Tahun ini PBAKL kembali ke tengah
pusat negara di PWTC, saya ingat kali terakhir saya datang PBAKL adalah di
MAEPS Serdang, kemudian beberapa tahun tidak dapat hadir atas komitmen
pengajian. Tahun ini masih ada komitmen pengajian tapi saya ‘mengelat’ dan
datang juga.
Jika sebelum ni datang untuk
berjalan-jalan sambil menambah koleksi buku untuk dibaca, tahun ini saya datang
untuk menjual buku. Walaupun jika dikira untung rugi mungkin tidak berbaloi pun
menjual di PBAKL bagi penerbit swaterbit indie, tetapi apa yang lebih berharga
adalah pengalaman juga perbualan-perbualan dengan masyarakat.
Buku yang saya cetak sebenarnya
telah lama habis, saya pun malas untuk mencetak lagi. Tapi apabila sahabat saya
Izzat mengajak untuk bersama dia untuk menjual di reruai swaterbit saya buat
cetakan kedua. Saya tahu, jika untung rugi itu hanya dikira dengan matawang ringgit
mungkin tidak berbaloi, tapi apa yang lebih penting adalah solidariti bersama
penulis dan penerbit indie, pengalaman bercerita dengan pengunjung, juga
sembang dan renungan bersama.
Bersama komrad-komrad
Anarko-sindikalisme
Antara pengalaman berharga kali ini
adalah berkongsi reruai dengan penerbit anarkis indie. Duduk dengan mereka,
sama-sama menjual buku, makan bersama, semestinya berharga dan melahirkan
perasaan brotherhood. Mereka ini ber-ideologi pro-buruh, anti-fasis (antifa),
budak-budak punk, juga pemusik-pemusik indie. Di takdirkan Tuhan mereka
berkongsi reruai dengan budak usrah!
Amatan saya mereka mempunyai
semangat brotherhood yang kuat antara sesama mereka dalam komuniti mereka,
dalam kalangan Islamis semangat ini terjelma dalam terma ukhuwwah Islamiyah. Mereka
juga kebanyakannya tidak percaya pada Tuhan.
“Weh tak solat Jumaat ke?” sapa Oka.
“Aku boleh jamak sebab datang dari
Sungai Petani.” balas saya. Melihat saya ingin bertanya pula Oka terus berkata.
“Oh kitorang tak, kitorang kafir.” jelas
Oka.
Apa yang menarik adalah selepas kami
bersama-sama menjual buku dari pagi sehingga penat, kami duduk bersama-sama
bersembang hati ke hati. Oka bercerita berkenaan dengan ideologi anti-fasis
beliau, beliau berkata dia menentang semua ke-fasisan baik fasis-agama atau
fasis-bangsa, tetapi percaya kepada pendekatan anti-keganasan. Saya pun
bertanya bangaimana dengan ‘aksi langsung dan sabotase’? antara sebuah buku
klasik anarko-sindikalisme yang sempat saya belek.
“Tak semua benda yang kita baca sesuai
kita pratikkan hari ini, kena lihat situasi” jelas Ashi.
Wow, saya kagum mendengar kata-kata
yang keluar dari mulut adik punk berumur 17-tahun, dia seolah faham ilmu waqi’.
Ashi tidak menghabiskan sekolah, dia bersama kawan-kawan menjual t-shirt dan
buku. Mukanya bersih dan sentiasa ceria, dipipi bawah mata kanan beliau ada
sebuah tatoo perkataan ‘mercy’, di leher beliau ada tatoo besar rama-rama, tangan
kanan dan kiri juga ber-tatoo, dan di kedua telinga ada gelang kecil yang
ditindik.
Oka kemudian bercerita tentang
ketidakpercayaan beliau pada tuhan, beliau berkata bahawa asas ketidakpercayaan
beliau adalah pencarian dan pembacaan beliau, beliau bukan tidak percaya agama
disebabkan dendam atau mempunyai pengalaman buruk dengan orang-orang agama.
Tetapi beliau sama sekali tidak membenci agama, baginya tidak percaya dan benci
dua perkara berbeza. Dia percaya idea perlu berlawan dengan idea, dan buku
perlu berlawan dengan buku.
“Apa perasaan ko bila dengar orang
cakap camtu?” tanya Ashi, mungkin dia curious apa yang budak usrah seperti saya
fikirkan mendengar cerita bangsa sendiri tidak ber-tuhan.
Saya sedikit sebanyak menceritakan
latar keluarga dan hidup saya, buku-buku yang saya baca di pertengahan hidup,
saya katakan bahawa setiap manusia mempunyai latar hidup mereka. Dengan
latar-latar ini setiap manusia sampai kepada cara fikir mereka, dan manusia
tidak boleh memilih latar keluarga mereka, jadi saya tiada sebarang perasaan
benci. Tapi saya percaya bahawa manusia boleh berkomunikasi apabila dia sudah
dewasa dan memilih cara fikir baharu yang lebih benar dengan kemampuan akalnya.
Oka berkata bahawa dia ada
membelek-belek buku saya, dia kata dia akan baca, sekiranya tiada unsur fasis
dia mahu cetak dan jual buku saya. Ashi kelihatan masih muda dan jauh lagi
perjalanan hidupnya, saya hadiahkan kepadanya senaskah buku saya secara percuma
dan berpesan agar dibaca dan tidak dibuang.
Sembang petang dengan politikus
“Mana ko nak cari ahli politik beli zine punk.” kata Budiman yang singgah di reruai
kami dan membeli dua siri Mosh Zine. Jika dilihat dengan mata kasar, tidak
nampak seperti ahli politik, memakai baju t-shirt Hard Rock Cafe ‘Seville’
sambil menarik trolley-cart berisi buku, dan bersembang pasar dengan
budak-budak jalanan. Agak kelakar trolley-cart beliau saya lihat, teringat
makcik-makcik tua dia Rusia ketika saya masih belajar dahulu, mereka juga
menggunakan trolley-cart yang sama.
Dia pun duduk dan bersembang bersama
kami, bertanya khabar dan progress jualan. Banyak juga topik menarik yang kami
bualkan, terutamanya berkenaan dengan penulisan buku dan proses jualan. Budiman
pernah ter-viral dalam sebuah wacana anjuran akhbar harian, apabila seorang pakcik
tua mengatakannya ‘bodoh’, tapi dia tenang menjawab.
Saya bertanya tentang wacana
tersebut, Budiman menjawab biasa “Alah, tak kisah, aku tahu diorang tu cari
makan”, nampak dia tidak menyimpan hati sedikit pun. Dia bercerita tentang
pengalamannya menerbitkan buku, bagaimana dia menjual buku sendiri dan bertegas
tidak mahu jual pada orang tengah. Baginya, dia yang berusaha membuat kajian
dan menulis, mengapa orang tengah boleh mengaut 40 peratus? Dia kemudian mengeluarkan
bukunya ‘Propaganda Politik’ dari trolley-cart kelakarnya. Buku ini dari hasil kajian PhD-nya
ujar Budiman. Oka minta free tetapi Budiman tak bagi, saya pun membeli sebuah
tanda solidariti.
Minum kopi bersama Wolf di tepi Sungai
Gombak
Saya sempat di PBAKL tahun ini hanya
dua hari, sepanjang dua hari itu hanya berada di reruai sendiri dan tidak
mempunyai masa untuk berkembara, menikmati, dan membelek buku di reruai yang
lain. Hari kedua di reruai kami disertai Wolf, pemuzik dan penulis, dan Nizang,
penerbit zine. Wolf tiba awal, anarkis-anarkis lain masih belum bangun tidur.
Dia pun menyusun poskad hasil karya beliau. Saya turut membantu mempromosikan
poskad beliau, ada juga pembeli dari crowd saya yang membeli.
Buku Wolf bagi saya menarik, ia
bukan travelog biasa tapi sebuah pengembaraan dengan misi tersendiri, dalam
masa yang sama dimuatkan lukisan-lukisan beliau sepanjang pengembaraan beliau.
Saya tertarik dengan kehalusan seni beliau, dan beliau bercerita tentang
bagaimana setiap lukisan itu di hasilkan, teknik-teknik yang digunakan. Saya
bertanya berkenaan dengan lukisan original. “No, not for sale!” jawab Wolf
tegas. Saya beli satu buku beliau 'Kept in Ink' bersama poskad tanda solidariti.
“Weh, jom cari kopi” ajak Wolf
apabila sudah separuh hari berpromosi dan memberi flyers pada pengunjung.
Masing-masing penat, kini tiba masa untuk makan tengahari. Kami pun keluar dari
dewan dan masuk ke medan makan di tepi sungai Gombak yang berwarna seperti ‘teh
tarik’. Kami bersama makan nasi putih dengan ayam goreng kampung, sambal
belacan kedai tersebut sangat sedap, pedas, dan ‘terangkat’. Saya bungkus satu untuk Izzat.
Wolf bercerita perihal dirinya, dari
dia mula berkarya ketika belasan tahun, aktiviti harian busking di SACC mall,
juga projek-projek amal beliau mengajar muzik secara percuma kepada anak-anak
di PPR. Kami bersembang berkenaan dengan buku, banyak juga yang dibualkan kerana
banyak buku yang sama kami baca seperti karya-karya Chomsky hingga ke kritikan Richard
Dawkins terhadap agama.
Kami kemudian berbual berkenaan
dengan halatuju politik kiri di Malaysia. Wolf berpendapat bahawa parti sosialis
di Malaysia masih membawa sosialis lama era-70-an sedangkan kapitalis berubah
dengan cepat, kapitalis hari ini tidak sama dengan kapitalis 70-an. Di sebabkan
itu mereka sukar mendapat base terutamanya dalam lingkungan ideologi. Perkataan
‘sosialis’ sendiri mempunyai konotasi negatif di Malaysia dan sering dikaitkan
dengan ‘komunis’. Tetapi bagi Wolf, parti sosialis konsisten dalam bekerja
memperjuangkan rakyat bawahan, tiada siapa boleh menyangkal mereka ‘berkerja’,
dan dia sendiri meletakkan simpati beliau pada mereka, dan tidak segan membantu
jika diminta.
Selamat tinggal Pesta Buku KL 2019
Dalam pekat malam kota aku meninggalkan
pesta buku tamat hari ke-dua, pekat malam kota tidak sama dengan pekat malam desa kerana ada
lampu neon di mana-mana. Pesta kali ini membuatkan aku berfikir berkenaan
dengan keindahan seni dan karya, bagaimana ia boleh merentas rupa, warna, juga
ideologi dan budaya. Baik kiri atau kanan, mereka duduk sebentar dalam genjatan
senjata, bersama di dalam satu dewan bersama menjual karya.
Di kesempatan ini, saya ucapkan
terima kasih buat penganjur yang memberi ruang kepada kami untuk bernafas,
kepada komrad-komrad anarkis yang bersama-sama menjual karya, kepada pengunjung
yang sudi singgah mendengar cerita, kepada pembeli dan pencinta karya, kepada
suri hati yang menjaga dua anak tercinta dan melepaskan suamimu ke pesta, dan yang
paling utama, kepada Allah yang memberikan nikmat tenaga dan usia.
Selamat tinggal pesta buku!