Selasa, 28 Julai 2020
Top 10 Bestseller The Bibliophile Bookshop July 2020
Catatan Baitul Muslim 33: Mengisi Tangki Emosi
Ahad, 26 Julai 2020
Perginya Teacher Embun Menghadap Ilahi
Catatan Baitul Muslim 32: Nasihat Buat Kaum Ibu
Sabtu, 25 Julai 2020
Manusia dilahirkan merdeka tetapi digari dimana sahaja - Rousseau
Baru-baru ini saya bersiar-siar
di laman Youtube, melompat dari satu video ke satu video, dari satu syarahan ke
satu syarahan, dari satu debat ke satu debat, terjumpa dengan frasa “man is
born free and everywhere he is in chains” yang merupakan tulisan Jean-Jacques
Rousseau dalam adikaryanya The Social Contract. Seperti karya Adam Smith, saya
akan cuba geledah dan cari frasa ini disebalik helaian makalah Rousseau. Jadi
apa yang dimaksudkan oleh Rousseau?
Saya tidak tahu maksud sebenar,
apa yang dimaksudkan Rousseau secara literal kerana saya belum membacanya, saya
sudah memesan naskah tersebut, kebiasaannya buku yang dihantar par avion
oleh Royal Mail dari Gloucestershire akan mengambil masa lebih dari sebulan
untuk sampai ke Kampung Baru Bakar Arang, Sungai Petani. Jadi saya tidak boleh
syarahkan perkara yang saya belum baca, kerana saya tidak mendalami ilmu kasyaf
atau ilmu laduni. Tetapi saya ingin coretkan perspektif yang dibincangkan dalam
video yang saya lihat di laman Youtube.
Manusia, atau masyarakat yang
hidup dalam agama sering kali beranggapan bahawa agama itu mengongkong,
membataskan kebolehan dan keupayaan manusia. Mengambil semangat dari Revolution
Francaise dengan motto “liberte, egalite, fraternite” ramai yang ingin
bebas dari agama, ingin bebas tanpa kongkongan.
Dalam masa yang sama, ada juga
manusia yang hidup tanpa pengaruh agama, mereka merasakan bahawa dunia yang
berfokus kepada kebendaan dan moral nihilism merupakan satu kongkongan terhadap
jiwa, dan memilih untuk keluar darinya dan masuk kedalam agama yang dirasakan
membebaskan jiwa. Antara buku yang baik berkenaan dengan hal ini, pada fikir
saya, adalah buku tulisan Na’ima Robert bertajuk From My Sisters’ Lips, yang
mahu mengetengahkan suara wanita Eropah yang memilih Islam, perspektif mereka
sendiri yang bebas dari sebarang paksaan.
Maka disini kita sampai kepada
satu kesimpulan bahawa tidak ada keadaan yang membolehkan manusia itu bebas seratus
peratus. Pasti ada limit dan kekangan yang akan mengawal mereka, pasti ada
undang-undang, baik agama atau sekular yang akan mengikat mereka. Mungkin itulah
yang dimaksudkan oleh Rousseau apabila beliau menulis “man is born free and
everywhere he is in chains”, manusia itu dilahirkan merdeka tetapi dimana
sahaja dia berada, dia digari.
Ambil ekonomi sebagai contoh,
jika kita mengamalkan sistem kapitalis yang mengutamakan nilai kebebasan kita
akan “digari” dari sudut kesaksamaan, dimana yang kaya dibenar mengumpul harta
dan berjurang dengan yang miskin. Jika kita mengamalkan sistem komunis yang
mengutamakan nilai kesaksamaan, kita akan “digari” dari sudut kebebasan
memiliki harta. Begitu jugalah dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan.
Ada orang pernah mengatakan pada
saya, mengajar anak-anak perihal agama adalah proses “indoktrinisasi”. Saya
bersetuju. Tetapi jika kita tidak mengajar mereka agama, dan mengajar mereka
atheism, tidakkah itu akan menjadi indoktrinisasi atheism? Kerana anak-anak itu
dilahirkan kosong, bersih, umpama kain putih, terserah kepada ibubapanya untuk
mencorakkannya (men-indoktrinisasi-kannya). Jadi kita akan keluar dari satu
gari ke gari yang lain.
Selain contoh ekonomi dan
pendidikan, manusia akan digari oleh suasana sekelilingnya. Masyarakat,
undang-undang, adat, hatta media sosial yang kita rasakan bebas pun punya
peraturan dan limitasi. Kadangkala ada hantaran yang dipadam, ada profile yang
ditiadakan. Kerana manusia akan sentiasa hidup dalam kongkongan. Hatta jika
kita lari dari semua ini, kita siapkan khemah dan beg The North Face kita untuk
masuk ke hutan dan jauh dari kongkongan ekonomi, politik, dan sosial, kita
masih tidak mampu lari dari “gari” biologi, yang menentukan akhirnya kita akan
mati, dan kebebasan kita untuk bergerak, bernafas, berpanca indera, semuanya
akan ditarik balik.
Saya tidaklah merasakan saya
benar dan tahu semua, seperti yang saya tegaskan, saya tiada ilmu kasyaf atau
ilmu sihir. Tetapi pada kira-kira saya yang kurang tahu ini, mungkin dari sentiasa
cuba untuk bebas sebebasnya, yang menyebabkan kita bebas dari satu gari hanya
untuk digari oleh gari yang lain, mungkin kita boleh mencari kebahagiaan dan
ketenangan, mungkin itu lebih bermakna dan diperlukan. Di dalam sejarah, tidak
sedikit kita menjumpai insan yang dipenjara jasad tetapi jiwa mereka bebas dan bahagia.
Kerana bahagia itu di jiwa, mungkin itu sahaja bahagian manusia yang bebas dari
sebarang gari duniawi, yang kekal merdeka selepas kelahiran manusia.
Dan pada ayat Rousseau mungkin kita boleh
menambah “man is born free and everywhere he is in chains, except for his soul,
which will remain free, if so he choose”.
Ahad, 19 Julai 2020
Balik ke Kuala Lumpur
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara. |
Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran. |
Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka. |
Sabtu, 18 Julai 2020
Murung
Khamis, 16 Julai 2020
PPSMI: Diskusi bersama Wern Han
Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli
parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar
menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap
dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat
dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita
tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri.
Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60
tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.
Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di
tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru.
Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan,
ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia,
dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa
Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar
ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji
polisi pendidikan negara.
Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu
berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau
keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak
bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan.
Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi
saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa
Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh
ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika
kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap
Malaysia?
Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26,
dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland
(Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut
World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI
lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang
dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia,
Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di
tempat kedua.
Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han,
pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah
dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan
negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi.
Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai
semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian
berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan
aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika
Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia.
Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?
Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika
kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi
dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar
bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita
tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.
Selasa, 14 Julai 2020
Belajar Sepanjang Hayat
Ahad, 12 Julai 2020
Aljazeera: Mempertahankan Kebebasan Media
“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan."
Sabtu, 11 Julai 2020
Yitai Zhengce: Polisi Satu Anak
Namun apabila sampai ke mukasurat 60, perasaan saya pecah, ada satu perasaan tidak selesa timbul dalam diri saya, perasaan dingin yang meresap ke tulang-tulang saya, saya tidak boleh duduk diam selagi tidak menulis perihalnya. Sebelum sampai ke mukasurat 60, elok kita bincang dahulu sedikit latar belakang buku ini.
Buku ini ditulis oleh Mei Fong, seorang anak kelahiran Malaysia, anak bongsu ke-5 dari keluarga yang tidak punya anak lelaki. Beliau bersyukur kerana moyangnya dari Selatan China berhijrah ke Malaysia, jika tidak, dia mungkin tidak dilahirkan. Mei Fong berkerja sebagai wartawan untuk Wall Street Journal, dan di hantar ke China untuk menjadi koresponden.
Dari Latar Mei Fong, saya beranggapan bahawa sudut pandang penulisan beliau pasti membawa perspektif Barat dan juga Western Bias terhadap China. Ya, memang betul, Mei Fong hampir tidak jumpa satu apa pun berkenaan China untuk tidak dikritik. Dari pencemaran udara sehinggalah ke stadium Olimpik yang membazir, beliau tidak berhenti mengadu. Mudah untuk kita dismiss kritikan Mei Fong sebagai "ala dia ni terpengaruh dengan fahaman Barat yang dengki dengan kejayaan ekonomi China" atau sengaja hendak memburukkan China.
Kenapa polisi ini tercetus? Dalam analisis beliau, China mempunyai krisis legitimasi selepas bencana polisi seperti Great Leap Forward dan Cultural Revolution. Untuk menyelesaikan masalah ini China perlu mencari legitimasi dari sudut ekonomi. Ekonomi bergantung pada pengeluaran dan penggunaan, namun, sukar untuk tingkatkan pengeluaran secara drastik, tapi penggunaan boleh dikurangkan, dengan mengawal jumlah pengguna, atau dalam kata lain mengurangkan jumlah penduduk. Secara teori, dengan meningkatkan pengeluaran, mengurangkan populasi penduduk, pendapatan per kapita dapat ditingkatkan.
Mei Fong dalam analisinya berkata hanya masyarakat yang telah bankrap intelektual sahaja boleh menerima polisi mengawal manusia seperti mengawal komoditi lain seperti batu arang dan gandum. Dan hanya masyarakat dengan sistem totalitarian sahaja yang boleh melaksanakan polisi ini, jika masyarakat terbuka, polisi ini tidak mampu bertahan walaupun sehari. Apa itu kerajaan totalitarian? Ada dibincangkan oleh Francis Fukuyama, tapi diluar penulisan ini. Jadi pembaca boleh mencari sendiri.
Namun untuk melaksanakan polisi radikal ini, kajian perlu dibuat untuk memastikan unjuran populasi boleh mencapai jumlah populasi yang di ingini. Disini timbul masalah kerana China ketika itu tidak mempunyai ahli demografi dan saintis sosial yang mampu mengkaji masalah ini dengan mendalam. Intelektual elit mereka telah lumpuh terutamanya bidang sains sosial yang ditekan ketika era Cultural Revolution. Oleh itu, polisi ini telah dikaji dan dibentangkan oleh saintis dalam bidang roket, golongan intelektual yang masih tersisa ketika itu. Salah seorang darinya adalah Song Jian, seorang specialist dalam bidang ballistic missile yang dididik di Rusia. Song merupakan protege Qian Xuesen, co-founder NASA's Jet Propulsion Lab (JPL). Oleh kerana tidak mempunyai kapasiti pada ketika itu, Mei Fong berpendapat polisi ini berdiri atas asas yang lemah.
Walaupun kajian mendalam impak polisi ini tidak dapat dijalankan kerana kekurangan data dan kepakaran, ia dilaksanakan pada tahun 1980 ke seluruh negara. Untuk menguatkuasakan polisi radikal ini ke satu negara yang besar seperti China, ia memerlukan birokrasi yang sangat besar. Dari perembesan propaganda untuk meyakinkan masyarakat, sehinggalah kepada pekerja sosial diperingkat kampung untuk memerhati dan memasti polisi ini dipatuhi. Disini bagi saya merupakan pusingan yang menyaksikan kekejaman polisi ini. Apa yang dipanggil sebagai "human cost". Kerana manusia itu kompleks, cubaan merendahkan manusia untuk disesuaikan dengan teori adalah sukar. Kita melihat bagaimana Darwinisme cuba menyempitkan manusia kepada sifat biologi seperti survival dan reproduksi, jadi Richard Dawkins struggle untuk membahaskan soal altruism. Bagaimana, ahli teori neo-liberal yang cuba menjual teori pasaran terbuka, terpaksa membawa konsep 'rational economic man' walaupun ia bertentangan dengan maxim bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak rasional. Harga kemanusiaan ini yang membuatkan saya merasakan bahawa analisis Mei Fong ini bukan sekadar kritikan untuk memburukkan China.
Baik, setelah membentangkan sedikit pengenalan, disini kita sampai kepada apa yang berlaku di mukasurat 60. Di mukasurat ini Mei Fong menceritakan bagaimana penguatkuasaan dilakukan. Beliau membawa satu cerita.
Feng Jianmei merupakan seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dan mengandung anak kedua. Beliau mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun dan percaya beliau boleh mendapat pengecualian untuk anak kedua. Pihak berkuasa tidak bersetuju dan meminta dia dan suaminya membayar denda $6,000. Kerana takut dipaksa menggugurkan kandungan Feng selalu lari dari berjumpa pegawai kesihatan, dan menyorok di rumah saudara maranya.
Tetapi Feng tidak bernasib baik, ketika kandungannya 7 bulan beliau ditangkap dan dibawa ke hospital. Pihak berkuasa kini meminta $16,000. Suaminya Deng minta denda dikurangkan, dan membayar 1/3 selepas meminjam wang dari kawannya. Tapi diberi tahu dia perlu membayar penuh tanpa kurang satu sen pun.
Dalam masa yang sama Feng dipaksa untuk menandatangani persetujuan untuk mengugurkan kandungan. Dia kemudian disuntik ubat untuk membunuh fetus dalam kandungannya. Feng menceritakan keadaan beliau ketika itu "saya boleh merasai bayi saya meronta-ronta di dalam diri saya, tetapi kemudian dia berhenti bergerak". Sampai sini saya sudah koyak dan sebak. Jururawat kemudian meletakkan bayi kebiruan yang telah sempurna sifat tetapi tidak bernyawa itu disebelah Feng. Dan kakak ipar Feng mengambil gambar beliau yang murung dan lemah berbaring disebelah mayat bayinya. Jika anda punya hati yang kuat anda boleh mencari gambar Feng Jianmei yang memurungkan ini di internet.
Apa yang berlaku kepada Feng, walaupun kedengaran sangat kejam, bukanlah unik, ia adalah cerita yang berlegar sejak 1980 sejak polisi ini dimulakan. Ia adalah harga manusia yang dibayar oleh rakyat China. Banyak lagi kesan-kesan sosial yang dibincangkan dalam buku ini, seperti kekurangan tenaga kerja, populasi tua, ketidaksamaan gender dalam populasi (kerana ramai yang memilih bayi lelaki, dan mengugurkan kandungan perempuan), dan banyak lagi. Tapi mungkin lebih adil jika saya ulas apabila saya telah baca keseluruhan naskah ini.
Rujukan:
Sabtu, 4 Julai 2020
Reviu: Menolak Perintah oleh Iltizam Iman
Khamis, 2 Julai 2020
MATRI: Sekolah Kecil
Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek. |