuk melahirkan "manusia". Manusia dalam erti kata sebenar, sesuai dengan fitrah serta kemampuannya. Bukan manusia yang menjadi haiwan ekonomi tanpa ada nilai-nilai manusiawi.

Saya masih ingat, antara subjek yang saya kira tidak ditawarkan di sekolah lain adalah subjek "Pendidikan Jiwa", pada ketika itu diajar oleh Sir Rosdi Baharom yang lebih mesra dengan panggilan Pakcik Rosdi. Merupakan graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang teknologi mineral, beliau juga pernah menuntut di Imperial College dan University of Leeds. Kelas ini biasanya disusun sebagai kelas pertama di awal pagi sebelum kelas-kelas lain, waktu yang paling segar dan produktif. Sesiapa yang pernah mengikuti kelas, ceramah, bengkel, atau forum bersama Pakcik Rosdi mereka akan tahu bertapa tona suara beliau, ekspresi muka, juga pesona oratori beliau begitu meresapi jiwa. Buku yang digunakan sebagai silibus pada ketika itu adalah antaranya In the Early Hours tulisan Khurram Murad. Oleh kerana pendidikan jiwa itu sangat membekas di hati saya, saya dapat mengingati buku tersebut, dan selepas keluar universiti dan sudah punya duit sedikit saya cari semula buku itu, akhirnya berjumpa naskahnya di Kinokuniya KLCC.

Kerana buku itu terlalu istimewa bagi saya, saya membawa buku itu berjumpa Pakcik Rosdi setelah bertahun-tahun keluar dari sekolah kecil ini. Di helaian pertama beliau menconteng pada buku tersebut "Semoga Allah SWT mensucikan hati enta dan memilih enta sebagai perindu Syurga". Buat doa itu saya ucapkan "Ameen". Buku Khurram Murad ini memang targetnya adalah pembangunan jiwa, dan melihat syurga sebagai tempat yang harus kita fokus untuk tuju. Antara bab-bab awal dalam helaian naskah tersebut adalah langkah pertama ke syurga. Khurram Murad menulis:

"The first step in self development, then, is to concentrate single-mindedly on Paradise. Indeed, the one who is unsure of his destiny in life, torn between this world and the Next, like one standing with his feet in two separate boats - will be thrown off balance."

Walaupun sekolah kecil ini berusaha melahirkan "manusia", ini tidak bererti produk keluarannya "mandul" dalam industri atau tidak berdaya kerja. Malah saban tahun, anak-anak dari sekolah kecil ini dipetik oleh institusi-institusi pengajian tinggi, baik dalam dan luar negara. Tidak sedikit yang menjadi doktor, usahawan, tokoh masyarakat, guru, yang kembali menyumbang bakti pada pembangunan negara. Saya masih ingat ketika mendapat tawaran biasiswa menyambung pengajian ke St. Petersburg, ketika sesi temuduga, calon lain semua ber"coat" dan bertali leher, sijil-sijil mereka tebal dalam file kulit keras, sementara saya hanya berbekal file plastik RM3 untuk mengisi sijil, itupun tidak penuh. Ketika minggu induksi, masing-masing menyebut nama sekolah mereka, dari maktab rendah sains, sekolah berasrama penuh, sekolah sains, setiap kali itu pelajar lain akan menyebut "wow". Tiba giliran saya, saya sedikit gugup untuk menyebut nama sekolah kecil saya, tiada "wow" yang saya terima, yang ada cuma soalan "sekolah apa? MATI?". Tapi Alhamdulillah, walaupun dari sekolah kecil, meminjam skrip Ustaz Hadi "Allah kasihan pada saya", saya diizin menamatkan pengajian dengan kelas kepujian paling tinggi, satu-satunya pelajar lelaki yang berjaya mendapat kelas kepujian tertinggi dalam batch saya. Itu semua bukan kerana kebijakan saya, tetapi kurnia Tuhan yang mengasihi. 

Hari ini "sekolah kecil" saya mungkin sudah tidak kecil lagi dari sudut pembangunannya, pelajar baharu mungkin tidak merasa mandi air telaga payau yang dipam oleh generator seperti zaman saya dahulu. Kecemerlangan sekolah telah menarik minat penyumbang awam dan swasta dan sekolah semakin terbangun infrastrukturnya. Harapan kecil saya, se-gah manapun bangunan baru yang dibina, harapnya matlamatnya tetap sama, harap sekolah kecil ini terus melahirkan "manusia" untuk dipulangkan kepada masyarakat kita.

Semoga Allah mengasihani guru, ustaz, cikgu, warden yang setia mendidik kami ketika kecil. Allahumma ameen

Rabu, 1 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 31: "Kakak suka dua orang"



Sejak Amni pandai bercakap, banyak kata-katanya yang sangat mendalam, walaupun mungkin pada seorang anak kecil apa yang diungkap itu sekadar perasaannya yang spontan, tapi buat ibubapa, bait kata itu masuk lebih jauh dan tenggelam lebih dalam. Contohnya ketika dia bertanya "Abi dah solat ke belum?" pada anak kecil mungkin itu sekadar pertanyaan berdasarkan pemerhatiannya dengan kebiasaan. Tapi bagi orang dewasa ia adalah soalan yang mendalam, perihal bagaimana kita menjaga komitmen ibadah, hubungan kita dengan Pencipta, serta keadaan dan kesihatan iman.

Selepas tamat tempoh pengurungan ini, ketika di hujung bulan Jun 2020, Malaysia masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan, cuma ia sudah dilonggarkan kepada kawalan "bersyarat" dan kini dalam kawalan "pemulihan", rasminya disebut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dahulu sebelum "dikurung" saya selalu membawa Amni dan Idlan menaiki feri atau ke kolam renang di hujung minggu. Tetapi apabila dunia diserang virus corona baharu yang disebut sebagai COVID-19 ini, perkara tersebut sudah tidak dapat dilakukan atas sebab berjaga-jaga. Jadi yang boleh dilakukan adalah menaiki motor ketika petang, juga berlari-lari di padang yang kosong ketika petang.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang berderu ketika diatas motor, sering kali menyebabkan Idlan yang berumur dua tahun tidur di atas motor. Agak sukar dan berbahaya mengendali motor dengan satu tangan, kerana satu tangan lagi perlu memegang Idlan agar dia tidak jatuh terlentok.

Ketika sedang naik motor, Amni yang berumur lima tahun mengajak saya pergi ke padang. Saya katakan boleh, nanti kita singgah di padang. 

"Nanti Abi patah balik ambil Ummi dulu" katanya lagi.

Saya menjelaskan bahawa Ummi-nya hari ini pulang kerja lambat, jadi kita boleh ke padang tetapi bertiga sahaja bersama adik.

"Tak nak, kakak suka ada dua orang dewasa, kakak nak pergi padang dengan Kakak, Adik, Abi, Ummi" terangnya lagi.

Lalu akhirnya kami pusing-pusing sahaja menaiki motor tidak ke padang, Idlan seperti biasa tidur dipertengahan jalan. Kata-kata anak kecil ini buat saya terfikir akan fitrah manusia yang merasakan keluarganya lengkap jika ada ibu dan ayah. Saya sendiri ketika itu sudah kehilangan ayah, kata-kata Amni sedikit mengusik perasaan saya bertapa saya merasakan keluarga saya sendiri sudah tidak lengkap. Namun itu realiti kehidupan yang saya harus terima.

Dahulu sebelum Amni pandai bercakap, saya teringin bersembang dengannya, selepas dia sudah pandai bercakap, kadang-kadang terasa penat menjawab soalan-soalannya. Semuanya kenapa. Kenapa burung terbang? Kenapa awan biru? Kenapa Abi kerja? Jika dijawab pun akan disambung lagi dengan kenapa yang lain. Kenapa kena cari duit? Kenapa kena makan? Jika lama sangat biasanya akhirnya saya akan jawab "entah". Saya sedar jawapan itu bukan jawapan yang terbaik untuk menggalakkan anak berfikir, itu adalah jawapan untuk mematikan pertanyaan. Tetapi kadang-kala, kita sebagai manusia biasa juga tewas pada teori yang kita pegang, tewas pada prinsip yang kita jaga, ketika realiti kepenatan menjalari hidup seharian. 

Cuma mungkin kita kena selalu memperingatkan diri agar terus kuat untuk bersembang dan berbual dengan anak-anak, perkara kecil dimata kita tetapi sebenarnya besar di dalam hati anak-anak. Kita jika tidak bercakap dengan anak, kita masih boleh bersembang dengan rakan-rakan di Whatsapp, Facebook, dan media sosial yang lain. Tetapi anak kecil, jika ibubapanya tidak mahu bersembang dengan mereka di rumah, dengan siapa mereka boleh bersembang? Dengan dinding? Dengan teddy bear?

Dialog-dialog dengan anak ini sekejap sahaja Tuhan pinjamkan kepada kita, ia adalah nikmat yang sementara. Apabila mereka mula berkawan di sekolah nanti, jika kita tidak selalu bersembang dengan mereka, mereka pun tidak ingin lagi bersembang dengan kita. Kerana mereka sudah punya kawan-kawan lain yang sudi mendengar keluh-kesah mereka. Yang sama tahap pemikiran dengan mereka. Disini kita perlu sedar, media sosial itu tidak kemana pun sebenarnya, apabila kita sudah tua nanti bukan media sosial yang akan kita rindui, tetapi hiruk pikuk anak-anak yang pulang beraya bersama cucu-cucu kita. Jadi, sepenting manapun komen dan like yang kita tagih itu, berpada-padalah.



Menulis Perlukan PhD



Saya pernah mendapat "nasihat" untuk tidak menulis perihal politik, kerana saya bukanlah ulamak atau ahli akademik yang mempunyai sijil doktor falsafah. Lama juga saya renungkan nasihat itu. 
Pada saya politik ini sebahagian sahaja dari apa yang saya tulis, banyak lagi perkara yang saya tulis bukan pun perihal politik. Ada kala saya rasa berminat, saya tulis, saya tak berminat tak tulis.

Cuma protes saya cuma sedikit ini, politik ini sepatutnya hal rakyat, maslahat rakyat, jadi ia boleh difikir, ditulis, dikritik oleh rakyat. Lagi aneh jika rakyat yang tidak punya PhD tidak boleh menulis pasal politik tetapi ahli politik sendiri ramai yang tidak punya PhD. Malah ada dikalangan mereka tidak pun ada ijazah, ada juga yang menipu sijil.


Bukan niat dan naluri saya memperlekeh mereka yang punya PhD. Tentulah tulisan mereka yang ada PhD mempunyai bayangan autoriti lebih dari penulis biasa. Jika berkesempatan saya pun ingin menyambung pengajian ke peringkat PhD, tetapi itu tidak harus menjadi halangan untuk kita menulis. Barbara Tuchman misalnya, yang menulis karya terkenal The Guns of August perihal prelude kepada perang dunia pertama bukan sahaja tiada sijil PhD, sijil sarjana pun tiada dalam ehwal sejarah. Tetapi tulisan beliau menjadi teks penting, dan diperdebat ahli akademik sejarah di kemudian hari sehingga kini.


Jika syarat menulis itu perlu PhD, maka kita akan kehilangan banyak karya-karya penting, magnum opus yang ditulis sepanjang sejarah oleh penulis yang tiada PhD, tetapi tetap tulisan mereka merubah dunia, menyedarkan generasi, serta memartabatkan manusia.


Kita semua boleh menulis. Sebab itu kita diajar menulis sejak awal, mungkin karangan pertama kita "Aku sebatang pen" atau "Aku sebiji epal" seharusnya kemahiran yang kita belajar itu kita teruskan, tulislah apa pun, pengalaman hidup, protes polisi, perasaan rindu di hujung malam, apa sahaja, itu akan menjadi helaian sejarah buat anak-anak kita. Mereka juga pasti bersyukur kita menulis, ada perkara yang boleh mereka renungi jika kita telah tiada nanti. Tulisan kita akan menjadi dialog kita dengan generasi baru, apabila kita sudah tiada.

Isnin, 29 Jun 2020

Catatan Baitul Muslim 30: Novel & Memarahi Anak


Saya gemar membaca, buku yang saya baca kebanyakannya bersifat non-fiksyen, amali dan realiti. Saya kurang berminat untuk membaca novel-novel perihal perasaan dan hati kerana saya tidak memberi kepentingan yang berat pada perasaan, apa yang penting adalah fakta yang praktikal. Tetapi sampai satu ketika, saya merasakan pandangan ini silap. Novel boleh mengajar banyak perkara perihal kemanusiaan kepada manusia. Walaupun ia adalah cebisan imaginasi penulis, tetapi tentulah penulis sendiri menulis dari getusan hatinya, jadi ia tetap tidak dapat lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Melainkan kita ada novel yang seratus peratus ditulis komputer menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Antara novel-novel yang saya minati adalah tulisan Khaled Hosseini, karyawan dari Amerika yang lahir di Afghanistan. Terutamanya karya beliau The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Ia mengangkat nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Dari perspektif ibubapa, novel ini memberi satu kesan tentang bagaimana kita melihat anak-anak dibawah didikan kita. Mereka bukanlah sekadar manusia kecil yang perlu diurus, didisiplinkan, dan dilengkapkan dengan pelbagai informasi. Tetapi mereka punya perasaan, sifat-sifat manusia yang perlu diraikan oleh ibu bapa.

Saya teringat satu teguran baru-baru ini yang tular di Facebook berkenaan dengan manusia yang suka membaca ini kadangkala menjadi "manusia buku", dia gagal memahami sifat kemanusiaan yang kompleks dengan emosi dan perasaan. Segalanya perlu mengikiut buku, dia menjadi "book wise" tetapi tidak "street wise". Walaupun kritik itu bagus, saya kira kesimpulannya bukanlah kita perlu kurangkan pembacaan, tetapi kita perlu juga kayakan pembacaan berkenaan ragam manusia, karya-karya yang mencemaskan perasaan, menimbulkan kesedihan, mengelegakkan kemarahan, bukan hanya karya perihal fakta-fakta yang kering dari sebarang unsur kemanusiaan. Saya berpendapat kita boleh menjadi "street wise" dengan bersosial dengan masyarakat tanpa perlu "mengorbankan" pembacaan.  

Saya minat kata-kata dalam buku tulisan Jamie Glowacki bahawa sebanyak manapun buku-buku "pakar" yang kita baca, apabila menguruskan anak kita sendiri, tiada yang lebih "pakar" berbanding kita sendiri. Kerana kitalah yang duduk 24 jam dengan mereka, kita yang main dengan mereka, makan dengan mereka, mandi dan tidur dengan mereka. Jadi jika nasihat "pakar" tidak berkesan, jangan kita terlalu rigid, sebaliknya timbangkan cara-cara lain yang berkesan dengan anak kita.

Pengalaman saya membesarkan anak, 2 tahun pertama biasanya merupakan tahun-tahun yang membahagiakan, kerana kita belum masuk ke dalam fasa mendisplinkan anak. Mereka ketika ini masih belum boleh membina ayat untuk bertutur dalam menyampaikan kehendak-kehendak mereka. Selepas tahun ini berakhir, kita mula memasuki fasa kita sering memarahi anak. Dalam fasa ini kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan, walaupun kita mungkin dapat apa yang kita mahu mereka lakukan dengan memarahi mereka, kita perlu ingat akan sampai satu masa kemarahan kita tidak lagi akan memberi kesan kepada mereka. Disini perlunya penerangan dan pendidikan.

Jangan salah sangka, saya berpendapat "marah" ada tempatnya dalam pendidikan. Sekiranya anak itu tidak pernah dimarahi dari kecil hingga dewasa mungkin dia tidak akan berjaya memahami apa itu baik dan buruk, mereka juga tidak dapat faham sifat-sifat manusia yang kompleks, atau mungkin dia merasakan dia boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya. Namun, marah itu perlu digunakan dengan berhati-hati, jangan sampai kasih sayang terpadam. Marah harus segera diikuti dengan kemaafan dan penerangan. Dan ibubapa juga perlu berani meminta maaf pada anak-anak mereka jika mereka terlebih marah, atau marah kerana nafsu dan ke-ego-an. 

Seorang ayah itu, ego-nya lebih tebal dari seorang ibu. Ibu sifatnya lebih tebal dengan kasih sayang, selalu membenarkan diri terluka untuk melihat anak dan suami bahagia. Namun saya kira, setebal manapun ego seorang bapa, selepas memarahi anaknya pasti tebit rasa kekesalan, walau sebesar zarah, pasti timbul rasa kasihan apabila melihat anaknya menangis kesedihan. Walaupun kadangkala egonya mengatasi zarah-zarah tersebut. Maka perlulah seorang bapa itu selalu bertanya pada hatinya, untuk apa ego itu? Wajarkah ia diberi kemenangan dengan mengorbankan kasih-sayang diantaranya dan anak-anak?

Mendidik anak itu satu seni yang sukar, tiada satu formula yang sesuai untuk semua anak-anak. Pasti ada kelainan, pasti ada perubahan terhadap cara untuk menghadapi anak-anak yang berbeza. Membentuk manusia ini tidak semudah membentuk tepung yang sudah diuli, kerana manusia itu kompleks dengan emosi dan perasaan. Maka ibu bapa perlu mencari jalan yang seimbang, menanam disiplin dalam masa yang sama menyiram dan memastikan kasih-sayang terus subur. Terlebih marah, anak akan merasakan seolah dia hidup dalam keluarga diktator tanpa kasih sayang, terlebih sayang menjadikan mereka manusia yang hidup tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Jalan sederhana ini juga tidak dijamin mudah dan selesa, ia dijamin penuh dengan dugaan dan airmata. Namun hasilnya, insha'Allah, bahagia.

Sabtu, 27 Jun 2020

Abang Posmen Bawa Kegembiraan



Posmen sudah datang!

Tengahari semalam sedikit menggembirakan apabila abang posmen datang dan menghadiahkan pada saya satu bundle buku yang telah dicetak. Buku Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews ini merupakan koleksi reviu buku yang saya tulis dalam bahasa Inggeris. Saya dedikasikan buku ini buat arwah ayah yang sangat saya sayangi, Syed Mohd Khair Jiplus yang meninggalkan kami lewat Februari tahun ini. Moga Allah merahmati ayah.

Terima kasih kepada perusahaan Tukang Buku yang mencetak buku saya dengan pantas dan cergas. Hasil craftmanship mereka sangat memuaskan. Kemas dan professional. Antara buku yang sempat saya reviu dalam naskah ini adalah buku tulisan saudara Izzat Ibrahim Camp de Calais juga buku pengembaraan rockers Malaya Francis Wolf dalam naskahnya Kept In Ink.

Pada asalnya saya cetak buku berbentuk paperback ini hanya untuk simpanan peribadi dan juga simpanan Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini boleh didapati dalam bentuk digital di Amazon, Google Play atau E-sentral, dan saya pada asalnya tidak mahu menjualnya dalam bentuk fizikal. Jika ada yang berdegil nak baca buku dalam bentuk fizikal juga, bolehlah meminjam di Perpustakaan Negara atau datang ke rumah saya untuk membacanya sambil minum kopi.

Tetapi teman-teman menyatakan bahawa saya patut cetak naskah fizikal untuk jualan. Benz Ali menyatakan bahawa elok dicetak banyak kerana nampak menarik. Saya menyatakan bahawa saya lebih minat menulis dan menerbit dari menjual. Saya tawarkan kepada beliau sekiranya beliau ingin cetak dan jual tanpa royalti kepada saya, namun rumah penerbitan beliau lebih fokus kepada buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Kemudian teman saya, Kiridaren Jayakumar, seorang penggiat buku yang tidak asing lagi di Malaysia, yang merupakan pengusaha kepada perusahaan The Bibliophile menghubungi saya. Beliau bersungguh-sungguh mahu saya mencetak lagi buku saya untuk dijual secara fizikal. Saya sedikit kagum dengan Kiridaren, beliau lebih yakin dengan karya saya melebihi keyakinan saya sendiri kepada karya saya. Seperti jawapan saya pada Benz, saya terangkan sekali lagi bahawa saya lebih minat menulis dari menjual. Namun beliau tidak berputus asa, beliau menawarkan diri untuk mempromosi dan menjual buku tersebut, akhirnya saya setuju. Jadi sekiranya anda ingin mendapatkan naskah fizikal, bolehlah berhubung terus dengan beliau, saya sertakan pautan The Bibliophile disini.

Sebagai penulis yang masih baru, saya tidak menganggap bahawa keuntungan itu satu yang utama buat masa ini. Benar kita perlukan sedikit keuntungan untuk makan dan terus berkarya. Tapi saya kira apa yang lebih penting bagi penulis muda adalah menghasilkan karya, semakin banyak semakin tertingkat pengalaman dan pembaca. Satu hari nanti mungkin ia boleh menjadi sumber pendapatan, tetapi buat masa ini fokusnya perlulah kepada penghasilan karya. Semoga buku kechil ini menambahkan sedikit pembendaharaan buku di negara Malaysia yang kita cintai ini.

Ahad, 21 Jun 2020

Memaknai Rumi: Siri 10



"How to cure bad water? Send it back to the river.
How to cure bad habits? Send me back to you.

Look as long as you can at the friend you love,
no matter whether that friend is moving away from you
or coming back toward you." (52)

Manusia adalah makhluk sosial. Ahli biologi ingin meletakkan manusia sekadar hanya seokor lagi binatang yang tujuannya hanya makan dan membiak. Ahli ekonomi mengatakan manusia bersikap dengan rasional. Ahli politik mengatakan sifat manusia itu selalu berkonflik. Namun semua teori-teori ini mempunyai limitasi dan terurai pada sesuatu titik sosial.

Pada titik sosial itu manusia tidak dapat ditulis secara sempurna dalam mana-mana formula. Manusia itu pentingkan diri dalam masa yang sama dia bersifat altruis. Manusia itu rasional dalam masa yang sama emosional. Manusia berperang dalam masa yang sama mereka berdamai. Manusia adalah makhluk sosial yang tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana formula.

Apabila dikatakan manusia itu makhluk sosial, kewujudannya sentiasa bergantung pada manusia lain. Pada waktu kecilnya dia bergantung pada ibubapa. Ke sekolah dia bergantung kepada gurunya. Di liburan dia bergantung pada temannya. Di dewasa dia bergantung pada isteri dan suaminya. Di waktu tua dia bergantung pada anak dan cucunya. Dia makhluk sosial, orang disekelilingnya bukan sahaja mempengaruhi dia secara fizik, tetapi juga dalam hal-hal yang abstrak seperti kegembiraan, kebahagiaan, kesedihan, kemarahan atau kesepian.

Saya ingat ketika ayah meninggal dunia, perasaan sedih itu sangat dalam. Walaupun secara fizik saya sudah tidak bergantung pada ayah dari sudut kelangsungan kehidupan. Tetapi keterikatan sosial itu masih ada dan erat, ia mampu menyebabkan hati berasa sangat sedih, sepi, dan murung. Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan saya perbuat tanpa sokongan keluarga dan teman sekeliling. Itulah sebabnya Rumi menintakan bahawa untuk mengubati penyakit-penyakit sedih dan sepi ini kita perlu kembalikan diri kepada manusia, kembali bersosial agar kesepian itu dapat dipadam. Jika tidak dipadam secara keseluruhan pun mungkin melupakannya buat seketika agar dapat dilalui hidup dengan sediakala.

Persahabatan manusia mungkin disebabkan talian keluarga, mungkin juga disebabkan institusi-institusi sosial yang lain yang dilalui sepanjang kehidupannya. Dalam persahabatan inilah ada penawar bagi kesunyian, penawar kepada kegilaan, penawar kepada kekosongan. Sebab itu Rumi menyuruh kita merenung sahabat dan teman yang kita sayang, pada mereka kita kutip sumber kekuatan dan kehidupan. Walaupun mereka biasa-biasa sahaja, bukan karyawan atau ilmuan, namun pertukaran kata-kata disulami gelak ketawa dengan secawan kopi sudah cukup untuk membuat kita bahagia.


Sabtu, 20 Jun 2020

Ada satu malam, dia akan meragui dirinya



Sehebat mana pun manusia
Ada satu malam dia
akan meragui dirinya.

Bertanya soalan di luar batas logika
Apakah jika
dahulu ditempuh lorong berbeza
akan membuatkan hari ini gembira?

Nasib itu satu objek misteri
Tak tertafsir oleh hakim dan juri
Tak dapat ditolak
Tidak juga dapat diselak
Ia adalah ombak
Muncul tanpa air berkocak.

Menangkap perasaan tanpa sedia
Sehebat mana pun manusia
Malam itu dia akan meragui dirinya.