Rabu, 1 Julai 2020
Catatan Baitul Muslim 31: "Kakak suka dua orang"
Menulis Perlukan PhD
Cuma protes saya cuma sedikit ini, politik ini sepatutnya hal rakyat, maslahat rakyat, jadi ia boleh difikir, ditulis, dikritik oleh rakyat. Lagi aneh jika rakyat yang tidak punya PhD tidak boleh menulis pasal politik tetapi ahli politik sendiri ramai yang tidak punya PhD. Malah ada dikalangan mereka tidak pun ada ijazah, ada juga yang menipu sijil.
Bukan niat dan naluri saya memperlekeh mereka yang punya PhD. Tentulah tulisan mereka yang ada PhD mempunyai bayangan autoriti lebih dari penulis biasa. Jika berkesempatan saya pun ingin menyambung pengajian ke peringkat PhD, tetapi itu tidak harus menjadi halangan untuk kita menulis. Barbara Tuchman misalnya, yang menulis karya terkenal The Guns of August perihal prelude kepada perang dunia pertama bukan sahaja tiada sijil PhD, sijil sarjana pun tiada dalam ehwal sejarah. Tetapi tulisan beliau menjadi teks penting, dan diperdebat ahli akademik sejarah di kemudian hari sehingga kini.
Jika syarat menulis itu perlu PhD, maka kita akan kehilangan banyak karya-karya penting, magnum opus yang ditulis sepanjang sejarah oleh penulis yang tiada PhD, tetapi tetap tulisan mereka merubah dunia, menyedarkan generasi, serta memartabatkan manusia.
Kita semua boleh menulis. Sebab itu kita diajar menulis sejak awal, mungkin karangan pertama kita "Aku sebatang pen" atau "Aku sebiji epal" seharusnya kemahiran yang kita belajar itu kita teruskan, tulislah apa pun, pengalaman hidup, protes polisi, perasaan rindu di hujung malam, apa sahaja, itu akan menjadi helaian sejarah buat anak-anak kita. Mereka juga pasti bersyukur kita menulis, ada perkara yang boleh mereka renungi jika kita telah tiada nanti. Tulisan kita akan menjadi dialog kita dengan generasi baru, apabila kita sudah tiada.
Isnin, 29 Jun 2020
Catatan Baitul Muslim 30: Novel & Memarahi Anak
Sabtu, 27 Jun 2020
Abang Posmen Bawa Kegembiraan
Ahad, 21 Jun 2020
Memaknai Rumi: Siri 10
Sabtu, 20 Jun 2020
Ada satu malam, dia akan meragui dirinya
Rabu, 17 Jun 2020
Mazhab Politik Realism
Isnin, 15 Jun 2020
Teori Galah Sejengkal & Ideological Schism
Saya membesar di Kuala Lumpur, 1998 saya berumur 8 tahun, belum mengerti apa itu politik, jika ke Markas PAS di Taman Melewar pun hanya kerana ingin beli pita kebab dari penjual yang membuka gerai ketika ceramah. Saya membesar dengan menyaksikan dinding-dinding diconteng grafiti ABU di ibukota, setelah dewasa baru saya faham ia adalah acronym "Asalkan Bukan UMNO". Sehinggalah saya sudah bekerja sekarang, drama yang sama bermain, sudah bosan, mual, dan muak. Saya tak faham bagaimana "intelektual" masih ingin menarik generasi kami ke kancah politik lama yang sudah kami saksikan sejak 22 tahun yang lalu.
Mungkin kaca mata intelektual itu hanya berlegar untuk memastikan kelangsungan parti atau karier politik. Sementara ada rakan dan komrad yang sudah menulisnya sebagai "intelek-jual", saya masih menahan diri dari menulis menggunakan bahasa pejoratif, takut-takut dituduh tidak berakhlak Islam lagi kerana berani berkhilaf dalam politik.
Tapi dari satu sudut saya faham kesepitan yang dialaminya. Naiknya dulu menerusi gelombang kemarahan rakyat, walaupun kemudian dia banyak men-delete status lamanya. Jadi atas dasar prinsip, atau atas dasar tidak mahu menelan ludah, tidak dapat bekerjasama dengan kerajaan lama. Meninggalkan Mahathir juga sukar, kerana naiknya dulu atas dokongan beliau, meninggalkan Anwar juga tidak boleh kerana tidak punya kerusi dan pengaruh. Jadi terpaksalah menggosok dan memuji kiri dan kanan, menjaja "teori galah" yang bukan saja tidak melambangkan jubah intelek, malah membuat rakyat muntah.
Ya, kejatuhan kerajaan 22 bulan itu secara stuktur dan mekaniknya adalah kerana perubahan fikir (pengkhianatan adalah perkataan yang selalu digunakan penyokong mereka) beberapa parliamentarian. Tetapi mengapa mereka berbuat begitu? Secara Machiavelli-nya adalah disebabkan untuk mengekalkan kuasa. Tetapi pasti ada sesuatu penolakan yang menyebabkan mereka merasakan mereka tidak boleh berkuasa (memerintah) secara efektif dalam kerajaan lama yang mereka bina.
Idea reformasi dan perubahan itu bagus diatas kertas dan di dalam buku-yang-bukan-kitab-suci, dan rakyat pun menerimanya, sebab itu mereka mengundi perubahan pada pengundian umum ke-14. Namun selepas ia tertegak, ternyata ia membawa sesuatu yang lain, satu ideological schism antara kelas pemerintah dan yang diperintah, yang sangat berbeza dengan identiti asal negara. Itulah yang meresahkan mufti utara yang dahulunya mereka sendiri puja. Ideologi yang dibawa tidak cocok dengan rupa asal negara, jadi kita melihat pelbagai kontradiksi dalam pakatan yang sama. Terlalu berfaksi sehingga tidak ada yang dominan, menyebabkan strukturnya goyah, runtuh sendiri apabila matlamat pendek membuang MO1 telah berjaya. Kerana ideological schism ini tidak punya rangka kerja jangka masa panjang, tidak ada konsensus dalam struktur apa yang hendak dibina.
Lebih malang sehingga hari ini ia tidak selesai. Sangat malang bila dibaca pendapat pemegang kerusi Hulu Langat yang mengatakan ia tidak penting, sebab merasakan ia tidak pentinglah kerajaan itu gugur, kini mahu tarik negara ke permainan usang semula? Ini kerja gila.
UMNO yang dituduh "jerung bobrok" itu pun mampu berkonsensus sehingga 60 tahun, kerana apa? Kerana mereka sudah lama selesai soal ideologi, tiada schism yang melahirkan prejudis tebal. Tetap ada kritikan dan keluhan (luka kecil dan luka besar) tetapi mereka jelas apa yang hendak dibawa, negara boleh dipandu walaupun pasti ada kelemahan. PAS yang dituduh menungang agama itu pun boleh menerima sekiranya nelayan berkain pelikat mereka tidak diangkat menjadi menteri perdana, kerana mereka berkonsensus tentang perancangan jangka panjang negara, mereka sedar ideologi itu perlu ditanam dan dipropagandakan dengan berkesan, tidak boleh dipaksa apatah lagi jika ia ingin mengubah identiti negara.
Maka kita tunggulah kerja-kerja menyelesaikan pengiraan
matematik tarik menarik ini. Dalam masa yang sama kita perlu hadapi teori-teori
galah untuk memetik "buah-buah ranum". Mungkin buah rambutan itulah
rakyat, sudah dimakan isinya, kulit dan bijinya akan dibuang ke dalam bakul
sampah.
Khamis, 11 Jun 2020
Selalu di mimpiku, rindu
Isnin, 8 Jun 2020
Google Play Books vs Amazon Kindle
Khamis, 4 Jun 2020
Kos Proofreading Manuskrip Buku di Malaysia
Ahad, 31 Mei 2020
Keperluan Kepada Pendidikan Seksual
Jika siapa yang pernah membaca buku saya, mereka akan
mendapati kritikan saya terhadap sistem pendidikan. Ya, saya setuju, tidak
boleh kita longgokkan semua pendidikan di bahu sekolah, kerana sekolah
mempunyai banyak limitasi. Jadi kritik terhadap pendidikan itu bersifat umum.
Antara perkara yang saya pernah kritikkan, sesuatu yang saya rasa hilang dari
sistem pendidikan kita adalah mendidik manusia menjadi ahli keluarga dan
masyarakat, pendidikan kita terlalu berfokus kepada melahirkan pekerja, graduan
mahu segera dipasarkan, graduan dan pasar tidak dapat dipisahkan.
Tanpa menafikan kepentingan untuk berkerja, yang merupakan
inti utama dialektik materialisma Marx, iaitu manusia memerlukan
keperluan-keperluan material untuk hidup, kita juga tidak dapat menafikan
bahawa manusia itu bukan sekadar tercipta untuk bekerja. Selepas habis 8 jam
bekerja dia akan pulang kepada keluarga dan masyarakat, dia menjadi ‘ahli
masyarakat’. Marx sendiri sedar akan perkara ini, sebab itu dia menulis manusia
perlu bebas bukan sekadar menjadi pekerja. Kata Marx, manusia perlu bebas “memburu
di pagi hari, memancing di tengah hari, menjaga lembu sebelah petang, dan
menjadi pengkritik selepas makan malam”.
Selain pendidikan menjadi ahli masyarakat, pendidikan
mengurus kewangan, yang hilang dari silibus kita, pendidikan seksual juga
hilang dari silibus kita. Saya bukanlah seorang advocate untuk pendidikan seksual
di sekolah, tetapi bagi saya pendidikan itu perlu dilalui sebelum ahli
masyarakat mendirikan rumah tangga. Ya, kita ada kursus kahwin sebelum
berkahwin, tetapi setelah melaluinya saya rasa ia tidak cukup untuk mendidik
ahli masyarakat kita.
Pendidikan seksual juga merupakan taboo dalam masyarakat,
saya tidak dapat bayangkan ibu bapa mengajar anak mereka perihal seksual dalam
masyarakat kita. Saya yakin ia perlu diajar oleh pihak ketiga. Namun jika pihak
ketiga itu adalah pornografi dan bahan-bahan yang merosakkan, masyarakat kita (lebih
spesifik anak muda kita) akan mendapat kefahaman yang salah tentang persoalan
seksual. Membantu masyarakat mengurus konflik seksual rumah tangga dengan
tertib dan mengikut lunas syariat.
Sebab itu kita memerlukan satu pendidikan yang selamat,
tidak lucah, mengikut syariat Islam, bagi memenuhi keperluan ilmu baik untuk
yang akan berumah tangga atau belum berumah tangga. Seorang sahabat berkongsi
kepada saya salah satu bentuk pendidikan yang disediakan oleh seorang ahli
kaunselor yang bertauliah dengan harga yang sangat murah. Saya merasakan
usahanya sangat baik untuk mengisi salah satu kotak kosong pendidikan dalam
masyarakat kita. Saya yakin dengan penerangan beliau, beliau meminta bantuan
saya mempromosikannya agar lebih ramai mendapat manfaat.
Saya sertakan linknya disini bagi mereka yang memerlukan. Jangan risau, privasi anda dijamin selamat, dan
kandungan pendidikannya selari dengan kajian psikologi sains moden dan bernaung
di dalam syariat Islam.
Pengalaman Merentas Negeri Semasa PKPB
Sabtu, 30 Mei 2020
129 & Kelemahan Sistem Demokrasi
Setelah suhu politik negara kembali sejuk, dan keadaan kelihatan reda. Kini kelihatan ia kembali berkocak apabila negara menyaksikan pemecatan beberapa ahli parlimen dari sebuah parti yang menyatakan mereka 'bersatu', namun kini mereka dilihat lebih 'berpecah' dari bersatu. Juga pakatan yang telah jatuh dari takhta kini sekali lagi bangun menyatakan mereka mempunyai "angka" sebanyak 129. Krisis matematik yang kita jangka telah selesai kini mungkin menarik negara kita semula kepada krisis baru.
Demokrasi secara definisinya memang merupakan satu bentuk kerajaan yang tidak stabil. Ini diakui sendiri oleh pemikir yang sangat totok memperjuangkan 'demokrasi liberal' seperti Francis Fukuyama yang menyatakan ia tidak stabil kerana mana-mana rakyat boleh menyuarakan rasa tidak puas hati, agitate, protes, melemahkan keyakinan rakyat pada kerajaan, hinggalah menjatuhkan kerajaan atas nama kebebasan bersuara, kebebasan media, dan kebebasan berpolitik.
Oleh kerana ia merupakan suara popular rakyat, mana-mana ideologi popular, baik konservatif, progresif, bahkan fasis boleh memegang puncak takhta jika mereka berjaya menyebarkan propaganda dengan efektif dan mempengaruhi pemikiran dan sentimen rakyat. Proses ini diteruskan sehingga ia mencapai satu 'critical mass' atau krisis yang akan melahirkan perubahan. Seperti kata Milton Friedman, krisis, sama ada realiti, atau direka akan menatijahkan perubahan. Ini boleh berlaku sepanjang tahun, 24 jam, menjadikan mana-mana kerajaan yang memegang kuasa tidak efektif.
Oleh kerana itu, jika kita menyaksikan wacana yang membandingkan demokrasi dengan sistem lain, demokrasi yang liberal dilihat lemah. Hal ini lebih jelas apabila perkiraan ekonomi diambil kira. China sebagai contoh, sering menggunakan hujah bahawa mereka merupakan "civilization state", mereka boleh melindungi perkembangan ekonomi dengan sistem politik yang stabil (walaupun represif dari kaca mata Barat). Oleh itu kita lihat, ketika Donald Trump yang naik atas semangat populis dan mengenakan pelbagai sekatan kepada mereka, China kelihatan tenang, kerana mereka tahu Trump akan ditukar juga dengan pilihanraya, manakala Xi Jinping masih akan kekal sekiranya ajal belum menjemput. Sistem politik China membolehkan mereka bermain "long game", membuat polisi untuk jangka masa panjang, untuk 20-30 tahun (seperti One Belt One Road), bukan polisi pendek demokrasi yang hanya bertahan 5 tahun kemudian akan bertukar dengan bertukarnya kerajaan.
Korea Selatan yang hari ini dilihat sebagai sebuah negara Asia yang maju juga dimodenkan bukan dengan demokrasi. Kemajuan ekonomi Korea dilakukan dibawah pemerintahan diktator Park Chung-hee yang memaksa rakyatnya berubah kepada industri berat. Park tidak akan berjaya memaksa perubahan ini jika pemerintahannya tidak stabil, berjangka pendek dan sering diancam pertukaran. Begitu juga Jepun dibawah pemerintahan Meiji. Singapura dibawah pemerintahan satu parti PAP kelolaan Lee Kuan Yew. Juga Malaysia dibawah bapa permodenan negara, Tun Mahathir yang sering digelar diktator.
Jika kita optimis, mungkin krisis-krisis yang melanda negara
ini bersifat sementara, sementara menanti bentuk pemerintahan yang stabil dan
bertahan lama. Jika kita pesimis, mungkin ini pengakhiran negara kita yang akan
terus berada dalam "perpetual state of crisis" yang akan memadamkan
kejayaan yang kita bina selama ini, atau melahirkan "political
vacuum" seperti di Libya yang berakhir dengan perang saudara.