Judul : Men are from Mars, Women are from Venus
Penulis: John Gray
Penerbit : HarperElement 2002
Secara jujur, Saya tidak begitu
meminati bahan bacaan berbentuk motivasi, psikologi dan hubungan antara
manusia. Kali terakhir saya membaca buku dengan tema seperti ini mungkin buku
karya Leil Lowndes yang bertajuk ‘How to talk to anyone’, dan sebelum itu
mungkin buku tulisan Abbas As-Sisi yang bertajuk ‘Bagaimana menyentuh hati’.
Buat masa ini saya lebih tertarik dengan bacaan bersifat pemikiran, politik
Islam, pilitik dunia dan perkembangan semasa. Tapi saya terpaksa akui, tulisan
John Gray dalam buku ini begitu luar biasa walaupun ditulis 20 tahun lalu. Gray
berjaya membawa topik hubungan lelaki dan wanita dengan cara yang menarik dan mengutarakan
teori yang bernas.
Buku ini mendalami bagaimana
lelaki dan wanita diciptakan dengan sangat berbeza. Perbezaan ini amat ketara,
terutamanya dalam memproses maklumat, menyalurkan emosi, reaksi terhadap
perkara yang berlaku seharian dalam hidup, seolah-olah mereka dari dua planet
yang berbeza. Dengan pemahaman terhadap perbezaan ini suami atau isteri dapat
bertindak balas dengan lebih bijaksana, serta dapat mengelakkan pertelingkahan.
Proses memahami perbezaan ini sangat penting bagi melahirkan komunikasi
berkesan.
Saya setuju dengan kebanyakan
teori yang dikemukakan oleh Gray tentang lelaki, seolah-olah dia sedang berkata
tentang saya. Sifat penciptaan seorang lelaki saya kira memang begitu, apabila
dia meletakkan komitmen terhadap sesuatu perkara, akan tiba satu masa dia
menarik diri, bersembunyi, mengambil masa untuk dirinya. Begitu juga dengan
konsep cinta yang bersifat bermusim dan memerlukan usaha untuk mengekalkannya,
ia dapat membantu pasangan baru untuk lebih bersedia secara mental dan
emosional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan