Pesta buku yang terbesar di Malaysia adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dalam ingatan saya, pertama kali saya menghadirinya adalah ketika usia saya 15 tahun, sewaktu itu ia diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Pada saya berusia 16 tahun, tempatnya ditukar ke MAEPS, Serdang. Ini adalah memori awal saya perihal pesta buku. Namun menurut ibu saya, sebenarnya saya pernah ke pesta buku lebih awal. Kata ibu saya pernah ke PBAKL bersamanya semasa berumur 2 tahun dan hilang dari pantauan beliau, namun selepas itu ibu berjaya menjumpai saya yang hilang apabila urusetia membuat pengumuman ada anak hilang di kaunter. Namun memori ini terlalu awal, hanya ibu saya yang mengingatinya, saya sendiri tidak dapat menemukan memori ini dalam ingatan.
Semasa saya menghadiri PBAKL pada usia belasan tahun itu, antara yang saya perhatikan dan ia kemudian menjadi titik kritikan saya adalah perkataan “antarabangsa” dalam PBAKL yang tidak diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kerana pada ketika itu, minat membaca saya adalah pada buku-buku dari luar negara terutamanya buku berbahasa Inggeris. Pada masa ini, saya ke pesta buku sebagai pembaca, pembaca kepada buku-buku berbahasa Inggeris. Juga mungkin saya boleh tambah, pembaca yang naif.
Pandangan saya tentang pesta buku berubah pada tahun 2019. Kerana pada tahun tersebut, saya tidak lagi hadir ke pesta buku sebagai pembaca, tetapi sebagai seorang pembaca dan juga penulis. Pada tahun 2018, saya menerbitkan buku Berfikir Tentang Pemikiran secara swaterbit, dan teman saya, Izzat Ibrahim mengajak saya menjual buku bersamanya di reruai mandiri semasa PBAKL 2019. Pada ketika itu saya mula belajar perihal industri buku, bukan lagi sebagai pembaca yang naif, tetapi sebagai pembaca, penulis, dan juga penjual buku. Saya bertemu ramai orang pada ketika itu dan jaringan saya bersama “orang-orang buku” bermula. Saya tiba-tiba disedut masuk ke dalam dunia buku, di dalamnya ada penjual buku, aktivis buku, kolektor buku, penganjur wacana buku, pengkritik buku, pengossip buku, penerbit buku, editor buku, penulis buku, penganjur acara buku, pencetak buku, dan lain-lain. Baru saya sedar bahawa buku itu ada dunianya yang tersendiri, dan pesta buku merupakan sarang mereka bertemu.
Sejak dari itu saya mula melihat pesta buku ini dari kacamata tempatan, kacamata ekosistem buku, kacamata penulis, bukan lagi sebagai seorang pembaca buku-buku Inggeris. Saya masih kekal membaca buku-buku Inggeris, tetapi saya kini sedar bahawa PBAKL bukanlah tempatnya. Buku-buku Inggeris saya biasanya akan datang dari kedai buku internasional dalam talian seperti Book Depository (sudah di tutup), Abe Books dan Bookfinder. Juga kedai buku dan acara buku di luar talian seperti Kinokuniya dan Big Bad Wolf. Ada kalanya saya mencari buku terpakai di Chowrasta Market, Pulau Pinang, juga dari dalam talian di portal seperti Books n Bobs dan Bookaholics Anonymous. Saya tidak lagi mempunyai jangkaan naif bahawa banyak buku-buku Inggeris boleh didapatkan di pesta buku di Kuala Lumpur.
Selepas 2019, saya mula ke PBAKL sebagai penulis. Dari sudut penerbit dan kedai buku yang menjadi pempamer, persoalan utama pastilah tentang pemasaran dan jualan buku. Mereka masuk dengan modal yang besar, jadi untung dan rugi menjadi kriteria utama. Analisis perihal trend pembaca, trafik pengunjung, dan juga statistik perbelanjaan pengunjung, merupakan perkara-perkara yang akan diperhalusi pasca-PBAKL. Namun, saya ingin membawakan sudut yang lain, iaitu sudut penulis. Apa yang diharapkan oleh penulis dari sebuah pesta buku?
Bagi saya, yang pertama adalah penulis mahu berjumpa dengan pembacanya secara bersemuka. Dengan ini penulis dapat mengambil maklum balas secara primer dari pembaca. Tidak semua pembaca selesa menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu buku secara terbuka. Jadi pesta buku merupakan tempat yang sesuai bagi mereka bertemu dengan penulis dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan semua yang ditulis oleh penulis. Mereka juga boleh memberi kritikan, pandangan balas, juga cadangan tentang bagaimana untuk menambah baik lagi mutu dan juga kandungan penulisan.
Apabila penulis dapat bertemu dengan pembaca, mereka dapat memahami bagaimana selera dan juga bentuk khalayak yang membaca buku mereka. Oleh itu, mereka dapat memahami bentuk penulisan yang sesuai untuk diketengahkan dalam penulisan seterusnya. Bagi saya, penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman, pemikiran, dan kefahamannya, tetapi dia mestilah mengenali latar pembacanya dan dapat memberikan sesuatu yang sesuai buat mereka. Tentulah dia tidak dapat memahami satu bentuk pola pembaca sahaja apabila bertemu dengan pembaca, tetapi, semakin ramai pembaca yang ditemuinya, dia akan mendapat gambaran yang lebih jelas perihal pola dan latar pembaca. Dari pembaca yang datang bertemu dengannya, dia dapat menjangka demografi pembacanya, juga menyesuaikan laras penulisannya.
Kedua, selain menemui pembaca, pesta buku merupakan laman yang mekar bagi penulis untuk bertemu dengan para penerbit. Para penerbit sedia ada, dan juga penerbit-penerbit lain yang bakal menjadi penerbitnya. Setiap penerbit mempunyai niche dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, penulis hendaklah mempunyai pengetahuan perihal syarikat penerbitan. Pemahaman perihal syarikat penerbitan ini bukan sahaja perihal niche penerbitan mereka, malah perihal tatakelola dan juga bagaimana mereka beroperasi. Tidak semua penerbit yang ada adalah penerbit yang baik, ada juga penerbit yang bersifat pemangsa, yang mempergunakan penulis bagi membuat keuntungan tanpa memberi mereka pampasan yang sewajarnya. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis bukan sahaja perlu memahami penerbit secara luaran, tetapi dia juga harus peka dengan nadi dan denyut dunia penerbitan, memasang telinga dan mendengar suara-suara yang berbisik-bisik di celah-celah reruai pempamer.
Seorang penulis bagi saya tidak perlu setia kepada hanya satu penerbit. Jika dia menulis karya dalam pelbagai genre, dia wajar mempunyai lebih dari satu penerbit. Setiap penerbit mempunyai tribe dan pengikut yang berbeza, dengan menerbitkan karya dengan penerbit yang memfokuskan penerbitan dalam genre yang bersesuaian, sesuatu karya itu akan mudah mendapat liputan yang meluas dalam kalangan pembaca. Penulis akan menikmati readership yang lebih luas, berpatutan dengan genre penulisannya.
Saya teringat perbualan saya di atas talian bersama Zahiruddin Zabidi, seorang penulis yang banyak menulis buku keagamaan. Beliau berpandangan bahawa sebagai penulis “kita mahu karya kita malar hijau. Menjadi rujukan bidang dan ada sumbangan signifikan dalam dunia intelektual”. Beliau juga berpandangan bahawa karya berbentuk himpunan rencana dan artikel pendek akan deras ditelan zaman sekali pun penulisnya mapan. Beliau mencadangkan agar saya menulis buku berbentuk monograf yang mempunyai satu tema dan berstruktur. Buku berbentuk tematik ini bagi beliau lebih berdaya tahan apabila berlalunya edaran masa. Saya bersetuju dengan pandangannya, dan ada juga menyimpan niat untuk menulis penulisan berbentuk seperti ini. Namun masalah terbesar saya adalah kekangan masa, saya bukan penulis sepenuh masa, saya punya kerja hakiki yang lain. Jadi untuk duduk dalam masa yang lama menulis perihal hanya satu tema merupakan satu cabaran yang sukar. Mungkin nanti jika saya berpeluang mengambil sabatikal, saya akan berusaha ke arah ini.
Saya juga teringat akan perbincangan saya bersama seorang penerbit di Taman Kosas, Ampang tidak lama dahulu. Beliau berpandangan bahawa penerbit yang baik bukan merupakan penerbit yang paling banyak menerbitkan judul. Tetapi penerbit yang berjaya membangunkan penulis. Karya yang dihasilkan penulis diulang cetak, dikemaskini, diperbaiki dengan susun atur dan reka sampul baharu, diberi kata aluan baharu, dalam kata lain, penerbit itu memastikan judul yang diterbitkannya sentiasa ada di pasaran, terus diperbaiki dari satu edisi ke edisi baharu. Hal ini ada kaitannya dengan isu “malar hijau” sesuatu karya. Dalam erti kata lain, penerbit yang baik akan sentiasa memperbaiki dan memastikan karya terbitannya sentiasa malar dan hijau dalam pasaran. Mengembangkannya kepada pembaca-pembaca baharu.
Hal ini menyampaikan kepada poin saya yang ketiga perihal makna pesta buku kepada seorang penulis. Iaitu memastikan karya-karyanya bersifat malar hijau dan terus berada di pasaran. Menulis buku bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Oleh itu, penulis bukan perlu berkejar-kejar melahirkan buku baharu setiap tahun. Tetapi dia harus membantu mempromosikan buku-bukunya yang sedia ada ke pasaran yang lebih luas. Agar mencapai readership yang lebih luas. Hal ini dapat dicapai dengan menghadirkan diri ke pesta buku. Kerana pesta buku bukan sahaja dikunjungi oleh pembaca lama, ia juga dikunjungi oleh pembaca baharu. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis dapat memperkenalkan tulisannya kepada pembaca-pembaca baharu dalam masa yang sama mengembangkan lagi lingkungan pembacanya.
Malar hijau juga membawa erti bahawa karya seorang penulis itu terus dicetak apabila stok habis terjual. Dari sudut pandang penerbit, mungkin menghabiskan stok merupakan satu keutamaan kerana mereka memerlukan semula modal yang sudah dilabur. Namun sudut pandang penerbit dan penulis mungkin tidak sama, penulis bukan sahaja mahukan stok bukunya habis dijual, dia juga mahukan stok bukunya kekal ada selepas ianya habis. Kerana karya yang baik bukanlah karya yang meletup sekali sahaja, tetapi harus meletup berkali-kali. Inilah sebenarnya definisi malar hijau, ia tidak hanya diketahui oleh satu generasi, tetapi mengalir ke generasi yang lain. Isi sesebuah karya mungkin sama, tetapi penafsiran terhadap teks yang sama akan berubah mengikut generasi. Setiap generasi akan menafsirkan teks mengikut latar dan semangat zaman mereka.
Keempat, menghadirkan diri ke pesta buku, selain dapat bertemu pembaca dan penerbit, penulis dapat membina jaringan komuniti. Seperti yang saya sebutkan dalam pendahuluan saya, buku ini mempunyai dunianya yang tersendiri. Jika seorang penulis itu rajin ke pesta buku, rajin berbudi dan berbahasa, sedikit demi sedikit, dia akan diserap ke alam lain, iaitu “alam buku”. Alam buku bukan sahaja terdiri dari pembaca dan penerbit, tetapi lebih luas dengan keberadaan aktor lain seperti penyunting, kolektor, pengkritik, aktivis, dan lain-lain. Dengan bersama dalam sebuah jaringan, penulis akan lebih cakna akan perkembangan dunia buku dan dapat mencari posisi yang paling sesuai bagi menempatkan dirinya.
Seperti yang saya tulis berulang kali dalam buku Dua Sayap Ilmu bahawa “dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang”, saya berpandangan bahawa seorang penulis itu tidak boleh memisahkan dirinya dengan membaca. Sarjana seperti E.H. Carr berpandangan bahawa membaca dan menulis itu satu proses yang sama dan perlu berjalan seiring. Sebab itu, pada pandangan saya, yang merupakan poin yang kelima dan terakhir, tentang makna pesta buku bagi seorang penulis adalah pesta buku itu berfungsi sebagai sebuah ladang. Ladang kepada seorang penulis itu untuk menambah bahan bacaannya sendiri. Seorang penulis tidak akan menjadi penulis yang baik sekiranya dia sendiri bukan seorang pembaca.
Dengan membaca, seorang penulis sebenarnya sedang menajamkan mata penanya. Dengan membaca, seorang penulis itu sedang melebarkan lagi lembaran kefahamannya. Dia dapat meneroka alam fikir baharu dan mampu masuk ke gelanggang permainan yang baharu. Jika penulis itu sekadar seronok dengan karya-karya lamanya, dia akan segera ditelan zaman, pemikirannya menjadi kaku, dakwatnya tidak lagi dapat merangsang fikir. Aksaranya tidak lagi akan membumi dan buah fikirnya tidak lagi terasa manis untuk dinikmati usai peredaran masa. Penulis yang membaca dapat merawat rawan pembacanya, dia mampu memahami degup nadi semasa bangsanya. Lantas penanya dapat digunakan untuk membangunkan penyelesaian, bicaranya sesuai dengan masalah semasa dalam masyarakat. Dalam kata lain, untai-untai kata-katanya dapat mengarah kepada perubahan yang baik dalam masyarakat. Kerana pada perkiraan saya, itulah fungsi penulis, dia bukan hadir untuk mengkhayalkan pembaca dengan bait-bait yang enak tetapi tidak bermakna, tetapi dia haruslah mampu menjadi ejen pembaikan sosial dengan menggerakkan pembacanya untuk bekerja dan berusaha. Maka dengan untaian kesimpulan itu, bagi saya, inilah makna-makna sebuah pesta buku buat penulis.
Artikel ini turut tersiar di Suara Muhammadiyah dan Nesiapos.