Saya memulakan cuti panjang hujung tahun 2020 seperti biasa, berkemas untuk pulang ke kampung (kota) halaman di Kuala Lumpur, kota kelahiran. Pada mulanya saya ingin membawa pulang novel tulisan Susan Barker untuk menemani cuti, tapi kemudian bertukar fikiran, saya masukkan naskah ini ke dalam beg. Saya masih ingat dahulu saya pernah diabel “pentaksub Benz Ali” oleh seorang teman Islamis, mungkin dia tidak selesa saya membaca buku Benz yang agak kontroversial. Tetapi sebenarnya bukan buku Benz sahaja yang saya baca, saya baca semua, dan seperti pembacaan biasa, ada yang saya setuju, ada yang saya tidak setuju, seperti kitab lain dan kitab ini tidak terkecuali. Membaca tidak bererti kita taksub, ia bererti kita mahu memahami pemikiran orang lain.
Saya memulakan cuti panjang hujung tahun 2020 seperti biasa, berkemas untuk pulang ke kampung (kota) halaman di Kuala Lumpur, kota kelahiran. Pada mulanya saya ingin membawa pulang novel tulisan Susan Barker untuk menemani cuti, tapi kemudian bertukar fikiran, saya masukkan naskah ini ke dalam beg. Saya masih ingat dahulu saya pernah diabel “pentaksub Benz Ali” oleh seorang teman Islamis, mungkin dia tidak selesa saya membaca buku Benz yang agak kontroversial. Tetapi sebenarnya bukan buku Benz sahaja yang saya baca, saya baca semua, dan seperti pembacaan biasa, ada yang saya setuju, ada yang saya tidak setuju, seperti kitab lain dan kitab ini tidak terkecuali. Membaca tidak bererti kita taksub, ia bererti kita mahu memahami pemikiran orang lain.
Saya rasa bersyukur kerana membeli
dan membaca naskah ini, kerana ia bagi saya merupakan satu naskah yang penting
dalam memahami buku haram ‘Antithesis’. Yang pertama ia memberikan konteks
kepada buku tersebut. Yang kedua kerana ia membawakan sisi manusia penulis.
Sering kali apabila kita melihat seseorang dari kaca mata label seperti sosialis,
komunis, ateis, agnostik, liberal, sekularis, kita terlupa bahawa disebalik
label itu adalah manusia yang sama seperti kita. Yang juga akan berdarah jika
terluka, bersedih tika berpisah dengan kekasih. Buku ini enak dibaca, satu
periwayatan kisah hidup, autobiografi, tidak agetatif dan agresif seperti Antithesis,
tidak bernada marah tetapi bernada penceritaan.
Saya setuju dengan pandangan beliau
bahawa sejarah kita, walaupun kita orang kecil, perlu ditulis, kerana jika
tidak, generasi akan datang hanya mengenal orang-orang besar, bangsawan, ahli
politik, ini menjadikan sejarah itu tempang, tidak menceritakan keseluruhan kisah
masyarakat manusia lampau. Saya teringat akan sejarah yang ditulis oleh Howard
Zinn, beliau menulis “the people’s history”, mengumpulkan suara-suara
yang tidak disebut dalam sejarah mainstrem yang hanya memfokus pada
raja, general dan gergasi intelektual. Ia memberi semangat pada diri saya
sendiri, untuk menulis perihal sejarah keluarga, sekolah, kerana tidak ada
orang yang akan menulisnya melainkan kita sendiri. Jika sejarah diri, mustahil
boleh ditulis oleh orang lain selengkap tulisan kita sendiri.
Dalam tulisan awalnya, perihal
zaman persekolahan, beliau menulis bagaimana beliau bersekolah di sekolah agama
(yang dipengaruhi kuat oleh PAS dan ABIM) namun tidak diajarkan “tujuan hidup”.
Ya, tanpa tujuan kita sukar untuk mengharungi hidup. Jika ada tujuan, kita
boleh mengharunginya, apa pun pancaroba yang menyapa. Bak kata Nietzsche, “He
who has a why to live for, can bear almost any how”. Saya juga dibesarkan
dalam sekolah agama, tetapi saya punya pengalaman yang berbeza, tujuan hidup
tidak pernah tidak diajar, sentiasa diulang bahawa tujuan hidup adalah untuk
berubudiyah kepada Allah, malah saya telah hafal dalilnya, Surah Az-Zariyat
ayat 56 yang selalu diulang. Perkara ini adalah perkara pertama yang menggeluti
fikirannya sejak di sekolah, beliau tidak punyai masalah keluarga yang
menjadikan dia “bermasalah”, keluarganya tidak berantakan malah berdasarkan
penulisan beliau, bagi saya keluarganya berfungsi. (19) Beliau mengakui dengan
jujur bahawa dia sendiri yang bermasalah kerana terlalu kuat berfikir.
Di kala pengajian tinggi di KUIS
beliau hanya mengikut sahaja temannya, Abdul Rauf, namun apabila temannya pergi
ke Mesir dia mula hilang arah. (25) Beliau mula memikirkan soal-soal ketuhanan,
perihal kuasa tuhan, persoalan-persoalan yang saya kira tidak berani ditanya
oleh orang kebanyakan. Dari pembacaan saya, saya merasakan beliau lebih meragui
tentang sifat-sifat tuhan berbanding kewujudan tuhan.
Mungkin ramai orang, termasuk saya
sendiri sebelum menelaah dan membaca naskah ini berfikiran bahawa Benz melawan
dan menjadi dirinya yang sekarang atas pilihannya (semata-mata). Tetapi dalam
naskah ini beliau menceritakan bagaimana dia telah cuba banyak perkara, malah
telah mengutus doa kepada kepada tuhan, namun dia tidak dapat melawan keadaan
sekelilingnya. “Kita yang tidak berpeluang...dipaksa menjadi apa yang kita
mampu” tulis beliau. (35) Seperti yang dikatakan oleh Antonio Gramsci bahawa
manusia adalah produk sejarah. Kita lahir dalam satu keluarga yang tidak kita
pilih, di satu zaman yang tidak kita pilih, dengan keadaan dan kemampuan yang
tidak kita pilih, jadi adakah kita boleh mengatakan bahawa kita boleh memilih?
Kerana hampir keseluruhan perkara yang mempengaruhi, membentuk, dan membesarkan
kita adalah bukan pilihan kita. Ini antara persoalan hidup yang ditanyakan Benz
dalam naskah ini.
Buku ini juga mempunyai sedikit disconnect,
contohnya di halaman 45 tiba-tiba kita diberi tahu bahawa Benz bersama bekas
isterinya membawa beg berisi buku ke dalam KTM. Bagi pembaca yang tidak
mengenali beliau secara peribadi, hal ini mungkin membingungkan, kerana pada 44
mukasurat pertama langsung tidak diceritakan perihal perkahwinan, tiba-tiba sudah
punya bekas isteri. Mungkin kisahnya terlalu perit untuk dihidupkan kembali
dalam penulisan ini, saya faham, tetapi ia tetap membingungkan jika dilihat
dari mata kasar pembaca.
Saya kertawa kecil melihat
gambar-gambar lama yang dikongsikan beliau dalam naskah ini. Terutamanya gambar
di MPR pada tahun 2008, berkopiah kelihatan begitu soleh sekali, sangat berbeza
dengan imej gondrong beliau hari ini. (58) Beliau menceritakan bagaimana beliau
bermula dengan penyajak sebelum menjadi penulis, mengikuti gerakan bersama Pak
Dinsman yang menjadi guru seninya. (61) Menjadi sosok kontroversial bukanlah
suatu yang mudah menurut Benz, disebalik populariti yang didapati. Buku-bukunya
tidak disenaraikan di kedai-kedai kebanyakan, malah penerbit juga sering kali
meminta dia mengubah nama pena juga nama buku. (93)
Saya juga sangat tertarik kepada
perbahasan “kerajinan mampu mengatasi kesarjanaan” yang beliau bahaskan dalam
naskah ini. (95) Kita sering ditegah untuk tidak membaca buku tanpa guru, kita
bisa tersesat. Namun ada kelompongan dalam hujah ini menurut Benz. Beliau
bertanya “bagaimana kita mahu berguru dengan orang yang telah mati?”. Maka
disini kita tidak dapat lari dari membaca buku tanpa guru, kerana ia adalah
satu metod penggalian ilmu yang praktikal. Bukankah yang memahami sesuatu
penulisan itu adalah penulis sendiri? Jika penulisnya telah mati, besar
kemungkinan kita akan lebih belajar berkenaan tafsiran guru berbanding maksud
sebenar penulis. Ada ketika saya kira kita perlu berguru, ada ketika kita perlu
menggunakan akal kritikal kurniaan tuhan untuk memahami teks bacaan. Kerana
itulah saya kira fungsi pembelajaran, untuk menjadikan kita independen dalam
memahami dan menganalisa ilmu dihadapan kita, kita tidak boleh bergantung
kepada guru selama-lamanya. Benz memetik pemikiran Gramsci bahawa semua orang
adalah intelektual secara teorinya kerana mereka semua mempunyai idea dan
pemikiran. (103)
Gerakan Kiri merupakan gerakan yang
dekat dengan ideologi pemikiran Benz, namun beliau tidak naif dari mengakui
bahawa gerakan kiri juga berpecah sesama mereka sendiri. (113) Perkara ini
bukan sahaja realiti hari ini, ia sudah dirakam zaman-berzaman, malah bermula
sejak pengasasan gerakan ‘kiri’ itu sendiri. Bagaimana Marx bersengketa dengan
Bakunin, juga bagaimana Trotsky dibunuh oleh assassin yang dihantar
Stalin. Chomsky sendiri sering mengkritik rejim Bolshevik, Leninis, Stalinis
yang bagi beliau memberi nama buruk kepada gerakan sosialis. Bagaimana
Bolshevik menekan golongan pekerja, memerangi anarkis, sebaik mereka memegang
puncak takhta yang dirampas dari Tsar Nicholas. Bagi Chomsky kegagalan
Bolshevik ini adalah pembenaran tilikan Bakunin bahawa idea Marx hanya akan
melahirkan diktator baru, diktator proletariat.
Namun saya kira, walaupun Benz
merupakan seorang yang suka bergaduh dan berpolemik, ketika dia jatuh, dia
masih mempunyai teman-teman yang sudi menerimanya, memberinya bumbung,
menyuapnya makanan, dan memberinya bekas untuk diisikan air mata. Beliau
menceritakan penghargaan beliau kepada temannya Zek De La Rocha yang sudi
memberinya teduh. Benz menulis ketika dia jatuh, dia pulang ke “pangkuan Allah
(Tuhan)”, yang menjawab segala persoalan dan kesedihannya. Benz sendiri mengaku
bahawa dunia moden ini tidak dapat memberi apa yang diberi oleh tuhan, dunia
moden menurut beliau “serba jamad, beku lagi keras”. (126) Disini saya melihat
Benz Ali yang lain, yang berbeza dengan argumen ateis-agnostik yang selalu
dikaitkan dengan dirinya.
Malah dalam makalah ini beliau
pergi lebih jauh, beliau mengkritik atheis dengan konsep tuhan mereka yang
naif. Golongan atheis yang beriman dengan empiricism, hujah empiricism
ini naif menurut Benz kerana tuhan itu pastilah tidak dapat ditakluk manusia,
tidak dapat dicerap oleh panca indera manusia. Konsep yang naif ini bagi Benz
menyebabkan golongan atheist “banyak mengarut dan banyak membuat jenayah
akademik”. (137) Beliau juga berkisah tentang perihal fenomena anak muda
bercerai, kerana saya berkahwin dengan seseorang yang saya tidak pernah
bercinta sebelum kahwin, saya hendak bersetuju dengan tulisan beliau bahawa “...segala-galanya
telah dilakukan sebelum perkahwinan. Dan apakah lagi yang manisnya dalam
perkahwinan”. Saya juga sangat bersetuju bahawa cinta itu satu tanggungjawab.
(139)
Dalam kritikan beliau terhadap atheism
beliau turut memuatkan kritikannya pada Richard Dawkins, seorang sarjana “militant
atheist”, beliau menyangkal hujah Dawkins bahawa hanya keimanan sahaja yang
percaya tanpa hujah. Hakikatnya banyak benda yang kita lakukan secara harian
tiada hujah saintifik. Naik kereta misalnya, kita percaya bahawa kereta boleh
bergerak, tetapi jika ditanya kita mungkin tidak dapat menjawab hukum fizik
atau sistem mekanikal dalaman kereta yang membolehkannya bergerak. Bagi Benz,
Dawkins tidak jujur dalam kritiknya pada agama. (152)
Ada juga hujah Benz yang saya kira
sangat paradoks dengan praxis beliau sendiri, contohnya beliau menyebut “tidak
ada perubahan yang terlahir di dunia hasil maki memaki dalam Facebook”. (189) Pernyataan
ini saya lihat sangat kontradik dengan status-status harian Benz Ali di Facebook.
Walaupun peringkat awal buku ini pembacaan agak tenteram dengan nada
penceritaan, semangat perlawanan dengan nada agresif seperti Antithesis muncul
juga di helaian-helaian belakang apabila beliau mengkritik mahasiswa dan
universiti. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa “jika kau berniat
bahawa kau masuk ke universiti untuk menuntut ilmu. Sama ada kau slow
atau kau pura-pura...”. Ya benar universiti banyak kelemahan, dan ada
segelintir yang menganggapnya sebagai medan transisi ke alam pekerjaan. Tetapi
ini adalah generalisasi yang terlampau luas, ada sahaja manusia yang ke
universiti memang dengan hati yang mencintai ilmu. Buku ini juga saya kira
punya pengulangan isi yang sama, contohnya cerita tentang Abdul Rauf Baharuddin.
(253) Juga ketika beliau menulis bahawa “aku lebih kepada mengikut apa yang
disuruh, apa saja yang didengar, apa saja yang diajar, apa saja yang dibaca,
tanpa kompromi. Dan gigit dengan geraham”, kenyataan ini kedengaran begitu
kontradik sekali dengan idea beliau sendiri bahawa kita perlu mempersoal dan
melawan.
Apa pun buku ini sangat enak
dibaca, terutamanya bab-bab awal perihal bagaimana Benz Ali meriwayatkan kisah
hidupnya, disitu kita dapat memahami bagaimana seorang Amir Hamzah di deconstruct
dan kemudian di construct semula menjadi Benz Ali yang melahirkan Antithesis.
Ia memberi perspektif untuk kita memahami kisah disebalik buku kontroversi Antithesis.
Kritik-kritik beliau juga tajam seperti biasa, cuma mungkin ada beberapa
paradoks dan kontradiksi.
Pada thesis yang ke-11 di dalam Theses
on Feuerbach Karl Marx menulis “Die Philosophen haben die Welt nur
verschieden interpretiert; es kommt aber darauf an, sie zu verändern” yang
bermaksud bahawa ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam pelbagai cara,
namun, apa yang perlu dilakukan adalah mengubah dunia. Dalam kritik Benz Ali
mungkin boleh kita katakan bahawa pengkritik boleh mengkritik dunia dalam
pelbagai cara, namun, apa yang diperlukan adalah kritikan ini boleh
diaplikasikan untuk mengubah dunia.
1 ulasan:
Aku pernah jugak tanya pada kawan-kawan yang lebih tahu, kenapa istilah yang selalu kita dengar bila nak tuntut ilmu agama adalah "tak boleh baca kitab tanpa guru". Macam-macam explanation tapi kesimpulannya aku setuju dengan penyataan tu sebab ilmu agama tak sama dengan ilmu yang lain sebab melibatkan hukum yang perlu jelas, bukan dengan andaian sendiri lebih-lebih lagi yang melibatkan perkara fardhu. Berbanding dengan bahan bacaan lain, seperti ideologi misalnya, tak semestinya kena ada guru/penulis untuk menghurai.
Catat Ulasan