Jumaat, 26 Februari 2021

Projek Penulisan Sejarah Keluarga


Atuk sebelah ayah saya bernama Syed Mohd Jiplus, diceritakan beliau merupakan generasi ketiga yang berasal dari keturunan Syed Enden yang berkahwin dengan Alang Kilit. Syed Enden dikhabarkan berketurunan dari Arab, dan berpindah dari Melaka ke Changkat Tualang, Kota Baru, Perak. Itulah riwayat yang diturunkan arwah ayah pada saya. Atuk saya merupakan seorang imam di sebuah Masjid di Changkat Tin, sebuah masjid yang berdekatan dengan rumah di kampung. Menurut kakak saya, Syarifah Nabihah, atuk juga selalu mengayuh basikalnya, kadang-kadang sehingga sampai ke lombong bijih timah tempat dia pernah berkerja. Menurut sepupu saya, Mohd Hazarudin bin Zulkilpully, atuk juga jika makan pasti licin pinggannya, dan apabila selesai, atuk akan tuang air kosong ke dalam pinggan dan menghirupnya sebagai tanda penutup selesai makan. Amalan makan sehingga licin pinggan ini diingati dan diamalkan juga oleh cucu atuk yang lain, iaitu Jasmin Jalaludin.

Menurut Rosimah Mat Selan, beliau pernah tinggal di rumah bersama atuk dan opah selama 2 tahun selepas moyang Mat Selan meninggal dunia, beliau memanggil atuk dengan gelaran Abang Cik. Beliau juga memerhatikan perkara yang sama, bagaimana atuk basuh tangan di dalam pinggan selepas makan dan minum air tersebut. Menurutnya lagi, atuk memang seorang pendiam namun baik orangnya, dia selalu memerhatikan atuk berzikir lama selepas solat. Atuk juga walaupun berkain pelikat, dia akan memakai kasut, bukan capal (selipar).

Menurut Jasmin Jalaludin, sepupu yang saya panggil Kak Min, atuk juga seorang yang suka membaca, kata Kak Min "he was an avid reader" hingga menyebabkan dia tension sebab atuk membaca surat khabar pagi berjam-jam, atuk membaca setiap artikel dalam setiap muka surat. Semasa mereka duduk di Petaling Jaya, Serdang, dan Bangi mereka melanggan dua surat khabar, Utusan dan New Strait Times (NST). Jika atuk sudah mengambil Utusan, Kak Min terpaksa mengambil NST, namun apabila dia sudah habis membaca NST, atuk biasanya belum habis lagi baca akhbar Utusan. Jadi akhirnya Kak Min terpaksa duduk disebelah atuk untuk baca sekali akhbar Utusan. Atuk biasanya akan membentangkan akhbar di atas lantai, jadi Kak Min akan duduk dan baca disebelah bersama atuk.

Kak Min merupakan anak kepada arwah bapa saudara saya yang tidak sempat saya kenali. Pak We yang bernama Jalaludin lahir pada tahun 1946 namun tidak diletakkan "Syed" pada sijil lahirnya. Cerita kenapa tiada Syed pada nama ini disimpan oleh Pak Ngah dan Mak Yang, yang saya perlu kutip nanti. Arwah Opah ada juga menasihati Pak We agak menukar nama di surat beranak beliau, agar cucu-cucunya seperti Kak Min boleh diberi nama Sharifah Jasmin, namun perkara ini sukar dilakukan kerana nama juga perlu ditukar pada kad pengenalan, surat nikah, dan pelbagai dokumen lain. Walaupun begitu, cucu-cucu Opah tetap mencintai nama yang diberikan pada mereka walaupun tiada Syed dan Sharifah.

Nenek saya di sebelah ayah bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Saya masih kecil ketika mereka meninggalkan saya, tapi sehingga hari ini saya masih ingat suara nenek dengan loghat Peraknya, saya panggil nenek Opah (bukan Oppa macam peminat K-pop tu). Opah banyak simpan duit syiling bawah katilnya, bila raya Opah keluarkan, Opah akan bagi pada saya dua keping syiling 50 sen lama, bukan syiling 50 sen kecil design baru warna kuning sekarang. Mungkin bagi Opah zamannya 50 sen itu besar nilanya, tapi bagi cucunya yang kecil ketika itu, saya lagi gembira apabila dapat duit raya RM10 dari Mak Kecik, adik ayah yang tak pernah bagi duit raya kurang dari RM10. 

Saya masih ingat, kadangkala di rumah Opah di Changkat Tin, saya selalu bermain dengan alat pengupas sabut kelapa, alat ini adalah alat manual disebelah kiri rumah bersebelahan pokok sireh. Seingat saya jiran kami dahulu ada mesin parut kelapa untuk membuat santan. Opah hanya ada alat-alat manual. Dalam kelapa tua biasanya ada kumbul kelapa, sedap dimakan, kumbul kecil biasanya manis, manakala kumbul yang besar biasanya masam. Ada juga orang yang memanggilnya sebagai tombong kelapa. Menurut Opah Imah, orang Perak memanggilnya "gomboy nyoir", yang kecil-kecil comel biasanya sedap dimakan. Namun dizaman moden ini saya pun tidak tahu dimana saya boleh merasa gomboy nyoir ini, seolah-olah semasa kecil dahulu itulah kali terakhir saya memakannya.

Ayah kepada Opah Andak Jijah bernama Haji Mat Selan. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Fatimah yang merupakan bidan kampung dan mereka dikurniakan 8 orang anak. Selepas Fatimah meninggal dunia Haji Mat Selan berkahwin dengan isteri kedua bernama Embun dan dikurniakan 10 orang anak lagi, dari 10 anak ini 9 adalah anak perempuan manakala 1 orang anak lelaki, yang paling bongsu adalah kembar 2 perempuan. Opah Andak Jijah adalah anak dari perkahwinan Mat Selan dengan isteri pertama. Menurut Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan, yang merupakan adik Opah Andak Jijah melalui isteri kedua Mat Selan), Haji Mat Selan pada awalnya berkerja sebagai pembantu kedai, ketika umurnya di hujung 40-an beliau berkerja di kapal korek dalam industri perlombongan bijih timah seperti Atuk Syed Mohd Jiplus. Sekitar tahun 1964-1965 beliau menunaikan haji menaiki kapal laut, perjalanan yang mengambil masa 4 bulan.

Pernah satu ketika, masa balik kampung, ayah suruh saya bersembang dengan Opah, saya waktu tu masih kecil, berbeza generasi, tak tahu nak soal apa. Tapi saya pergi juga pada Opah dan bertanya soalan-soalan budak-budak. Opah menceritakan pengalamannya pada zaman Jepun, bagaimana dia menyorok di parit sawah apabila dengar jet Jepun datang. Atuk pula tak banyak bercakap dengan saya, atuk selalunya berserban dan berkain pelikat. Pagi-pagi biasanya saya tengok atuk akan petik rumput di laman rumah, sebelah telaga di tepi rumah ada satu laman kecil macam padang bola. Rumputnya cantik macam rumput sintetik. Atuk akan bersihkan dari rumput-rumput lain supaya kawasan itu nampak cantik dan sekata dengan sejenis rumput sahaja. Ada juga gambar atuk berbalut tangan bersama kakak saya, saya ingat-ingat lupa momen masa gambar itu diambil, atuk waktu itu patah tangan kerana jatuh panjat pokok ciku depan rumah. Depan rumah selain pokok ciku ada pokok rambutan, masa musim rambutan memang best mengait rambutan depan rumah dengan ayah. Zaman sekarang mungkin tak ramai orang yang ada pokok rambutan dan ciku depan rumah, yang banyak adalah tiang elektrik. Ketika raya biasanya Pak Oteh akan mengetuai projek membakar lemang. Depan rumah juga ada hutan kecil, tempat saya meneroka dengan adik-adik sebelum balik semula rumah atuk dan opah sambil menangis kerana digit tungau! Adik saya, Syed Ahmad Islami biasanya akan standby di depan kipas setelah digigit tungau. Pengalaman digigit tungau ini juga antara yang paling diingati adik saya, Syed Ihsan.

Nenek sebelah ibu saya bernama Hafsah Sidin, yang saya panggil Wo, dalam bahasa Kampar nenek dipanggil "Uwo". Wo berketurunan Kampar dari suku Cheniago, keluarganya berasal dari Kuok, Bangkinang (sekarang di Indonesia). Naik kapal mendarat di Singapura sebelum mengikut jalan darat dan sampai ke Bagan Datuk, Perak. Wo berkahwin dengan atuk, Mohd Noh bin Jaafar yang merupakan anak keturunan Banjar generasi ke-3. Kata Wo, Atuk tak dididik buat kerja kampung. Jadi mereka berniaga untuk menyara hidup. Banyak perusahaan yang mereka buat, buka kedai runcit, kedai gambar, dan akhir sekali kedai makan. Masa kecil bila balik kampung, saya akan tengok Wo bangun awal pagi buat nasi lemak, dan dibawa naik kereta Kancil dari Rungkup Kecil ke kedai berdekatan Jeti Bagan Datuk. Menurut kakak saya lagi, Syarifah Nabihah, dahulu dia selalu membaca surat khabar jawi sambil makan ais kacang di kedai Wo, kebolehannya membaca jawi dipandang hebat dan dipuji satu kampung.

Jeti Bagan Datuk ni banyak memorinya. Terkenal dengan ikan Sembilang dikalangan para pemancing tempatan. Berdekatan jeti dulu ada perpustakaan kecil, saya selalu juga masuk bermain dalam perpustakaan itu, sekarang sudah tiada. Sekarang jeti ini sudah dibangunkan dengan moden oleh Datuk Zahid Hamidi. Ada dataran yang cantik, juga dibina masjid terapung. Kedai Wo diwarisi oleh Pak Teh. Juga berdekatan jeti disebelah dataran ada kedai Soto yang diusahakan oleh Makcik Mam, adik kepada ibu. Jeti ini juga dahulunya boleh membawa penumpang ke Pulau Pangkor.

Kampung di Rungkup Kecil, Bagan Datuk ini pun banyak memorinya. Biasanya antara benda yang saya tunggu-tunggu apabila balik kampung adalah mencari ikan di parit. Di parit sekeliling rumahlah saya mengenali ikan haruan, sepat, puyu, juga ikan mata tiga. Ibu dahulu pernah ajar teknik memancing ikan mata tiga tanpa menggunakan mata kail. Apabila balik semula ke Kuala Lumpur, kereta Nissan Sunny kami biasanya akan ada baldi yang berkocak di tempat kaki seat belakang. Biasanya dalam baldi itu ada ikan haruan dan puyu yang kami berjaya tangkap. Ikan sepat pula senang mati, selalu tak dapat tahan perjalanan dalam baldi dari Rungkup Kecil ke Gombak. Menyedihkan!

Banyak lagi kisah sejarah keluarga yang saya ingin rekodkan dan tuliskan. Banyak juga wataknya yang telah meninggalkan dunia dan tak sempat direkod sejarah mereka. Saya sebenarnya ada projek penulisan untuk menulis semula sejarah dan salasilah keluarga dengan lebih lengkap. Namun saya perlukan bantuan ahli keluarga dalam Facebook ini yang sudi membantu. Projek ini masih jauh perjalanannya, dan saya bertarung dengan masa. Jadi jika ada ahli keluarga, opah, nenek, atuk, makcik, pakcik, saudara, sepupu, adik beradik yang mahu menyertai projek ini, saya amatlah berbesar hati. Agar sejarah ini boleh kita rekodkan dengan baik untuk rujukan masa hadapan. Antara bantuan yang diperlukan:

1. Menjejaki ahli keluarga/teman yang menyimpan cerita/dokumen/gambar/sejarah keluarga.

2. Merekod temuramah berkenaan dengan sejarah keluarga dari ahli keluarga yang telah tua dan masih hidup. Contoh temuramah yang direkodkan boleh ditonton dan didengari disini.

3. Menyiapkan transkrip kepada video temuramah.

4. Identifikasi gambar lama, berkenaan tarikh, nama dan latar tempat.

5. Mendigitalkan gambar lama.

Projek ini masih dalam fasa pengumpulan bahan. Yang mungkin memakan masa 5-10 tahun. Jika tiada yang membantu pun saya tetap akan meneruskannya sebelum saya mati. Cuma mungkin jika dibantu, dan disertai ramai, sejarah itu lebih lengkap untuk kita tinggalkan pada generasi seterusnya. Jadi andai ada ahli keluarga yang membaca dan mahu membantu bolehlah hubungi saya. Atau sudilah kongsikan pada ahli keluarga kita yang lain. Dan berdoalah projek ini berjaya sehingga ke akhirnya.

Rabu, 24 Februari 2021

Meraikan Kejayaan Kecil: Gunung Tahan Hiking Log Versi Buku

 

Pada tahun 2014, saya bersama sahabat-sahabat berjaya mendaki Gunung Tahan, alhamdulillah semuanya selamat walaupun ada juga kisah-kisah duka lara yang kecil. Pada mulanya saya sekadar tuliskan perihal pendakian ini untuk rekod peribadi sahaja, dalam bentuk PDF dan untuk dibaca teman-teman mendaki.

Namun selepas beberapa tahun, saya rasa elok jika ia dikongsikan dengan pembaca yang lebih luas, jadi saya susun semula untuk diterbitkan secara percuma di Google Play Book. Boleh dibaca secara percuma melalui pautan ini.

Namun selepas beberapa ketika, tetap rasa tidak puas. Kerana naskah itu tidak berdaftar dengan Perpustakaan Negara, tidak punya ISBN, dan tidak direkod dalam katalog penerbitan. Jadi saya mengambil keputusan untuk menjilidkannya sebagai sebuah buku kecil. Bukan untuk tujuan komersil, cukuplah sebagai simpanan peribadi dan koleksi perpustakaan. Bagi saya, tak semua benda perlu kita tulis untuk dijual, ada yang mungkin coretan pengalaman hidup untuk rekod peribadi, dan rujukan bagi interest group yang kecil. 

Hari ini menerima naskah-naskah yang telah siap dicetak. Terima kasih diucapkan kepada SYFE Management yang menguruskan proses penerbitan dan percetakan.

Sedikit maklumat perihal naskah ini:

Judul: Gunung Tahan Hiking Log
Cetakan Pertama: Februari 2021
ISBN 978-967-2496-20-5 
Jumlah muka surat: 94

Khamis, 18 Februari 2021

Reviu Buku Kembara Darus Senawi 1963

 

Buku ini pada saya merupakan sebuah karya kembara legenda, unik, malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai "magikal". Itulah kuasa buku seperti yang dikatakan Carl Sagan, mampu membawa kita mengembara ke masa lalu. Karya ini legenda dalam pelbagai level. Pertamanya, ia merupakan coretan berharga, kisah pengembaraan orang dahulu, bagaimana orang dahulu punya kisah Euro Trip. Sisi ini sangat berharga kerana bagi saya orang-orang lama menyimpan pelbagai permata sejarah, dan permata itu hanya boleh kita temui jika mereka bertinta.

Yang kedua, ia mendedahkan sisi Ustaz Darus yang tidak diketahui sebelum ini. Saya kenal beliau hanya sekadar sebagai penterjemah, saya ada membaca Kitab Fiqh Seerah karangan Said Ramadhan Al-Buti yang diterjemah oleh Ustaz Darus semasa saya mengaji di St. Petersburg, Rusia, naskah ini memberikan saya sisi manusiawi pada penterjemah yang saya kenal itu.

Yang ketiga, buku ini membuatkan saya berasa takjub, dan mungkin sedikit cemburu dengan kesungguhan beliau mengembara dan bersusah payah untuk mencari ilmu. Beliau meredah lautan (secara literal) untuk mengejar cita-cita yang tersemat dalam jiwanya. Sanggup mengetepikan perasaan malu, perasaan rendah diri, perasaan tidak cukup, untuk keluar mengembara, melihat dunia dan menggali ilmu.

Benarlah tulisan beliau, bahawa dengan kembara, dengan menuntut ilmu, bersusah payah, kita akan menjadi insan yang lain. Pengembaraan, pembelajaran, pembacaan mengubah cara kita berfikir, cara kita berperspektif, juga cara kita memahami dunia dan segala isinya. Saya sendiri tidak dapat bayangkan pemikiran saya sekiranya saya sendiri tidak pernah kembara.

Bercakap perihal kembara, buku ini menjawab satu persoalan minda saya. Apakah barang keperluan yang paling penting untuk dibawa kembara? Buku nota dan pen! Dalam bingkisan kembara ini Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau akan duduk menulis dalam kembaranya, malah ada ketika penanya dicopet, segera dia membeli pena baru. Catatan kembaranya lengkap, dengan peristiwa, tarikh, juga nama watak. Sekali lagi ia membuat saya cemburu, saya ada juga mencoret sedikit kisah kembara saya dahulu disana sini, tetapi tidak selengkap Ustaz Darus. Alangkah bagusnya jika buku ini keluar dan saya baca ketika saya masih mentah remaja!

Dalam buku ini juga disebut dengan ringkas bagaimana Ustaz Darus bertemu semula dengan Ustaz Dahlan Mohd Zain sebagai tenaga pengajar di Madrasah Mashoor, Pulau Pinang. Mereka mengaji bersama sebelum itu di Madrasah Alawiyah.

Buku ini juga pada saya merupakan satu tinta yang jujur, Ustaz Darus menceritakan perihal bagaimana ketika terkandas di India, beliau dihimpit dengan kesusahan yang berat, sehingga terpaksa menumpang rumah di kampung setinggan bersama keluarga miskin Bombay. Kesusahan itu begitu menghimpit sehingga dia hampir hilang kepercayaan pada Allah dan ingin menukar agama. Namun akhirnya akidah beliau ditakdirkan selamat, kisahnya? Kena baca sendiri dalam buku ini.

Bingkisan ini juga secara tidak langsung memperbaharui kepercayaan saya pada institusi pendidikan Islam. Pelbagai kritikan dilemparkan pada institusi pendidikan Islam hari ini, antaranya bersifat kapitalis. Namun dalam buku ini saya kagum, bagaimana seorang anak kampung yang sebelum ini hanya bertukang dengan sebilah parang menangkap ikan keli di sawah, diberi biasiswa oleh Waqaf Al-Azhar sehingga mampu menjadi seorang intelektual yang menguasai sastera Arab. Walaupun keilmuan Islam sering diperlekeh kerana ketinggalan dari sudut teknologi dengan keilmuan Barat, namun melalui naskah ini, bagi saya secara peribadi, Universiti Al-Azhar yang berumur 1,000 tahun itu besar sumbangannya pada keilmuan juga pembinaan umat, dan tidak salah untuk dibanggakan.

Ketika Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau membeli kitab Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun untuk mencari semula frasa "Kezaliman petanda kepada keruntuhan tamadun" saya teringat pengalaman peribadi saya sendiri. Bagaimana setelah pulang ke Malaysia, saya membeli dan membaca buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1,264 muka surat, hanya untuk mencari semula frasa "the invisible hand" yang pernah disyarahkan oleh pensyarah ekonomi saya di universiti dahulu.

Buku ini sangat menyeronokkan untuk dibaca, saya sedikit sedih apabila habis dibaca dan menutupnya, alangkah baiknya jika ia disambung seratus mukasurat lagi! Buku ini bukan buku travelog tipikal, ia memperkenalkan banyak tokoh sastera Islam seperti Omar Khayyam, Imaduddin Asfahani, Taha Husain dan banyak lagi, sesuai dengan kepakaran beliau dalam sastera Arab.

Dalam penutupnya, Ustaz Darus menekankan bahawa untuk mencari ilmu, kita tidak seharusnya bergantung pada ibu bapa atau institusi kewangan, sebaliknya ia perlu didalangi azam, tekad, dan wawasan yang yang kuat. Penutup ini sangat mengesani hati saya. Saya ada duduk bersembang bersama isteri di meja makan, usia 30-40 tahun ini saya hendak cuba untuk menghabiskan sarjana. Manakala 40-50 tahun mahu cuba menghabiskan pengajian kedoktoran. Buku ini memberi suntikan semangat baru dalam diri ini, mungkin sudah tiba masanya saya kembara mencari ilmu semula.

Isnin, 15 Februari 2021

Kehidupan yang berlalu seperti angin


Di mana aku harus bermula? Aku pun tidak tahu.

Sejak 8.30 pagi aku sudah beratur di pejabat pos. Manusia beratur, panjang, lebih dari dua blok bangunan jarak manusia berbaris. Ada urusan, atau ingin menghantar barang. Sebenarnya aku sudah habis berbaris, dapat nombor, dan mengisi borang. Namun ketika sudah separuh borang aku isi, tiba-tiba proses biologi mendesak aku keluar. Ah biologi, sesuatu yang kita tidak boleh kawal, kenapa perlu sekarang? Aku keluar, ke masjid berdekatan, masuk ke bilik kecil yang disediakan untuk manusia menyelesaikan proses biologi mereka bersendirian. Masih ada dua parcel yang tidak sempat aku isi. Aku perlu beratur semula, dari awal. Ah menyiksakan.

Jam kini hampir jam 11 pagi, nampaknya separuh hari aku akan hilang beratur hari ini. Sedangkan aku mahu pulang, dan menulis satu artikel panjang. Perihal penulisan. Ya, menulis perihal penulisan. Mungkin aku patut jadikan itu sebagai tajuk buku aku seterusnya, selepas berfikir tentang pemikiran.

Aku cuba menghabiskan masa berbaris dengan melihat filem yang ada di Netflix, namun satu pun tidak menarik hati. Kebanyakannya aku lihat separuh sebelum hilang minat. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah hilang minat, dalam semua perkara. Seolah-olah dunia ini tawar, dan tidak mampu menawarkan apa-apa lagi pada jiwaku. Atau mungkin jiwaku yang sudah mati dibunuh kehidupan sehingga tidak mampu merasakan apa-apa. Aku menyesal tidak membawa buku 'Kembara Darus Senawi 1963', buku yang aku mula membaca semalam. Buku yang berjaya menghidupkan sedikit perasaanku yang sudah tawar ini.

Entah, hidup ini memang pelik, kadang kita rasa asing, kadang aku merasa alangkah baiknya jika aku tidak pernah tercipta, tidak perlu mengharungi ketawaran ini. Namun kadang aku merasakan hidup ini satu anugerah, merasai kehangatan sinaran udara pagi. Begitulah kehidupan, yang menggaulkan semua rasa dalam jiwa kita.

Atau mungkin aku sudah tua dan merasakan aku sudah melihat dunia, usia umpama angin, kita merasai bayunya sebentar sebelum ia hilang.

Atau mungkin perasaan ini hinggap disebabkan situasi dunia. Suasana yang mengurung, menafikan kita secawan ketawa bersama teman di rumah makan. Menafikan kita untuk naik ke puncak hijau melihat awan berarak di bawah. Manusia memang fitrahnya pengembara, jika dahulu mereka merentas sahara, menggali tanah, membelah samudera, meroket angkasa, kini mereka disuruh duduk bekerja di rumah, membuatkan mereka separa gila.

Namun sebanyak mana pun perenggan yang aku tulis, akhirnya ia kembali kepada satu perkataan, yang aku sebutkan tadi, "entah", aku tak punya jawapan untuk perasaan ini, atau mungkin tidak-berperasaan ini. 

Rumi ada menulis dalam puisinya bahawa manusia mencari dirinya pada benda yang tidak ada. Tukang kayu akan pergi kepada rumah yang tiada pintu, supaya dia boleh bertukang, kata Rumi. Tapi disaat ini ketidak-adaan membuatkan aku merasakan diri aku hilang, tidak aku jumpa. Malah aku ingin menjadi "tidak ada". Walau aku sendiri tak pasti apa yang menanti disana. Namun jika disana tiada perasaan ini, mungkin aku boleh membayar harganya. Aku juga sering mengatakan bahawa menulis adalah terapi diri, namun hari ini ia memakan diri, aku silap, tidak untuk hari ini, hari ini menulis tidak dapat memberi warna pada perasaan tawar ini.

Mungkin aku juga makhluk sosial, yang akan layu dan mati perlahan-lahan tanpa adanya teman. Ada perkara yang tak mampu diberi oleh keluarga, yang ada pada mereka yang kita gelarkan sebagai teman, kawan, sahabat, komrad, atau seorang asing yang meneman kita bicara. Namun aku akhirnya kembali ke daerah yang sama, daerah "mungkin" dan daerah "entah". Kerana apa pun pikiranku, ketawaran ini aku tidak dapat agak apa misinya, apa objektif diciptakan perasaan tawar, apakah raison d'etre ketidak-rasaan aku ini.

Atau mungkin, bukan dunia ini yang pelik, mungkin aku yang pelik.

Merasa asing ketika bersama.
Merasa gelisah ketika tenang.
Merasa kenyang ketika di depan makanan.
Merasa segar ketika harus mengantuk.
Namun, apabila mengantuk, tidak dapat tidur.

Atau mungkin aku terlalu dahaga, sekali lagi aku berpusing di daerah yang sama, mungkin penawar tawar ini adalah secawan air sejuk. Apabila tiba dibawah bumbung aku teguk, namun ia tidak juga menghilang pergi.

Atau mungkin perasaan ini akan hilang nanti petang, seperti kehidupan, ia juga akan berlalu seperti angin.

Jumaat, 12 Februari 2021

Catatan Baitul Muslim 42: Saya Taknak Marah Anak Lagi


Menguruskan anak-anak sememangnya merupakan cabaran terbesar buat ibubapa, bukan sahaja soal baju pakaian, makan minum, dan kesihatan sahaja perlu diuruskan. Pengurusan anak turut melibatkan daerah pengurusan emosi, perasaan, pemikiran, juga intelektual anak-anak. Dalam perjalanan kita mengurus anak ini pasti ada kalanya kita mengalami kebuntuan. Maklumlah skil mengurus anak ini bukan sebahagian dari silibus pengajian kita baik di sekolah atau universiti. Kebanyakan dari kita belajar tentangnya dari pengalaman.

Begitu jugalah saya dan isteri, kami juga pernah sampai ke tahap buntu. Kadang kami berbincang dan berfikir cara bagaimana yang hendak digunakan dalam mengurus anak-anak, terutamanya apabila sudah mendapat anak ke-2. Anak pertama pasti akan rasa cemburu kerana kasih yang selama ini diperolehi 100 peratus kini perlu dibahagikan. Anak ini keliru, tidak tahu bagaimana untuk menerangkan perasaannya, sering kali ia diluahkan dengan cara meragam, protes, dan juga tantrum.

Dalam usaha kami untuk menggali ilmu perihal pendidikan dan pengurusan anak-anak, isteri saya ada membeli Ebook yang ditulis oleh Kaunselor Maznah Ibrahim yang bertajuk “Saya Taknak Marah Anak Lagi: 3 Punca Utama Kenapa Cepat Marah Beserta Solusi”. Bagi saya ia merupakan buku yang sarat dengan nasihat, teknik, juga alternatif kepada ibubapa dalam menguruskan emosi mereka dalam mendidik anak-anak. Namun ada juga bahagian yang saya kira pekat dalam bentuk teori, apabila bertemu realiti, ia satu perkara yang sukar untuk dilaksanakan. 

Saya secara peribadi merasakan bahawa “memarahi” sebenarnya merupakan sebahagian dari teknik pendidikan, jadi saya tidaklah seratus peratus setuju dengan tajuk buku ini, ada ketika saya merasakan kita wajar memarahi anak. Namun marah itu perlu punya nilai didikan, punya cara yang boleh dilihat oleh anak bagaimana dia boleh belajar, bukan sekadar marah emosi. Kita perlu memahamkan anak bahawa kita menegur bukan memarahi.

Dalam Ebook ini antara saranan kaunselor Maznah adalah perlunya kita memberi teguran yang dilapik dengan pujian. Dengan cara ini, kita membuka hati anak agar mereka lebih mudah menerima nasihat dan cadangan kita, pujian adalah gula-gula untuk mereka membuka hati mereka sebelum kita menuangkan nasihat. Ia bukanlah perkara yang mudah dilakukan, apabila kita dikawal emosi marah, mungkin kita sendiri tidak teringat akan teknik ini. Oleh itu kita perlu sentiasa menarik nafas apabila marah, jangan hamburkan perkataan dahulu, sebaliknya berfikir dahulu apa cara terbaik. Ini penting kerana hasil didikan ini akan kita lihat bertahun akan datang. Fasa ini adalah fasa kita menanam perkara yang baik-baik dalam diri anak. Buahnya mungkin hanya boleh kita tuai 20 tahun lagi.

Beliau juga menekankan bahawa pentingnya kita membimbing, bukan membaiki. Anak kita tidak rosak, dia masih di fasa mencari dan mengkatalog apa yang baik dan buruk, jadi pendekatan kita seharusnya sentiasa memberi bimbingan bukan menegur dan membaiki setiap masa. Jika kita menegur tanpa henti, anak kita tadi akan merasa tertekan, apa yang dilakukan semuanya salah sehingga dia tidak boleh bernafas. Sedangkan dia masih belum jelas apa yang baik dan buruk.

Kita perlu sentiasa membiarkan ada ruang terbuka bagi anak kita belajar dari kesilapan dalam hal yang tidak membahayakan keselamatan dan kesihatan. Tidak semua benda perlu kita marahi dan betulkan, anak kita perlu dibesarkan dalam suasana rumah yang harmoni, bukan tegang seperti kem tentera. Apabila mereka melakukan kesilapan, fokus utama kita perlulah menunjuk jalan akan solusi yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki kesilapan. Tugas kita bukan untuk memarahi dan membuatkan mereka merasa bersalah setiap masa.

Apabila anak kita meragam, kita sering kali menyangka bahawa mereka sedang buat perangai, mengada-ngada, dan bersangka buruk dengan anak. Saya sendiri banyak bersalah dalam hal ini. Kadangkala sering kita potong percakapan mereka, seolah kita sudah tahu apa yang mereka ingin katakan, mereka dipersalahkan sebelum mereka melakukan kesilapan. Ini adalah situasi yang tidak adil. Sebaliknya pendekatan pertama kita mestilah dengan cuba menyelidiki apa yang menyebabkan mereka berkelakuan begitu. Mungkin ada perkara yang menyebabkan mereka tidak selesa, atau ada perkara yang mereka tidak berpuas hati tetapi tidak pandai untuk diceritakan. Jadi tugas kita adalah menyelidiki dahulu sebelum menghambur kemarahan.

Nasihat-nasihat dan teknik yang diketengahkan dalam buku ini sememangnya bermanfaat dan saya kira ada logiknya. Cuma ia memerlukan kesabaran di pihak ibubapa untuk berhenti sebelum marah, dan cuba berfikir cara yang lebih sesuai untuk merungkai keadaan yang ada. Ini tidaklah mudah dilakukan, kerana marah mungkin lebih cepat berbanding berfikir, bertanya atau memujuk. Namun perlu juga kita timbang, walaupun ia cepat, apakah kesan jangka panjangnya? Sejauh mana ia masih berkesan apabila mereka sudah dewasa. Adakah kita hendak terus memarahi mereka apabila mereka sudah dewasa? Ini adalah perkara yang perlu kita fikirkan.

Penulisan kaunselor Maznah ini sememangnya sarat dengan teknik dan nasihat yang menarik, dan saya sarankan ibubapa untuk membacanya. Namun untuk berjaya ia perlu diaplikasikan dengan sabar, habis baca tidak bermaksud kita terus boleh melaksanakannya.


Rabu, 10 Februari 2021

Memasarkan Buku Ke Pasaran Terbuka


Baru-baru ini saya ada mendapat jemputan untuk mengadakan sedikit perkongsian bersama Haluan Perlis berkenaan dengan penulisan, penerbitan, dan pemasaran buku. Program ini dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Radhi bin Abdul Rahman sebagai moderator dan dikendalikan menggunakan aplikasi Zoom. Saya tuliskan sedikit nota perihal perkongsian saya.

Ada pelbagai sebab orang menulis, ada yang menulis kerana dia punya idea yang imaginasi yang kuat, dengan menulis dia dapat mengalirkan kesesakan pemikirannya dan kembali berfikir dengan tenang. Ada yang menulis kerana terpaksa, mungkin pekerjaannya dalam bidang penulisan, atau perlu menulis disebabkan keperluan pengajian. Apa pun sebab kita menulis, ia adalah valid. Bagi penulis baru, yang mungkin masih bertatih dalam penulisan, saya sarankan menulis tidak perlu gelojoh atau tergesa-gesa, tetapi tulislah secara bertahap, apabila idea datang, tintakan, kemudian setelah banyak baru dikumpulkan dan dibukukan.

Persoalan seterusnya, apabila kita sudah punya manuskrip, bagaimana kita hendak terbitkan. Ada pebagai cara penerbitan buku. Yang pertama adalah cara tradisional, dengan kita mencari penerbit-penerbit yang biasa menerbitkan buku sesuai dengan genre yang kita tulis. Kita boleh mula dengan perkenalan dan perbincangan dengan bahagian penerbitan mereka sebelum menghantar manuskrip. Namun jika tiada penerbit yang sudi, apa perlu kita buat? Terbitkan sendiri! Menerbitkan buku sendiri bukanlah sesuatu yang susah, malah boleh dilakukan dengan murah pada hari ini. Apabila manuskrip telah siap, kita boleh mohon ISBN dan PDP secara percuma dari Perpustakaan Negara. Kita boleh terbitkan atas nama individu atau syarikat. Kita juga boleh mencetak dengan kuantiti sederhana, mungkin dalam 50-100 naskah pada peringkat permulaan, dan dijual atas talian melalui media sosial yang kita ada. Jika buku itu baik, ia akan menarik pembaca dengan sendiri, mendapat review dan berkembang secara organik, selepas ia berkembang mungkin ia akan menarik minat penerbit luar untuk menerbitkannya semula. Jika kita tidak mahu mencetak, kita boleh terbitkan dalam bentuk ebook dan diterbitkan menggunakan platform seperti Google Play Book.

Hakikatnya kita semua mempunyai kisah unik tersendiri, kita punya pengalaman hidup tersendiri, pemikiran sendiri, perasaan sendiri, dan tiada siapa boleh menulis kisah kita melainkan kita sendiri. Jika dalam bidang lain, seperti ekonomi, politik, sosial dan sebagainya, jika kita tidak menulis perihalnya, ada orang lain yang boleh menulis tentangnya. Tetapi kisah hidup kita hanya kita yang boleh menulisnya, jika kita tidak menulisnya, ia akan mati dikafankan bersama apabila kita mati, tidak dapat diketahui generasi seterusnya. Oleh itu, menulis dan bertintalah! Juga terbitkan penulisan anda.

Rakaman penuh sesi ini boleh ditonton di laman Facebook Haluan Perlis.

Ahad, 7 Februari 2021

Reviu Zine Dari Johor #2


Sebenarnya saya masih baru dalam membudayakan diri untuk membaca zine, jika awal evolusi pembacaan saya adalah buku-buku Islamik, kemudian pergi ke buku-buku non-fiksyen bahasa Inggeris perihal ideologi, ekonomi, politik, evolusi saya seterusnya dalam pembacaan adalah membaca zine-zine tempatan, kerana saya kira pembacaan saya tidak mengakar di bumi lokal. Terlalu banyak membaca perihal tulisan orang asing hingga terlupa dan tidak memahami denyut nadi negeri sendiri. Zine pada saya lebih membumi dari buku-buku mainstream, konsepnya seperti sebuah majalah (magazine), namun ia dihasilkan oleh kumpulan juga perseorangan yang independent

Zine ini isinya bebas, ada yang memberi maklumat perihal kumpulan musik tempatan yang biasanya tidak disebut dalam media arus perdana, ada yang membicarakan hal-hal budaya lokal, ada juga yang berunsur seni dan penulisan kreatif. Tentulah saya tidak membaca semua zine yang ada di Malaysia, saya sekadar membaca zine yang tercapai dek tangan saya, antara yang pernah saya baca adalah Kubu Zine, NutMag, Fagiyu, dan zine yang menjadi tajuk reviu kita pada hari ini - Zine Dari Johor #2. Bagi saya, kerana zine ini memuatkan penulisan yang bebas tanpa apa-apa kongkongan, kandungannya lebih jujur, tidak hipokrit, dan sering kali - liar tetapi tidak angkuh. Pengembaraan saya membaca zine juga membuatkan saya juga ingin menulis dan menerbitkan zine, zine pertama saya bersama seorang teman bakal terbit bulan ini, dengan nama Skazka #1.

Baik, cukuplah kita melewar-lewar dengan permulaan kalam yang panjang. Berbalik pada Zine Dari Johor #2 (ZDJ #2) ini, saya kira susun letaknya berubah menjadi sangat kemas berbanding isunya yang pertama, mungkin kerana ZDJ kini menggunakan khidmat susun letak yang sama seperti zine Fagiyu. Zine ini dimulakan dengan bicara editor, penerangan berkenaan istilah, juga kongsi resepi. Antara resepi yang dikongsikan adalah Tau Fu Fa, Cucur Ayam, dan Scones. Jadi makcik-makcik bawang pun bolehlah mendapatkan zine ini untuk belajar resepi masakan anarkis.

ZDJ #2 juga menyambung perihal sejarah-aktiviti mereka di Lorong Ismail Kulai yang juga dinamakan sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Cebisan sejarah dimuatkan bagaimana lorong ini subur, kemudian mati, kemudian cuba dihidupkan semula oleh golongan muda setempat dengan cabaran-cabarannya, antara kejayaan yang dinukilkan adalah kejayaan mereka melaksanakan acara dengan kerjasama Balai Seni Negara. Saya juga berterima kasih kepada Kolektif Naratif yang menerbitkan tulisan saya dalam zine ini dengan artikel yang bertajuk "Falsafah George Carlin", artikel sepanjang 4 muka surat ini merupakan artikel pertama saya yang pernah diterbitkan oleh zine tempatan.

Artikel "Membudayakan Anarkisme" tulisan Kamal Muhammad antara artikel menarik yang merangsang otak saya. Dalam artikelnya, beliau ada menukilkan pandangan sosok anarkis Jerman, Gustav Landauer yang berbunyi "negara bukan sesuatu yang boleh dihancurkan melalui revolusi, melainkan suatu ciptaan keadaan, atau suatu hubungan tertentu antara manusia". Saya sangat setuju dengan pandangan ini, ada kalanya apa yang kita perlukan bukanlah revolusi, tetapi pendidikan yang melahirkan masyarakat yang kuat dan mandiri dalam melemahkan kuasa negara dan menguatkan kuasa rakyat. Tidak sedikit revolusi yang ditunggang oleh golongan oppurtunis yang akhirnya melahirkan tirani dan penindasan baru dengan nama yang berbeza.

Artikel "Marina and The Gangs" juga pada saya menarik. Pihak editor membincangkan sebuah dialog anjuran DAP, antara yang dikritik adalah Andrew Chen yang seolah-olah terlupa bahawa partinya juga pernah menjadi kerajaan dan membuat kerosakan. Kritik ZDJ kepada Marina Ibrahim dalam zine ini seolah-olah satu tarik tali antara cinta dan benci. Dari satu sudut Marina dikritik kerana sikap oppurtunisnya yang mengendeng ke dalam komuniti untuk membawa ideologi politik, dalam masa yang sama dipuji atas sumbangan dan bantuan beliau dalam komuniti. Hal ini saya kira pernah diperkatakan oleh Chomsky dalam perbahasan anarkisme, bagi Chomsky walaupun anarkis mahu menanggalkan sistem negara yang opresif, mereka boleh bekerjasama dengan negara dan ahli politik dalam isu pemeliharaan manusia dan alam, ini kerana kita hidup dalam dunia realiti - maka ada kalanya sinergi itu perlu.

Wawancara bersama Rayhan Ahmad perihal Sekolah Baroka juga bagi saya merupakan satu penulisan yang punya isi yang berkualiti. Wawancara ini merupakan wawancara dari acara yang dibuat di Tumpang Co-Working Space, Simpang Renggam dimana mereka menayangkan filem "Sokola Rimba". Diskripsi perihal filem ini bagi saya sangat menarik dan saya akan cuba untuk menontonnya, filem dari seberang sememangnya punya aura dan emosi yang mendalam, sering kali mengalahkan filem tempatan. Aktivisme Rayhan dalam memberi pendidikan dan memperjuangkan Orang Asli Suku Seletar pada saya sangat mengkagumkan, beliau malah belajar bahasa suku tersebut untuk ditulis dan dipelihara! Perkara ini patut dilakukan oleh penyelidik universiti, nampaknya beliau lebih jauh ke depan.

"All the world's problems can be solved in a garden" - Geoff Lawton.

Itu adalah kata-kata yang saya kira paling menarik yang dikongsikan oleh Izzat Ibrahim dalam artikelnya perihal Kebun Komuniti Cinta Lestari (KCL) juga teknik tanaman Permaculture. Dalam tulisan beliau, beliau memperincikan teknik tanaman Permaculture yang beliau pelajari dari sifunya, Abang Anas Shuib. Teknik ini menekankan perlunya teknik tanaman yang bersinergi dengan alam, bukan menggunakan racun untuk membasmi tumbuhan lain. Artikel terakhir dalam zine ini merupakan bingkisan tulisan Saudara Iltizam Iman yang juga merupakan penulis buku "Menolak Perintah". Dalam bingkisannya beliau mengkritik bidalan "Berbudi pada tanah" yang baginya membawa konotasi yang salah. Industri pertanian terutamanya monokultur baginya merosakkan tanah dan ekosistem, ia bukan satu "budi". Beliau juga mengkritik tajam kepupusan haiwan liar, baginya jata negara perlu digantikan harimau dengan monyet, ini kerana Harimau Malaya tidak boleh lagi kita banggakan kerana kita tidak menjaganya malah di ambang kepupusan, sebaliknya yang membiak adalah monyet hasil aktiviti penanaman kelapa sawit.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Kolektif Naratif atas isu kali ini. Moga kita akan diberkati dengan isu-isu ZDJ yang lebih banyak dimasa akan datang dengan isi-isi yang menarik.

Sabtu, 6 Februari 2021

Catatan Baitul Muslim 41: Kesihatan Mental Ibubapa


Serangan virus Corona baharu yang bermula pada awal tahun 2020 telah merubah kehidupan manusia. Perubahan ini termasuklah bagaimana manusia berkerja, juga susunan sosial dan keluarga. Pada awal 2021 nampaknya virus ini masih menular dengan jayanya di Malaysia sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan darurat. 

Pada awal Februari 2021 seorang teman ada berkongsi perasaan, berkerja dari rumah sememangnya datang dengan cabaran yang sangat besar. Beliau menceritakan bagaimana semasa mesyuarat, dua orang anaknya meragam sehingga dia tidak mampu fokus dan akhirnya stress. Beliau teringin untuk kembali semula bekerja di pejabat seperti dahulu kala, ketika dunia bebas dari virus ini. Apabila dia memarahi anak-anaknya, isterinya pula terasa, menyebabkan beliau bertambah stress dan rasa bersalah.

Saya pun tidak tahu apa nasihat yang boleh saya berikan, kerana saya juga sering mencapai takat didih dengan mudah semasa tempoh berkurung ini. Cuma mungkin saya sedikit bernasib baik kerana anak-anak dihantar ke tadika, jadi masih boleh bekerja dengan fikiran yang waras. Saya cadangkan beliau untuk keluar mengambil angin, paling tidak berjalan-jalan di tepi sungai menghirup udara segar. Saya sendiri kadang-kala rasa begitu sesak di rumah. Dari bangun tidur, bekerja, menjaga anak, semuanya di rumah. Kadang saya rasa saya terpaksa keluar, paling tidak merenung pohon kelapa di luar rumah yang meliuk-liuk. Isteri saya sedikit beruntung, kerana pejabatnya dekat dengan rumah dan dibenarkan bekerja. Sekurang-kurangnya dia punya dua kehidupan yang berlainan, satu di rumah dan satu di pejabat, tidaklah begitu mono-tone rutinnya.

Ketika anak meragam, menangis, memang merupakan masa yang sangat subur untuk berkonflik antara suami dan isteri. Ia adalah situasi yang seringkali panik dan mengelirukan, masing-masing punya kepala sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sering kali cara suami dan cara isteri berbeza dalam menguruskan situasi panik. Oleh itu pergeseran mudah berlaku. Untuk mengelakkan situasi lebih buruk, yang terbaik adalah cuba untuk tidak menyatakan perasaan ketika suhu masih panas, ini kerana risiko terlepas cakap sangat tinggi, perahu masih bisa diundur, namun kata-kata yang menghiris hati akan meninggalkan bekas, walaupun sudah saling memaafi.

Ujian emosi ini sememangnya lebih sukar di masa-masa yang mengelirukan ini. Ketika manusia dikurung di rumah masing-masing, emosi tidak dapat dilepaskan dengan bercuti, ia bertakung dan mudah meletup. Oleh itu masing-masing perlu mencari kaedah untuk melepaskan takungan emosi itu secara sihat, mungkin perlu berbincang bagaimana masing-masing punya masa untuk bersendiri, untuk bertenang dari stress keluarga dan anak-anak. Perlu ada masa untuk bersendiri untuk menjaga kesihatan mental, jika mental sihat, barulah kita mampu menguruskan anak-anak dengan baik. Sesuai dengan amanah yang kita pikul.

Hari-Hari Lebih Indah Dengan Puisi


Tak semua benda boleh ditulis sebagai artikel atau cerita, ada kalanya kita dijalari perasaan yang sebentar. Sama ada ia lahir dari perasaan sedih, kecewa, gembira, takjub, atau perasaan yang kita pun tak ada perkataan untuk diberi sebagai klasifikasi.

Disaat itu mungkin yang paling hampir boleh ditangkap perasaan itu atau digores perasaan itu kepada selembar kertas adalah dengan serangkap puisi, atau sebaris, atau mungkin sebuku. Puisi itu gambaran emosi, tapi ia boleh ditafsir dengan pelbagai cara. Tafsiran penulis mungkin berbeza dengan kefahaman pembaca, keduanya tidak salah, benar dalam keadaannya sendiri. Puisi yang sama mungkin membawa maksud yang berbeza di zaman yang berbeza.

Pada tahun 2019, saya bersama dua rakan diberi rezeki untuk berkolaborasi, dan kami menerbitkan sebuah antologi puisi bertajuk "Maka Kitab itu pun Menyanyi". Ia merupakan rangkuman perasaan kami, ada puisi percintaan, puisi kehidupan, puisi perlawanan politik, puisi anti-depresi dan pelbagai lagi, ada puisi yang saya sendiri tak pasti bagaimana mahu melabelkannya.

Ketika mengemas rumah, saya terjumpa baki 3 naskah lagi antologi ini. Jadi saya ingin menjualnya dengan harga RM15 sebuah, jika ada teman yang mahu membaca puisi semasa dikurung PKP yang disambung lagi kini. Saya juga masih ada menyimpan buku "Berfikir Tentang Pemikiran" edisi pertama, tinggal 8 naskah akhir yang sudah tidak dicetak, jika ada yang mahu saya ingin menjualnya dengan harga RM25 senaskah. Jika ada teman yang ingin beli keduanya secara kombo, maka saya menjualnya dengan harga RM30 sahaja.

Saya dengan seorang teman juga dalam proses menerbitkan sebuah zine pada bulan ini, Zine Skazka Edisi Pertama. Ini mungkin merupakan percubaan saya untuk bereksperimen menulis cerpen yang berbentuk imaginatif. Selama ini hanya sering menulis penulisan berbentuk artikel dan non-fiksyen. 

Khamis, 4 Februari 2021

Rumah Berbumbung Hijau


Di bawah rumah berbumbung hijau,
Di bawah dua pohon kelapa,
Di bawah mendung awan yang alpa.

Ada anak perempuan sedang mengocak,
Pada air hujan yang turun sejak,
Di halaman rumah yang berlopak.

Mungkin sudah lebih lima tahun,
Jiwa hanyut dalam sungai kehidupan yang runtun.

Anak kota berdusun di desa,
Sudah berempat dari berdua,
Dahulunya hanya mengonyong susu,
Kini mereka tanpa lesu,
Setiap hari berkelahi,
Berebut kasih dari yang mengasihi.

Di bawah bumbung ini.

Kadang terasa aman,
Kadang terasa asing.

Mungkin memang itu,
apa yang sering disebut sebagai,
kehidupan.