“it is much safer to be feared than loved” – Nicollo Machiavelli.
Ungkapan ini mungkin ungkapan yang paling terkenal oleh
Machiavelli, apabila dia menjawab soalan adakah pemerintah perlu dicintai atau
ditakuti. Beliau beranggapan bahawa pemerintah perlu memiliki kedua-duanya,
namun ini amat sukar. Sekiranya perlu dipilih, pemerintah harus memilih untuk
ditakuti. Kerana cinta adalah perkara semulajadi yang sukar dikawal, manakala
ketakutan boleh dicipta dan dikawal.
Machiavelli dianggap sebagai
pengasas kepada sains politik moden dengan karyanya The Prince. Buku ini
ditulis pada 1513 namun diterbitkan 5 tahun selepas kematiannya, iaitu sekitar
1532. Ia menjadi rujukan sebahagian besar pemimpin dunia, termasuk diktator
seperti Hitler. Malah Mussolini menjadikannya sebagai subjek kepada thesis
doctorate beliau.
Dalam menguasai mana-mana
kawasan, Machiavelli menggariskan bahawa penguasa harus sedar bahawa mereka
memerlukan bantuan dari penduduk setempat. Sekuat mana pun tentera, tanpa
bantuan populasi setempat, kuasa tidak dapat bertahan. Oleh itu, sangat penting
bagi penguasa menguasai mereka dengan kekuatan mahupun tipu helah.
Machiavelli membuat analisa
berkenaan penaklukan Milan oleh Louis XII, dan bagaimana Louis melakukan
kesilapan sehingga dia hilang semula kuasanya. Beberapa perkara perlu dilakukan
penakluk untuk kekal berkuasa, terutamanya apabila menakluki satu kawasan baru,
yang mempunyai perbezaan budaya. Antaranya memindahkan pusat pemerintahan ke
kawasan baru, menanam koloni, menindas hanya golongan miskin yang tidak mampu
membalas dendam dan melemahkan kuasa-kuasa disekeliling. Untuk kekal berkuasa,
pemberontakan perlu dihapuskan pada peringkat awal, sebelum ia merebak.
Machiavelli dalam analisanya
antara empayar France dan Turki mengakui bahawa terdapat perbezaan dalam dua
empayar ini. Perancis mudah ditakluki tetapi sukar untuk mengekalkan kuasa. Hal
ini kerana, ia mempunyai banyak golongan bangsawan yang mudah dipengaruhi dan
digunakan untuk menakluki pemerintah. Namun apabila berkuasa, bangsawan ini
akan menjadi ancaman. Berbeza dengan empayar Turki, ia tidak mempunyai golongan
bangsawan yang berpengaruh, jadi untuk menewaskan nya, penakluk perlu
menghadapi rakyat yang seluruhnya bersatu dibawah kuasa sultan. Ia sukar
ditewaskan, tetapi jika sudah dikuasai, mudah dikekalkan.
Dalam usaha menakluki sesuatu
kawasan yang sudah mempunyai struktur budaya dan pemerintahan nya sendiri.
Terdapat tiga cara bagi kekal menguasai mereka. Yang pertama, memecah belahkan
kesatuan mereka. Yang kedua, mengubah pusat kerajaan ke kawasan itu. Dan yang
ketiga, melantik kerajaan proksi yang mempunyai hubungan baik. Jika kita lihat
didalam sejarah, kesemua taktik ini digunakan oleh kuasa imperial. British
sebagai contoh menggunakan teknik pecah dan perintah.
Dalam mengekalkan kestabilan dua
faktor mempengaruhi, ujar Machiavelli. Yang pertama adalah undang-undang dan
peraturan yang baik. Yang kedua kuasa dan ketenteraan yang kuat. Yang pertama
tidak dapat tertegak tanpa yang kedua. Oleh itu, kesimpulan beliau dalam
memelihara kestabilan, perlua ada kuasa yang kuat, baik seperti polis atau
tentera yang ditakuti oleh orang ramai.
Seseorang pemerintah ujar
Machiavelli tidak boleh menyibukkan diri mereka dengan perkara lain kecuali
strategi perang, organisasi-organisasi peperangan dan disiplin peperangan, baik
semasa aman atau semasa diancam peperangan. Pemerintah yang sibuk mengejar
kekayaan dan perempuan akan menemui kehancuran.
Beliau juga mengingatkan agar
kita harus menjadi seseorang yang realistik, mengakui kelemahan dan
memperbaikinya, kerana ramai manusia yang berkata-kata tentang kerajaan yang
baik dan sempurna, walhal tiada dalam sejarah kerajaan yang sempurna. Mereka
mengejar bayang-bayang illusi. Machiavelli juga menasihatkan agar pemerintah
belajar untuk tidak menjadi baik, kerana dengan membuat kebaikan dia mudah
dipergunakan. Namun, dia harus melakukan kejahatan dengan berhati-hati, hanya
ketika perlu, dan seharusnya menjaga imej agar tidak kelihatan kejam.
Karya Machiavelli boleh dianggap
sebagai licik, jahat dan kejam. Namun, di sudut praktikal ia sangat mudah
digunakan untuk memiliki kuasa dan mengekalkan-nya. Meskipun kita mungkin tidak
setuju dengan prinsip yang digariskan beliau seperti ‘matlamat meng-halal-kan
cara’, namun saya kira ia tetap perlu dikaji dan ditekuni agar seseorang itu
dapat mengambil pelajaran dan berhati-hati terhadap orang lain yang mungkin
ingin menjatuhkan-nya. Satu karya politik yang praktikal, namun kejam!
Diterbitkan oleh Signet Classic, 1999 (Cetakan pertama 1532)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan