Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai,
seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan
selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam
isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau
literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa
yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah
dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.
Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu
mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana
pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka
surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona,
cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.
Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam
274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak
yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta
Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau
pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan
dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis.
Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan
sebagai 'sejarah'.
Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah
Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah
kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini
bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri
kejayaan mereka.
Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan
mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang
kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik,
bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini
penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali
berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut
panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.
Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang
besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan
kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih
dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman
sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum
pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum
pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba
berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di
Kuffah.
Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang
boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan
permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar
menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu
pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan
demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman
tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih
stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi,
dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak
adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.
Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan
mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera
Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke
semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah
membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman,
apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja
Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal
dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq
(rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).
Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan
Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil
'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi
Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman
ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan
Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber
yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera
Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya
menewaskan Alfonso.
Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf
Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil
semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah
Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali
lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu
Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan
kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari
semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.
Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah
Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah
tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia
berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan
Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.
Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea
negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis
oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam
persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang
ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan
mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada
nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke
depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah
liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea
ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.