Syarifah Amni Zaheerah - 7 bulan.
Tidak pernah terbayang masa depan, ia sentiasa misteri. Menyorok di sebalik tabir takdir, hanya terungkap apabila masanya tiba. Tidak awal tidak lambat. Sehebat mana perancangan manusia, tidak pernah dapat meneka apa yang ada dibelakang tabir itu, ada kala rancangan berjaya dan di banyak kala yang lain, kita bertukar rancangan.
Aku sering termenung saat memandu ke tempat kerja, melihat bendang bertukar musim sepanjang jalan di Tikam Batu hingga Kepala Batas. Ada kala cantik menghijau, ada ketika menguning sehingga ke ufuk, ada ketika gersang dan kontang selepas dituai. Tidak pernah terfikir aku menjadi aku sekarang. Sudah bekerja, sudah berkahwin, sudah menjadi bapa, sudah sedikit 'berisi'. Seperti baru semalam aku berkerja menangkap ikan puyu dan haruan di tepian parit di Bagan Datoh bersama adik-adik ku. Bermain bola dipetang hari berkaki ayam sehingga maghrib. Kini aku bukan lagi budak itu. Dulu sering terfikir 'aku ingin lekas dewasa', kini zaman kanak-kanak yang sering datang membuai rindu.
Walaupun mungkin kini aku sudah dewasa, aku ingin terus belajar. Belajar mengenai hidup, belajar mengenai kehidupan.
Menjadi bapa merupakan pelajaran yang sangat terkesan kepada diriku. Cabaran utama bagi ibu bapa dengan anak yang masih kecil adalah menidurkan mereka. Ia umpama peperangan yang harus ditempuhi setiap hari. Dalam banyak ketika kemahiran meneka sangat diperlukan, kerana anak kecil hanya mampu menggunakan satu bahasa - bahasa tangisan. Dari bahasa ini mungkin dia ingin tidur, mungkin dia sakit perut, mungkin dia hendak bertukar lampin atau ingin minum susu. Sering kali juga tekaan yang dibuat gagal, hingga tekaan ketiga barulah mengena. Mungkin naluri bapa ku belum benar-benar matang.
Membesarkan anak sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Segala-galanya perlu disiapkan. Kalau dahulu travel bersama isteri bawa dua beg sahaja, kini tidak lagi. Kereta akan dipenuhi dengan car seat baby, bakul susu, pampers, kain, bedak, pump susu, bantal menyusu, lapik tidur dan seribu satu keperluan yang lain. Separuh muatan kereta adalah barang keperluan anak. Tetapi itu lah manisnya pengalaman, aku sedar satu hari nanti anak ini akan membesar, ke asrama dan tinggal bersama pasangan sendiri. Tidak pernah satu saat aku merasakan ia adalah perkara yang menyusahkan, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup, yang aku akan rindui satu hari nanti.
Jika dahulu hendak pergi kemana-mana tidak perlu risau. Boleh ber-camping, mendaki gunung selama 5 hari, boleh tidur dalam hutan. Menjadi bapa, perkara pertama yang bermain dalam fikiran sebelum berjanji untuk apa-apa aktiviti adalah siapa yang akan jagakan anak. Jika dahulu masa mula berkahwin, boleh balik bertemu isteri dua minggu sekali, bila sudah ada si kecil bekerja 3 hari tidak balik rumah sahaja sudah rindu. Takut untuk tinggalkan anak lama-lama, takut dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, takut dia lebih rapat dengan pengasuh dari ayahnya sendiri.
Ada ketika isteri tidak sihat, suami perlu menjadi doctor cum nurse untuk menjaga isteri, dalam masa yang sama perlu menjaga anak. Ada aktiviti luar yang akan terbatas, terpaksa ditolak. Namun ia perlu dilakukan kerana ia adalah tanggungjawab, ia adalah amanah, ia juga adalah ibadah.
Melihat demografi Malaysia, menurut kajian kaum cina mempunyai keluarga yang kecil 1 hingga 2 anak. Keluarga melayu masih mengekalkan keluarga yang besar antara 4 hingga 6 anak. Faktor yang mempengaruhi nombor ini adalah ekonomi. Membesarkan anak bererti sedia berbelanja besar. Namun, orang melayu yang kebanyakan nya beragama Islam masih mengekalkan keluarga yang besar kerana dalam Islam mereka meyakini rezeki adalah dari ALLAH SWT. Setiap anak telah tertulis rezekinya.
Aku sendiri bukan lah dari keluarga bangsawan. tidak mampu balik kampung menaiki jet mewah, cuma mampu menaiki kereta yang telah berumur 10 tahun. Ya, membesarkan anak memerlukan belanja. Dan keadaan ekonomi sekarang tidak membantu kita. Namun aku sering teringat kata-kata seorang pemimpin apabila dipersoalkan mengapa organisasi terus membuka institusi pengajian walaupun tiada keewangan. Katanya "kita tak akan pernah cukup duit". Begitu jugalah dalam memulakan keluarga, terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja. Gaji masuk mungkin sama dengan perbelanjaan bulanan, keinginan-keinginan mungkin terpaksa ditangguhkan atau dikorbankan. Tetapi ia berharga. Segala penat dan pengorbanan ini terbayar apabila melihat anak tersenyum, melihat anak tidur dengan aman. Ia membahagiakan.
Percayalah, sesukar manapun untuk memulakan keluarga, mulakan lah. Berusaha mendepani cabaran, jangan takut. Adakalanya kita perlu tutup mata dan redah sahaja, serah natijah kepada Sang Pencipta. Satu hari anak yang menangis ini akan pandai berjalan, keluar dari jagaan kita. Kita akan merindui tangisan manja mereka, kita akan rindui melihat mereka belajar berdiri dengan memanjat badan kita, kita akan rindui wajah bayi mereka, kita akan rindu saat mereka masih boleh didukung. Akan tiba satu masa ia hanya akan tinggal kenangan dan disimpan dalam album gambar. Hargai lah hari ini, rasai lah hari ini. Hiduplah, ciptalah bahagia dan kebahagiaan.
Selamat Hari Bapa!
2 ulasan:
nice blog. aku kerete usia 20 tahun mcm mana plak?
macam macam bro
Catat Ulasan