Kerinduan yang paling menyakitkan adalah kerinduan yang dipisahkan oleh kematian. Merenung gambar-gambar lusuh lama juga tidak membantu, malah ada ketikanya hanya menambah kerawanan jiwa. Melihat rumah yang dahulunya riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil dan adik-beradik yang saling bertelingkah, kini hanya sepi, dengan perabut dibalut agar tidak dihuni habuk. Juga peralatan-peralatan lama, yang masih setia menunggu tuannya yang tidak akan pernah kembali, ia terdampar sepi mengumpul karat-karat besi.
Begitulah sebenarnya putaran hidup, suka atau tidak, tiada apa yang kekal. Anak-anak yang menghiasi hidup akan terus tumbuh membesar. Masa tidak akan menunggu ibu bapa yang mahukan manja-manja mereka berkekalan. Lama kelamaan anak-anak itu akan merdeka dan mandiri, dia akan keluar dari rumah bertebaran membawa diri. Dia akan membina hidupnya yang baharu, dengan orang-orang baharu. Putaran hidup ini walaupun menyedihkan, ia adalah lakaran kehidupan. Tiada siapa yang salah, kerana ia adalah sunnatullah. Yang muda akan tua, yang kecil akan dewasa, dan semuanya akhirnya akan meninggalkan dunia.
Sekuat mana pun kasih sayang yang dibina, apabila tiba masanya, perpisahan terakhir akan menggigit kita. Meninggalkan parut rindu di dalam hati yang tidak akan pernah sembuh. Parut yang akan kita bawa sehingga ke akhir hayat. Hidup ini sememangnya melankolik jika kita mahu memilihnya. Namun disebalik melankolik ini, hidup juga memberi kita pilihan untuk bahagia dan gembira jika kita memilihnya. Hidup, seperti juga sekeping wang syiling, mempunyai dua sisi. Ada sisi sedih, ada juga sisi gembira, dengan keduanya hidup kita diwarnai.
Selepas kita tenggelam dalam melankoli hidup, yang memang selayaknya kita tenggelam sementara, kita harus bangun semula. Untuk menghargai apa yang kita masih ada. Ya, kita kehilangan seseorang, tetapi kita tidak hilang semuanya. Haruslah kita adil, dalam menangisi insan yang sudah pergi, kita juga harus meraikan insan-insan yang masih ada di sisi. Menemani mereka, selama mana takdir membenarkan kita. Melankoli hidup dicipta Tuhan bukanlah sebagai perasaan yang sia-sia. Tetapi sebagai satu renjutan jiwa, agar kita menghargai apa yang masih kita ada.
Selagi kita punya masa bersama anak-anak, maka hargailah mereka. Raikan tangisan manja mereka. Lihatlah segala apa yang mereka mahu tunjukkan kepada kita, sama ada pencapaian kecil atau besar mereka. Dengarlah segala aduan-aduan dan rungutan mereka, sebesar dan seremeh mana pun yang kita rasa. Hayatilah pertengkaran antara mereka, kerana satu hari nanti, ribut tangisan dan perang mulut mereka adalah lagu yang sentiasa kita rindu dan damba. Sebelum kerinduan datang menggigit, kita harus menghargai kehidupan bersama insan-insan. Selama mana takdir membenarkan.