Jumaat, 28 Jun 2019

Menulis Jurnal di Marang



27 Jun 2019

Malam itu Amni ceria, badannya telah kurus, hampir satu kilogram hilang setelah empat hari muntah-muntah kerana tonsil yang bengkak. Seperti biasa berbaring di atas katil, dia menyuruh aku membacakannya buku. "Abi kakak nak baca satu ja" katanya. Dia pun mengambil buku terbitan Dickens Publishing, buku kanak-kanak berkenaan dengan pengenalan kepada nombor, warna, bentuk, dan sifat berlawanan. Habis aku baca dia pun meminta lagi "Abi kakak nak dua ja". Biasanya kalau penat aku akan menolak, tapi disebabkan badan yang tidak penat dan memikirkan esok aku akan menghilang selama tiga hari ke Terengganu, aku pun berkata "OK, lepas tu kita sleep". Memberitahu limit dimana adalah penting, jika tidak, Amni tidak akan berhenti.

Kali ini dia mengeluarkan dua buku terbitan Usborne Books iaitu "The Grumpy Goat" dan "Going to the dentist". Buku Grumpy Goat ini menarik juga bagi aku, tentang kambing bernama Gertie yang tidak bagi orang membersihkan kandangnya, di hujung cerita baru tahu rupa-rupanya Gertie nak melahirkan anak. "Kakak pun tak boleh la marah-marah adik nanti jadi Grumpy macam Gertie" ujarku pada Amni. Tidak berapa lama, Maryam membawa masuk Ammar. Mereka bermain bertiga di dalam bilik sementara aku menghabiskan nasi ayam separuh yang Maryam tinggalkan di dapur. Tidak berapa lama kami semua tidur.

28 Jun 2019 

Aku bangun seawal tiga pagi, kerana aku belum lagi mengemas beg untuk ke Marang, Terengganu. Selepas berkemas, aku masih mempunyai beberapa jam, jadi aku mengambil keputusan untuk mengedit manuskrip antologi puisi 'Maka Kitab Itu Pun Menyanyi'. Sebelum bertolak pagi itu, aku tinggalkan ciuman untuk semua, Ammar terjaga selepas mendapat ciuman, Amni tidur mati, selepas Maryam, aku pun keluar menaiki Myvi putih yang setia menunggu.

Aku sampai ke pejabat agak awal, dan mula memproses kerja-kerja yang ada dengan harapan dapat selesai awal dan boleh balik awal. Tepat jam 4 petang Muzamel datang ke mejaku, kami pun beredar. Aku ucapkan "Selamat tinggal pejabat, selamat datang Marang". Trafik agak sesak dari jambatan Pulau Pinang hingga ke Seberang Jaya, aku sampai ke rumah Muzamel di Kulim sekitar jam 5, sementara menunggu Din dan Daim sampai, Muzamel mengemas beg.

Selepas Din dan Daim sampai dari Lumut, kami menjamu selera nasi ayam dan coklat cheese masakan Dr. Auni. Kami bersembang berkenaan dengan projek kapal yang tergendala yang menghabiskan duit rakyat jelata. Kami kemudian mengucapkan bye bye kepada Yasmin dan mula bergerak ke Marang jam 7 petang. Pada mulanya kami ingin solat jamak ta'khir, tetapi kemudian kami singgah di Kompleks Masjid Tafakkuh Fiddin Pondok Kejai untuk solat maghrib dan isyak. Maryam cuba menalifon malam itu untuk bertanya tentang lokasi, namun line di banjaran titiwangsa tidak begitu baik, akhirnya kami berkomunikasi menerusi whatsapp sahaja. Benarlah setiap kejayaan suami ada isteri yang berkorban disebaliknya, disebalik kebebasan suami mengembara di Marang ada isteri yang berkorban masa menjaga anak-anak di rumah.

Aku masih ingat perjalanan merentas banjaran titiwangsa menaiki kereta mengikut laluan Baling-Gerik-Tanah Merah, permandangan bukit bukau berkabus sememangnya menyentuh kekaguman jiwa paling dalam. Namun malam itu gelap, jadi tiada apa permandangan yang hendak di tadabbur. Antara benda yang kami sembangkan adalah penampakan gajah sepanjang banjaran Grik-Tanah Merah.

"Besar tak gajah biasanya?" tanya Muzamel.

"Lagi besar dari kita" jawab Daim memperbodohkan Muzamel. Kami gelak beramai-ramai.

Kereta kami bertemu di Marang dengan kereta yang dinaiki Bos, Mamu, dan Senyum. Kami sampai ke homestay Senyum jam 3 pagi dan berborak merungkai kisah-kisah lama dan baru berkenaan dengan kehidupan hingga jam 4 pagi sebelum kami masuk tidur.

29 Jun 2019

Aku bangun solat subuh pagi itu terima kasih kepada Muzamel yang menggerak, namun kemudian masuk semula ke alam mimpi. Kami bangun tidur jam 9.30 pagi, kecuali Daim yang pemalas dan masih tidur ketika itu. Kami kemudian bersarapan di rumah Senyum yang hanya bersebelahan dari homestay di Kampung Masjid Seberang Marang. Mak Senyum telah menyiapkan sarapan laksa dan laksam dengan pilihan kuah merah dan putih, kenikamatannya apabila dinikmati bersama sambal belacan hanya tuhan yang tahu.

Kami kemudian singgah ke Pasar Payang membeli baju batik, kain batik, baju kelawar, buah-buahan, dan keropok keping ikan tamban. Kemudian kami singgah di warung durian di depan pasar. Aku sekian lama ingin makan durian, kami beli sebiji durian 101 dan dua biji durian D24, harga semua RM135 tapi memang puas hati. Misi aku di Terengganu kini separuh telah selesai. Kami kemudian bergerak ke kedai TCE Tackles untuk mencari barang-barang mencandat sotong. Pejo dan Hakimi sampai di kedai yang sama, sekarang kumpulan mencandat 9 orang kami dah lengkap.

Maryam menghantar mesej, tanya balik esok jam berapa. Aku terus talefon semula, dia memberitahu bahawa Ammar demam, dari suaranya aku boleh dengar dia penat menjaga anak-anak. Terdetik rasa bersalah dalam hati meninggalkan anak dan isteri di rumah, aku berjanji pada diri untuk mengambil tanggungjawab yang lebih aktif selepas ini di rumah bagi mengurangkan bebannya. Terima kasih buat isteri yang sudi berkorban untuk suami.

Kami sampai semula ke homestay dan mula unpack dan set-up gear. Sebab dah kenyang makan durian, aku mengambil keputusan untuk skip makan tengahari, tapi mak Senyum datang homestay ajak makan tengahari di rumah. Bos perut tak sedap dan kata tak nak join, aku pon ingat nak teman Bos, tapi kemudian Muzamel datang, katanya tak molek kita tak makan orang dah masak banyak dan jemput, sekurang-kurangnya datang jamah walau sedikit. Aku pun ok-lah, pergi niat nak menjamah sedikit.

Sampai-sampai ada ikan bakar dan budu, budu bukan budu biasa-biasa, ditambah limau, bawang dan cili padi, fuhh terangkat. Aku ambil nasi sikit ja, tapi ikan bakar cicah budu tak boleh berhenti. Last-last aku orang terakhir yang masih menjamah makanan di anjung rumah Senyum, orang lain semua dah balik homestay. Aku ucapkan berbanyak terima kasih kat mak Senyum, masuk dapur basuh pinggan, dan kembali ke homestay.

Semasa kami nak gerak ke jeti, ada pakcik-pakcik kampung datang, katanya angin kuat, tapi kami dah berazam untuk teruskan juga, jadi kami pergi juga. Aku sempat tengok ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia dengan Muzamel, ramalan cuma ribut di satu dua tempat dan tiada hujan bagi daerah Marang. Kami agak satu dua tempat tu bukan tempat yang kami akan pergi mencandat. Bot asal yang kami sewa tidak mahu turun ke laut kerana angin kuat, Senyum terpaksa mencari tekong lain yang setuju membawa kami ke laut, akhirnya seorang tekong berpengalaman, Pokli, setuju membawa kami turun ke laut.

Di jeti, kami pun mula loading barang ke dalam sampan feeder untuk dibawa ke bot nelayan, 9 orang memerlukan dua trip untuk membawa kami semua beserta barangan. Bot yang kami naiki adalah bot dengan nombor pendaftaran - TRF 2495. Perjalanan dari jeti ke tempat mencandat petang itu sangat menyegarkan jiwa. Melihat lautan terbentang luas, matahari mula terbenam di ufuk, dan bot lain meliuk-liuk dibelai ombak membawa satu ketenangan dalam jiwa. Ada satu benda yang istimewa pada laut, yang memerangkap hati dan jiwa ke lubuk yang paling dalam.

Ada satu perasaan bahagia yang tersimpan di dalam laut,
Seolah satu keamanan tatkala ombak menghempas,
Menyaksi bot-bot lain turut menuju ke samudera,
Lantara sebuah armada.

Di hadapan fatamorgana lautan,
Sungguh kerdil kehidupan insan,
Begitu tidak signifikan gusarnya,
Tawa dan tangisnya,
Bila dibanding dengan luasnya samudera, 
Apalah harga pangkat dan istana.

Laut ini tidak akan risau,
Andai terpaksa menelan raja,
Dengan keluasan dan ombak memukau,
Tak tewas menerima karamnya besar bahtera.

Ada satu pelajaran dari laut ini,
Dan aku berazam mengambilnya hari ini.
Biar ombak datang,
Kau perlu memeluk tenang,
Hidup atau mati,
Itu ketentuan tuhan yang pasti. 

Dalam perjalanan, belum sampai ke tempat mencandat Daim sudah mula muntah-muntah, Din yang duduk disebelah juga berjangkit dengan kemabukan Daim. Tekong kami, Pokli membawa bot dengan kelajuan sekitar 5 knot, tapi angin yang kuat dan ombak sekitar satu meter menyebabkan ramai yang mula loya, muntah dan mabuk laut. Sampai ke tapak mencandat Din dan Daim akhirnya tewas, sudah tidak boleh respond pada soalan dan permintaan, hanya boleh baring dan tidur. Minta alihkan beg pun tak berdaya.

Pembantu tekong mula menurunkan sauh, dan mereka matikan enjin dan mula menghidupkan generator untuk menyalakan lampu spotlight bagi menarik sotong. Din seperti ada baki sedikit tenaga membantu Muzamel memasang umpan di joran. Muzamel berjaya mendaratkan sotong pertama dalam trip kami. Selang beberapa minit dia berjaya menaikkan dua lagi sotong. Namun selepas itu akhirnya dia tewas, mula berpaut dan muntah keluar bot. Akhirnya Muzamel berbaring disebelah Din dan Daim.

Pejo juga berjaya menaikkan seekor sotong. Aku tak pernah mengendalikan joran, pusing-pusing tali tak semakin panjang. Pejo mengajarku cara melepaskan tali, lock semula joran dan menarik semula tali. First time, aku belajar menggunakan joran. Selepas Muzamel tewas, aku mengambil alih joran Din dari beliau.

Bos kelihatan kental dengan joran TCE Tackles yang baru dibelinya dengan harga dua ratus ringgit. Walaupun kaki gout, dia berjaya menghadapi cabaran mabuk laut. Setelah beberapa kali menarik tanpa hasil dia berkata kepadaku "Sia-sia aku beli joran mahal-mahal ni". Tapi selepas itu dia berjaya mendaratkan seekor sotong. Gembira senyum hingga ke telinga dia mendapat hasil pertama. Di belakang Bos, Senyum terbaring. Bayangkan, anak jati Marang pun mabuk laut! Sesekali Senyum bangun mencuba joran Bos, sesekali dia berpaut dan muntah keluar bot. Aku lihat Senyum menyiram baki-baki muntahnya yang terpalit di railing kayu bot.

Mamu juga mabuk sejak kapal bersauh. Tapi akalnya bijak, dia lari tidur dibelakang agar terlindung dari menjadi bahan jenaka. Hakimi juga sudah berbaring di belakang bot sambil memeluk tiang, mukanya separuh tertutup dengan kain 'Abu Garcia' kerana tidak tahan dengan bau asap enjin diesel. Tinggal aku dan Bos meneruskan perjuangan di bahagian depan bot, mencuba nasib membaling umpan dan memusing joran. Tidak lama selepas itu aku juga berjaya mendaratkan sotong ku yang pertama. Sotong itu merupakan sotong terakhir bagi kumpulan kami. Semuanya berjumlah 6 ekor, dengan Muzamel sebanyak 3 ekor, manakala Pejo, Bos, dan aku masing-masing seekor.

Selepas itu aku dan Bos masih mencuba nasib. Arus deras menyebabkan tali joran aku hanyut dan terbelit dengan tali jorannya. Selepas tali berjaya dipisahkan ternyata sotong tidak mahu lagi memakan umpan kami. Mungkin setelah 6 ahli keluarga sotong berjaya kami tangkap, mereka sudah boleh membaca strategi kami. Aku akhirnya bosan dan pergi kebelakang, tidur berbantalkan life jacket. Aku tersedar apabila dikuis Muzamel, sudah jam 1 pagi dan kami tiba semula di jeti. Ketika aku bangun barang-barang semua sudah dikemas, dan semua sedang menunggu sampan feeder untuk kembali ke pantai.

"Pendatang asing dah sampai, keluarkan passport untuk diperiksa pegawai imigresen" pembantu tekong berseloroh saat kami tiba semula dengan sampan ke tepi pantai.

Kami mengemas barang-barang ke dalam kereta dan singgah ke warung berdekatan untuk minum. Daim dan Din naik kereta bersamaku, aku buka Youtube dan play lagu Spider - Mabuk, kami semua gelak beramai-ramai. Yang duduk semeja dengan aku semua memesan nasi minyak dengan ayam masak merah, Muzamel, Hakimi, dan tekong Pokli. Aku tak berselera, hanya memesan nescafe panas.

Pokli menceritakan kepada kami tentang enjin yang bermasalah. Minyak hitam bocor, dan dia sibuk menguruskan masalah enjin, sebab itu tak punya banyak masa melayan kami semua diatas bot. Walhal kami ok ja, tak rasa apa-apa pun. Sebenarnya bot boleh pergi jauh lagi hingga ke kawasan mencandat yang dinamakan Unjang Sabut, tapi disebabkan masalah enjin terpaksa bersauh awal. "Di tengah laut tak boleh buat musuh, kena berkawan dengan semua orang" kata Pokli. Dia cuba menalifon tekong-tekong lain pada ketika itu, jika enjin tidak berjaya di baiki, dan bot terpaksa ditunda.

Pokli kata dia kasihan melihat team kami mabuk, sebab itu dia mengambil keputusan untuk pulang awal. Pernah dia bawa peserta yang mabuk tapi tidak mahu pulang, akhirnya lembik, berjalan pun tak boleh, terpaksa merangkak. Laut memang bergelora teruk kali ini kata Pokli, hingga pembantu tekong pun mabuk. Kebanyakan penegendali bot lain semuanya tidak mahu keluar, tapi disebabkan kehendak pelanggan Pokli bawa juga, terharu kami. "Rasa dulu macam mana, tak boleh baru balik" katanya, aku bersetuju.

Pokli berkata kami masih bernasib baik, bot yang sama dengan kami malam itu ada yang hanya berjaya menaikkan seekor sotong, bayangkan satu bot hanya seekor sotong. Aku bertanya adakah kedalaman merupakan faktor, mungkin sebab aku lepas umpan tak cukup dalam. "Bukan" jawab Pokli, dia ada banyak faktor, cuaca salah satu, salah satu lagi adalah masa. Masa terbaik mencandat sotong di Marang, Terengganu adalah pada bulan Mei, dari 15 haribulan hingga 18 haribulan, masa diantara bulan penuh sehingga bulan jatuh. Nasihat Pokli ini aku rasa ada benarnya, kerana orang kampung yang aku jumpa selepas itu turut mengatakan perkara yang sama. Jam tiga pagi, kami mengucapkan selamat tinggal pada Pokli dan kembali ke homestay.

Kami sambung bersembang di homestay, selepas mandi dan solat aku cuba tidur namun tak berjaya. Aku membuka blog dan sambung menulis sehingga mengantuk. Selepas jam lima baru akhirnya aku terlelap.

30 Jun 2019

Pagi itu aku terbangun digerak Daim untuk solat subuh, selepas menggerak Muzamel untuk solat, aku tidur semula. Kami semua bangun jam 9 pagi apabila mak Senyum mengetuk pintu, menjerit menggerakkan anaknya dan memberitahu bahawa dia telah masak sarapan. Mak senyum kemudian keluar, mungkin ke kelas mengaji. Kami mula bangun dan bersiap, semalam Muzammel memberi signal bahawa paling lewat jam sepuluh kami akan hit the road untuk balik, nampaknya plan beliau gagal lagi.

Kami kemudian seperti biasa duduk di anjung rumah Senyum setelah semua orang bersiap. Sebenarnya kami sudah pesan semalam supaya Senyum beritahu maknya tak perlu masak, kerana kami tidak mahu menyusahkan, nampaknya sepanjang kami di Marang kami tak pernah makan luar! Semuanya mak Senyum yang masakkan. Ketika kami sedang menikmati bihun goreng Marang masakan mak Senyum, beliau pulang dari megaji menaiki van bersama makcik-makcik yang lain.

Kami nak beredar tapi diminta tunggu. 6 ekor sotong yang kami beri pada mak Senyum habis digorengnya - kami niat nak beri hadiah sebab banyak menyusahkan mak Senyum. Ditambah dengan sotong yang ada dalam peti ais rumah, fuhhh sedap juga rasa sotong fresh yang kami tangkap sendiri, juicy, ataupun masakan mak Senyum yang sedap?

Kami kemudian dihidangkan dengan air yang dibancuh baru, kemudian dikeluarkan sepinggan nasi minyak dan ayam kari, kemudian diberi aiskrim perisa Yam. Hmmm nampaknya kalau kami terus duduk, mak Senyum akan masak semua apa yang ada di dapurnya, peti sejuk rumah akan dikosongkan. Aku pun masuk dapur menyerahkan semula bekas aiskrim dan memberitahu Senyum agar tak perlu keluarkan apa-apa lagi. Kami mengambil gambar bersama, mengucapkan terima kasih kepada mak Senyum, dan bertolak pulang.

Kereta Myvi putih aku dipandu oleh Daim dengan Muzamel sebagai co-driver. Aku dan Din duduk dibelakang. Dalam perjalanan kami membeli keropok lekor basah, budu, sata, dan juga sotong dan udang goreng tepung. Kami singgah ke rumah Daim di Jerteh. Keluarga Daim baru berpindah ke rumah baru, bapanya pesara dan minat berkebun. Rumahnya dibina dengan tapak yang luas, antara yang ditanam adalah durian D24. Ayahnya mengeluarkan sebiji buah mangga epal besar untuk kami, sedap, rasanya berlemak. Selepas solat kami menyambung perjalanan pulang.

Tiba di Bukit Bunga aku membeli buah-buahan. Tapi nampaknya seleksi buah yang ada tidak berapa meriah. Mungkin sekarang bukan musim buah. Aku beli 3 biji mangga, setengah kilo buah salak, dan setengah kilo buah rambutan, juga sekilo mata kucing untuk dikunyah sepanjang perjalanan. Kami kemudian tiba di Pulau Banding di empangan Temenggor sekitar jam 6 petang. Aku dah lama ingin singgah ke sini setiap kali merentas ke Terengganu dan Kelantan, kali ini baru berpeluang. Daim pada mulanya menyangka Tasik Temenggor ini tasik semulajadi, sebenarnya ia adalah empangan untuk janakuasa hidroelektik buatan manusia. Permandangan di Pulau Banding sememangnya menggugat emosi dengan ketenangan. Setelah bergambar, kami sambung perjalanan pulang.

Dalam perjalanan merentasi banjaran Titiwangsa sebelum sampai ke Gerik, seekor anak gajah tiba-tiba muncul melintas jalan, dia kelihatan takut, dibelalainya ada segumpal rumput, aku segera mengeluarkan talifon bimbit, namun tidak sempat merakam, anak gajah itu sudah menghilang semula di dalam semak. Kami singgah sekali lagi di Kompleks Masjid Tafakkuh Fiddin Pondok Kejai untuk solat maghrib dan isyak dan tiba semula di Kulim jam sembilan malam. Selesai memunggah dan membahagikan barang-barang 'rampasan perang' yang berjaya ditangkap di Terengganu kami pun berpecah. Aku tiba di rumah jam sepuluh malam. Isteri dan anak-anak sudah tidur. Tamat sudah kembara ke Marang, esok aku punya satu hari lagi untuk rehat dan tidur, isnin aku akan menjadi robot semula di pejabat.

Selamat tinggal Marang, ombakmu akan sentiasa ku kenang!

Selasa, 25 Jun 2019

Catatan Baitul Muslim 20: Kenapa Abi tak suka kakak?


"Kenapa Abi tak suka kakak?" tanya anakku kepada ibunya.

Aku pun tidak tahu mengapa, sukar benar untukku bersabar dengan karenah anakku yang kini sudah mencecah umur 4 tahun. Petang itu, pulang sahaja aku dari pejabat, aku terus membawanya ke klinik, selepas diperiksa doktor tiada apa yang serius, cuma tonsilnya bengkak. Doktor bungkuskan ubat demam dan antibiotik. Namun, sampai dirumah anakku tidak mahu makan walau puas dipujuk. Sabarku pun habis, aku mengambil keputusan untuk membuat hal sendiri. "Ah penatlah, malas nak melayannya" getus hatiku. Kerana tidak dilayan, akhirnya anakku menangis dan mencari ibunya.

Aku kagum dengan kesabaran isteriku, walaupun pipi dibasahi airmata, dia tetap juga berlembut memujuk anakku, sabarnya lebih panjang dariku. Begitulah kuasa Tuhan menciptakan seorang ibu dengan kesabaran yang begitu ajaib. Aku tidur awal, dengan harapan mimpi dapat memadamkan api kemarahan. Kami bersetuju, jika aku tidak dapat bersabar isteriku akan memujuk, jika dia tidak dapat sabar, aku perlu memujuk, kerana anak akhirnya perlu tempat untuk berpaut.

"Bukan Abi tak suka, bukan Abi marah. Tapi Abi susah hati, Abi risau sebab kakak tak sihat, tapi kakak tak mau makan ubat. Abi balik kerja penat-penat terus bawa kakak jumpa doktor sebab Abi sayang kakak, Abi nak kakak cepat sihat. Jadi kakak kena la makan ubat" pujuk isteriku sepanjang malam.

Keesokan paginya anakku tidak ke sekolah, masih muntah-muntah dan tinggal bersama neneknya sementara kami bekerja.

"Maaf tidak dapat bersabar semalam, entah kenapa susah nak bersabar dengan perangainya semalam. Abang tak layan dia sebab takut kalau terlepas marah tertengking, jadi elok diam sahaja." ujarku pada isteri keesokan pagi.

Biasanya kami akan berbincang semula apabila situasi sebegini terjadi. Sebagai ibubapa muda, ia adalah medan untuk kami belajar dan saling menasihati dalam selok belok menjadi ibubapa. Aku hormati isteriku, sering dalam situasi seperti ini kesabaran dan nasihat beliau sangat berharga. Ya, ego lelaki itu tinggi, tetapi anak itu amanah bersama, jadi masing-masing mempunyai hak menyuarakan pandangan tentang bagaimana merangka strategi membesarkan anak. Bapa selalunya memilih ketegasan, manakala ibu memilih kelembutan dan kasih sayang.

"Kita kena tetap cuba bersabar, sebab mereka masih kecil dan tidak mengerti. Saya faham kadang-kadang kita susah nak kawal amarah dan emosi, kita kena cuba bersama-sama, dan jangan sebut perkataan yang menguris hatinya, kerana walaupun kecil dia ada perasaan, kesannya adalah di masa hadapan, kadang-kadang dia hanya nak bermanja dan sangat sensetif dengan kata-kata kita. Kita saling memerlukan kekuatan untuk mendidik anak-anak" panjang nasihat isteriku pagi itu. Sedikit sebanyak aku berasa bersalah kerana terlalu mengikut emosi dan pendek kesabaran. Seorang bapa perlu belajar merendahkan egonya dan menghulur kasih-sayang disaat hati sedang terbakar dek amarah.

Benarlah mendidik anak bukan semudah menghabiskan pembacaan sebuah buku. Tidak seindah bait-bait puisi. Ia menuntut kesabaran, perasaan, peluh, dan airmata. Khatam sejuta kitab dengan isi-isi teorinya belum tentu dapat menjamin kita berjaya mendidik seorang anak. Moga-moga satu hari nanti kakak faham bahawa umi dan abi marah dan bertegas semuanya untuk kebaikan anak-anak. 


Khamis, 20 Jun 2019

Pemuda & Literatura Ekonomis Kiri



Ada satu perbezaan besar apabila membaca literatura dari jalur ekonomis Marxis berbanding ahli ekonomi biasa yang kebanyakannya memeluk ideologi pasaran terbuka dan neo-liberal. Perbezaan besar inilah yang saya kira membawa ramai anak muda lebih gemar membaca literatura berjalur kiri.

Jika kita membaca buku ekonomi biasa, kita akan berhadapan dengan pelbagai teori, statistik, dan bahasa matematika yang bukan merupakan bahasa natural spesis manusia homo sapien. Ini menjadikan pembacaan sangat berat, terlalu akademik, namun ia gagal apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Teori ekonomi yang diajar di bangku universiti meminjam persamaan matematika dari algebra untuk kelihatan saintifik, tetapi gagal apabila diterjemah kedalam dunia praktik.

Berbeza dengan literatura ekonomi jalur kiri, kebanyakannya ditulis dalam bahasa manusia, contoh dan permisalannya adalah perkara harian, ia mudah di telan dan dicerna minda. Inilah yang membezakan dua teori ekonomi ini.

Ramai yang bersangka bahawa teori ekonomi kiri telah mati, dengan jatuhnya blok Kesatuan Soviet Russia. Intelektual seperti Fukuyama menandakan ia sebagai era tamatnya sejarah, sejarah telah tamat ujar Fukuyama, dan sistem kapitalis pasaran terbuka liberal telah menang dan merupakan produk akhir dalam evolusi ideologi manusia.

Namun krisis demi krisis, menimbulkan semula literatura kiri, Marx menghantui mereka, professor yang duduk pada kerusi paling tinggi dalam fakulti ekonomi tidak dapat menerangkan bagaimana persamaan matematik dan algebra mereka tidak dapat membendung kejatuhan ekonomi. Maka duit titik peluh rakyat dikeluarkan bagi mengeluarkan bank dan syarikat korporat dari lubang bankrupsi, dan mereka pun berjudi kembali menggunakan wang pendeposit dan mengumpulkan bonus akhir tahun hasil untung atas angin kutipan bunga.

Mungkin benar, Marx bukanlah seorang ahli ekonomi, dia merupakan ahli falsafah. Teori Marx tidak dapat menyelesaikan masalah sistem ekonomi dunia. Tetapi mengapa bangsa muda masih menggilai beliau, masih tekun meniti perenggan karangan beliau, masih segar membaca komentari ekonomi berjalur kiri?

Pada hemat saya kerana bahasanya yang mudah difahami bangsa homo sapien. Contoh yang digunakan masuk akal, juga semangat juang yang diselitkan membakar semangat muda kebebasan, keadilan, dan kehidupan yang lebih bermakna. Ekonomi tidak dipisahkan dengan etika, alam sekitar, dan perasaan kemanusiaan.

Pada hemat saya juga, walaupun banyak idea Marx dalam menyelesaikan masalah ekonomi tidak praktikal malah mungkin telah dicuba tetapi tidak berjaya, kaum muda masih membacanya kerana tiada suara lain yang berani mengkritik ketidakadilan ekonomi dan sosial hari ini. Jadi, melalui literatura kiri, sisi-sisi busuk dan hodoh ekonomi penindasan dapat dikenal pasti, masalah sistemik dapat difahami, dan penyelesaian kreatif baru dapat difikirkan.

Dalam pembacaan dan kajian saya, antara soalan yang selalu bermain diruang fikir adalah, jika pendapatan manusia dijamin, apakah mereka akan menjadi malas, apakah motivasi mereka untuk bekerja dan berusaha? Soalan saya ini membawa saya bertemu dengan buku tulisan D'Amato yang merupakan editor kepada majalah International Socialist Review (ISR), setelah hampir 22 tahun menyumbang naratif alternatif kepada umat manusia, ISR melabuhkan tirai penerbitannya pada tahun ini.

Pada mulanya saya agak skeptik dengan buku terbitan Haymarket Books karangan D'Amato, kerana tulisannnya yang kecil dan perenggannya yang panjang, pastinya melenguhkan mata dan membosankan jiwa. Ternyata saya silap, membaca pendahuluannya sahaja membuatkan mata semakin membulat, dan tarikan semakin kuat. Buku yang bertajuk The Meaning of Marxism ini merupakan sebahagian dari diet pembacaan saya pada tahun ini yang berfokuskan ekonomi.

Selepas berehat sebentar dari ekonomi dan menekuni memoir Dr. Ang Swee Chai berkenaan perjuangan bangsa Palestina yang begitu kental, kini minda kembali segar untuk pengembaraan intelektual seterusnya.



Ahad, 2 Jun 2019

Economyth oleh David Orrell



Selesai membaca buku ke-4 saya untuk tahun ini. Jika Ha Joon-Chang mengkritik free-market economist, Orrell pergi lebih jauh dan mengkritik teori ekonomi asas itu sendiri.


Bagi Orrell kegagalan model ekonomi bukan sahaja gagal menghalang krisis 2007-08 tetapi model ekonomi itu sendiri merupakan sebab krisis ekonomi. Model ekonomi bagi beliau tidak relevan kerana ia dibina menggunakan assumption yang tidak berpijak di bumi nyata, seperti manusia membuat keputusan secara rasional, harga yang ditentukan pasaran adalah harga yang betul, juga pemain dalam industri yang membuat keputusan secara independent.


Ekonomi juga menyorok disebalik matematik seolah-olah ia merupakan subjek sains. Orrell membawakan latar belakang setiap teori yang sering mengambil ilham dari ilmu fizik. Tetapi perkara ini jelas tidak realistik, manusia bukan seperti atom yang tidak mempunyai emosi dan perasaan, manusia membuat keputusan secara kompleks.

Beliau turut mengkritik teori paling asas dalam ekonomi iaitu supply and demand. Bagi beliau graf yang diajar di sekolah-sekolah ekonomi adalah seperti unicorn, satu fantasi, sering dilukis tetapi tidak pernah dilihat di dunia realiti. Harga dipengaruhi oleh pelbagai faktor, data emperikal tidak melahirkan graf-graf fiksyen seperti dalam buku teks ekonomi.

Antara topik menarik lain yang dibincangkan adalah ketiadaan unsur alam sekitar dalam perangkaan model ekonomi, walhal tanpa alam ekonomi sendiri tidak akan wujud. Ahli ekonomi sering mengejar pertumbuhan GDP tanpa mengambil kira kemusnahan alam. Perkembangan berterusan tidak lestari, dalam model ekonomi pertumbuhan mungkin infinite, tetapi sumber alam adalah finite dan mempunyai limit.

Setelah 4 buku ekonomi, terasa penat pula. Untuk buku seterusnya hendak berubah angin sekejap. Membaca memoir Dr. Ang Swee Chai, pakar bedah kelahiran Pulau Pinang beragama kristian. Beliau bercerita bagaimana pengalamannya berkhidmat di Beirut dan Gaza mengubah persepsi beliau terhadap Israel. Beliau adalah salah seorang saksi episod pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di Kem Shabra-Shatila.


Ahad, 28 April 2019

Mengenai penulisan


Benar, jam 1 pagi adalah untuk kreativiti, ia adalah masa emas bagi penyair menulis puisi, masa bagi penyanyi menulis lirik lagu yang bakal menjadi siulan remaja, juga masa yang sangat sayup dimana sang rahib sujud mencari Pencipta.

Seingat saya, saya mula menulis blog seawal tingkatan 3, waktu itu saya sendiri tidak faham apa itu blog. Saya menulis blog kerana melihat adik saya mempunyai blog, sebagai abang, saya rasa tercabar. Zaman itu semua orang mempunyai blog, namun kebanyakanya menjadikan blog sebagai diari peribadi. Jadi, apabila Facebook mula menjadi mainstream, penulis blog beralih ke penulisan di status Facebook, yang mana lebih mudah dicapai dan tersebar.

Saya kira, sehingga hari ini saya telah menulis sekitar 255 posting, well not bad. Walaupun blogger kelihatan sebagai satu platform yang stabil, namun saya masih skeptik, kerana pada tahun ini juga, Google telah menutup satu platform mereka iaitu Google+. Jadi ada kemungkinan tulisan saya disini akan hilang satu hari nanti.

Oleh sebab itu bagi saya, pembukuan masih mempunyai peranan yang penting dalam memelihara penulisan, pemikiran, perasaan yang kita simpan dalam bentuk sambungan perkataan dan perenggan. Selain buku, saya juga ada menulis artikel untuk majalah, tapi malangnya mereka jarang menulis nama atau email saya dengan betul, jadi pembaca mungkin tidak dapat mengenalpasti penulis sebenar.

Ada banyak sebab saya menulis, yang pertama adalah saya rasa, saya menulis untuk diri saya sendiri. Dalam banyak masa dan saat, saya merasakan saya ada terfikir sesuatu, kadang-kadang saya merasakan satu tekanan (pressure) jika saya tidak menulis, tidak tenang, tapi setelah ia di tulis dan dilepaskan, saya boleh kembali berfikir dengan tenang, dan dapat berfikir tentang perkara yang lain pula, menulis bagai sebuah injap, membukanya melepaskan air yang bertakung sekian lama di dalam minda. Selepas ia dilepaskan, kita merasa ringan.

"Siapa awak untuk menulis berkenaan dengan politik, awak tidak ada PhD dalam sejarah Malaysia" saya diberitahu pada suatu ketika. Bagi saya sesiapa sahaja boleh menulis berkenaan dengan politik tanpa PhD, hatta menteri yang menjadi ahli politik pun ada yang tidak mempunyai sijil, mengapa kita yang boleh berfikir ini tidak boleh menulis?

Betul atau salah apa yang kita tulis itu perkara biasa. Kita belajar dari membuat kesilapan. Jika kita tidak melakukan kesilapan kita tidak belajar. Saya tak semestinya berpegang dengan apa yang saya tulis sepanjang hayat. Idea berubah mengikut zaman, manusia berubah mengikut situasi, informasi baru boleh menyebabkan sesuatu fahaman menjadi basi dan obsolete. Jadi tak usah takut jika tersalah, kita boleh berubah.

Saya tetap akan menulis selagi ada hayat, orang baca tak baca bukan itu isunya. Apa yang lebih penting kita belajar skil penulisan, lebih banyak kita tulis, lebih banyak salah, lebih banyak kita belajar. Penulisan adalah satu pengembaraan, ia merupakan satu seni yang memberi kepuasan, ia adalah idea yang mengubah pemikiran. 

Khamis, 25 April 2019

Permainan terakhir




Melangkah keluar pintu, keluar dari kotak buntu. Terasa sedikit segar menghirup nafas kehidupan, dengan angin yang bebas liar bertiup, bunga magenta pun berdansa hidup. Simbahan mentari petang pengasyikkan, tidak panas, jauh sekali dari kebekuan.

Ajaib dengan manusia, mudah saja di hambat dalam kawanan, terpesona dengan iklan yang mengasyikkan. Watak-watak palsu begitu mengasyikkan, lalu mereka pun membayar harga kebahagiaan.

Ibarat makanan, yang masuk ke badan. Sedap di lidah tidak berapa lama tahan. Kebahagiaan yang dibeli tidak pun berkekalan. Umpama ubat bius, sekian lama ia pun hilang.

Esok mereka akan diberikan iklan lagi. Dan di gembala dalam kawanan lagi, beratur membeli tiket bahagia palsu, bersama watak-watak palsu. Lalu hanyutlah mereka dengan candu.

Ah, apa kau tahu!

Ini permainan terakhir.

Maka kenyanglah syarikat iklan, untung dengan mudahnya menawan insan. Bahagiamu palsu sedangkan keuntungan mereka berbillion ribu. Esok engkau perlu membanting tulang lagi, kerana setelah dipermainkan dengan terakhir, engkau tetap fakir.

Ahad, 21 April 2019

Catatan Baitul Muslim 19: Muhasabah dari kenyataan Asiah


“Saya cakap terang-terang kat encik suami, dalam bab rumah tangga, jangan jadikan Nabi sebagai contoh. Saya tidak kepingin karakter suami sebegitu. Banyak yang Nabi buat terhadap isteri-isteri baginda, saya tidak setuju dan saya tidak suka. Contohnya, Nabi senang-lenang beribadah di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sesuatu yang pak lebai tabligh contohi dan amalkan hingga kini, nak beribadah tanpa gangguan katanya. Nabi berkahwin lain dengan isteri baru tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda yang sedia ada. Sebab tu lelaki Muslim yang acah-acah nak mencontohi sunnah poligami, mereka juga mencontohi muslihat kahwin senyap-senyap di belakang isteri ini. Nabi bila pening kepala dengan kerenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadap isteri-isteri yang bermasalah. Rujuk awal surah At-Tahrim. Sebab tu lelaki Muslim sampai sekarang guna kuasa talak untuk mendapatkan ketaatan dan kepatuhan isteri. Saya tidak sesabar isteri-isteri Nabi. Saya juga tak ingin nak kejar syurga melalui tapak kaki suami. Sampai bila-bila saya takkan boleh "bersuamikan seorang Nabi". Jadi tak perlulah encik suami berubah menjadi Nabi. Confirm saya akan walk away nanti.” tulis Asiah di Facebook pada 15 April 2019.

Ramai cendiakawan Islam, pak Ustaz, pakar hadis, agamawan, dan ilmuan tampil menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh kenyataan Asiah. Ada yang sedikit tegas bunyinya ada yang bernada ingin berdialog. Itu harus dipuji, begitulah tanggung jawab mereka dalam merungkai kekeliruan masyarakat.

Sememangnya kenyataan Asiah itu mengguris hati orang yang mengaku muslim dan mencintai nabi mereka. Jadi tidaklah janggal keimanan mereka membuahkan perasaan sedih dan kecewa dengan kenyataan itu. Kita bersetuju penafsiran seerah nabi itu harus diperbetulkan dan dijelaskan pemahamannya yang sebenar. Namun pada hemat saya ia tidak boleh terhenti disitu tetapi pergi lebih jauh.

Kritik Asiah terhadap sikap suami muslim yang mengabaikan tanggung jawab terhadap anak dan isteri itu perlu muhasabah yang dalam serta tindakan lanjut. Suami-suami muslim perlu bermuhasabah tentang sejauh mana dia telah mengambil tanggung jawab dalam keluarga, terutamanya dalam menguruskan anak-anak. Seharusnya suami muslim meringankan beban isteri mereka dengan melengkapkan diri dengan kemahiran menjaga anak, memujuk anak menangis, bermain dengan anak kecil, menyusukan anak, menidurkan anak dan seterusnya.

Perkara ini perlu ditekankan hingga kepada bakal-bakal suami muslim, agar isteri-isteri muslim berasa bahagia. Kerana realiti kehidupan hari ini memaksa kedua pasangan bekerja, mereka perlu belajar berkongsi beban. Suami muslim perlu sedar sekiranya mereka tidak bertanggungjawab, mengabaikan keluarga dan anak-anak, mereka adalah fitnah buat Islam.

Juga muhasabah dan tindakan ini perlu dipanjangkan pada persoalan hukum dan undang-undang syariah. Agar kes penceraian dan tuntutan nafkah dipercepatkan supaya tiada muslimah yang merasakan diri mereka teraniaya dengan sistem syariah. Kita perlu melihat lebih jauh dan dalam pada isu ini, bukan sekadar menyalahkan tetapi melihat peranan dan tanggung jawab kita. Seharusnya kita berkerja agar setiap isteri muslim itu bahagia, dan melihat pada struktur sistem yang ada agar tiada yang teraniaya.


Saya lihat ramai yang mengutuk dan mencaci. Mencaci gelap itu mudah. Namun untuk mendapat terang, tidak cukup kita mencaci gelap, kita perlu menyalakan lilin.

Ahad, 14 April 2019

Catatan Baitul Muslim 18: Dengan sebesar dunia pun tidak bisa



Saya teringat satu perbincangan saya dengan Kathrine Lim (bukan nama sebenar) dalam satu mesyuarat bagi penganjuran satu program kesenian di pejabat. Setelah semua perkara habis dibincangkan, Kat bertanya kepada saya.

"Berapa umur anak awak?"

Yang kedua empat bulan dan yang pertama empat tahun jawab saya. Kat sedikit terkejut, kerana dengan usia yang begitu muda saya mempunyai dua orang anak. Kat menceritakan bahawa dia dan suaminya tidak mahu mempunyai anak, kerana ia satu beban yang besar dan dia tak rasa dia mampu. Namun beban tersebut bukan beban keewangan, lebih kepada beban penjagaan, mereka mampu dari segi wang, tapi lebih gemar menggunakan duit untuk bercuti bersama di luar negara.

"Saya dah 40-an. Is it too late? Mesti awak nak kata saya akan menyesal di hari tua."

"Life start at fourty" jawab saya sedikit berjenaka. Saya katakan bahawa setiap orang mempunyai pilihan masing-masing. Saya tak tahu kecenderungan orang lain dan tak tahu sama ada dia akan menyesal di hari tua atau tidak.

Sebab saya tak pandai sangat bercakap (saya lebih selesa menulis dari bercakap), saya cadangkan dia membaca buku Tuesday with Morrie. Kerana saya rasa banyak nasihat yang baik tentang keluarga dan anak-anak dalam buku tersebut.

Tapi jika saya diberi peluang semula untuk memberi nasihat.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa bahagia dan gembiranya apabila mendengar suara anak menjerit kegembiraan menyambut kepulangan kita dari kerja, segala penat lelah dan kerungsingan hilang sebentar melihat wajah ceria mereka memeluk kaki kita kegembiraan. “Abi dah balik!”.

Saya akan katakan, ya, anak-anak memang mengambil masa dan tenaga kita. Kadang kita penat mereka ajak bermain, kita nak tidur dia ajak kita baca buku, dompet tertinggal tapi dia suruh kita beli belon, kita suruh pakai baju merah dia nak pakai baju biru, dan bermacam lagi kisah suka, duka, dan kelakar bersama anak-anak.

Tapi selepas semua masa dan tenaga kita habis. Dan mereka pun akhirnya tertidur. Kita melihat dan merenung wajah mereka yang bersih tidur dengan tenang, kita pun diselubungi tenang, kita kucup pipi mereka tanda selamat malam, dan kita merasa bahagia.

Kita tidak dapat menukar ganti perasaan bahagia itu, dengan sebesar dunia pun tidak bisa.

Isnin, 8 April 2019

Nota-nota peribadi di PBAKL 2019




Tahun ini PBAKL kembali ke tengah pusat negara di PWTC, saya ingat kali terakhir saya datang PBAKL adalah di MAEPS Serdang, kemudian beberapa tahun tidak dapat hadir atas komitmen pengajian. Tahun ini masih ada komitmen pengajian tapi saya ‘mengelat’ dan datang juga.

Jika sebelum ni datang untuk berjalan-jalan sambil menambah koleksi buku untuk dibaca, tahun ini saya datang untuk menjual buku. Walaupun jika dikira untung rugi mungkin tidak berbaloi pun menjual di PBAKL bagi penerbit swaterbit indie, tetapi apa yang lebih berharga adalah pengalaman juga perbualan-perbualan dengan masyarakat.

Buku yang saya cetak sebenarnya telah lama habis, saya pun malas untuk mencetak lagi. Tapi apabila sahabat saya Izzat mengajak untuk bersama dia untuk menjual di reruai swaterbit saya buat cetakan kedua. Saya tahu, jika untung rugi itu hanya dikira dengan matawang ringgit mungkin tidak berbaloi, tapi apa yang lebih penting adalah solidariti bersama penulis dan penerbit indie, pengalaman bercerita dengan pengunjung, juga sembang dan renungan bersama.

Bersama komrad-komrad Anarko-sindikalisme

Antara pengalaman berharga kali ini adalah berkongsi reruai dengan penerbit anarkis indie. Duduk dengan mereka, sama-sama menjual buku, makan bersama, semestinya berharga dan melahirkan perasaan brotherhood. Mereka ini ber-ideologi pro-buruh, anti-fasis (antifa), budak-budak punk, juga pemusik-pemusik indie. Di takdirkan Tuhan mereka berkongsi reruai dengan budak usrah!

Amatan saya mereka mempunyai semangat brotherhood yang kuat antara sesama mereka dalam komuniti mereka, dalam kalangan Islamis semangat ini terjelma dalam terma ukhuwwah Islamiyah. Mereka juga kebanyakannya tidak percaya pada Tuhan.

“Weh tak solat Jumaat ke?” sapa Oka.

“Aku boleh jamak sebab datang dari Sungai Petani.” balas saya. Melihat saya ingin bertanya pula Oka terus berkata.

“Oh kitorang tak, kitorang kafir.” jelas Oka.

Apa yang menarik adalah selepas kami bersama-sama menjual buku dari pagi sehingga penat, kami duduk bersama-sama bersembang hati ke hati. Oka bercerita berkenaan dengan ideologi anti-fasis beliau, beliau berkata dia menentang semua ke-fasisan baik fasis-agama atau fasis-bangsa, tetapi percaya kepada pendekatan anti-keganasan. Saya pun bertanya bangaimana dengan ‘aksi langsung dan sabotase’? antara sebuah buku klasik anarko-sindikalisme yang sempat saya belek.

“Tak semua benda yang kita baca sesuai kita pratikkan hari ini, kena lihat situasi” jelas Ashi.

Wow, saya kagum mendengar kata-kata yang keluar dari mulut adik punk berumur 17-tahun, dia seolah faham ilmu waqi’. Ashi tidak menghabiskan sekolah, dia bersama kawan-kawan menjual t-shirt dan buku. Mukanya bersih dan sentiasa ceria, dipipi bawah mata kanan beliau ada sebuah tatoo perkataan ‘mercy’, di leher beliau ada tatoo besar rama-rama, tangan kanan dan kiri juga ber-tatoo, dan di kedua telinga ada gelang kecil yang ditindik.

Oka kemudian bercerita tentang ketidakpercayaan beliau pada tuhan, beliau berkata bahawa asas ketidakpercayaan beliau adalah pencarian dan pembacaan beliau, beliau bukan tidak percaya agama disebabkan dendam atau mempunyai pengalaman buruk dengan orang-orang agama. Tetapi beliau sama sekali tidak membenci agama, baginya tidak percaya dan benci dua perkara berbeza. Dia percaya idea perlu berlawan dengan idea, dan buku perlu berlawan dengan buku.

“Apa perasaan ko bila dengar orang cakap camtu?” tanya Ashi, mungkin dia curious apa yang budak usrah seperti saya fikirkan mendengar cerita bangsa sendiri tidak ber-tuhan.

Saya sedikit sebanyak menceritakan latar keluarga dan hidup saya, buku-buku yang saya baca di pertengahan hidup, saya katakan bahawa setiap manusia mempunyai latar hidup mereka. Dengan latar-latar ini setiap manusia sampai kepada cara fikir mereka, dan manusia tidak boleh memilih latar keluarga mereka, jadi saya tiada sebarang perasaan benci. Tapi saya percaya bahawa manusia boleh berkomunikasi apabila dia sudah dewasa dan memilih cara fikir baharu yang lebih benar dengan kemampuan akalnya.

Oka berkata bahawa dia ada membelek-belek buku saya, dia kata dia akan baca, sekiranya tiada unsur fasis dia mahu cetak dan jual buku saya. Ashi kelihatan masih muda dan jauh lagi perjalanan hidupnya, saya hadiahkan kepadanya senaskah buku saya secara percuma dan berpesan agar dibaca dan tidak dibuang.

Sembang petang dengan politikus

“Mana ko nak cari ahli politik beli zine punk.” kata Budiman yang singgah di reruai kami dan membeli dua siri Mosh Zine. Jika dilihat dengan mata kasar, tidak nampak seperti ahli politik, memakai baju t-shirt Hard Rock Cafe ‘Seville’ sambil menarik trolley-cart berisi buku, dan bersembang pasar dengan budak-budak jalanan. Agak kelakar trolley-cart beliau saya lihat, teringat makcik-makcik tua dia Rusia ketika saya masih belajar dahulu, mereka juga menggunakan trolley-cart yang sama.

Dia pun duduk dan bersembang bersama kami, bertanya khabar dan progress jualan. Banyak juga topik menarik yang kami bualkan, terutamanya berkenaan dengan penulisan buku dan proses jualan. Budiman pernah ter-viral dalam sebuah wacana anjuran akhbar harian, apabila seorang pakcik tua mengatakannya ‘bodoh’, tapi dia tenang menjawab.

Saya bertanya tentang wacana tersebut, Budiman menjawab biasa “Alah, tak kisah, aku tahu diorang tu cari makan”, nampak dia tidak menyimpan hati sedikit pun. Dia bercerita tentang pengalamannya menerbitkan buku, bagaimana dia menjual buku sendiri dan bertegas tidak mahu jual pada orang tengah. Baginya, dia yang berusaha membuat kajian dan menulis, mengapa orang tengah boleh mengaut 40 peratus? Dia kemudian mengeluarkan bukunya ‘Propaganda Politik’ dari trolley-cart kelakarnya. Buku ini dari hasil kajian PhD-nya ujar Budiman. Oka minta free tetapi Budiman tak bagi, saya pun membeli sebuah tanda solidariti.

Minum kopi bersama Wolf di tepi Sungai Gombak

Saya sempat di PBAKL tahun ini hanya dua hari, sepanjang dua hari itu hanya berada di reruai sendiri dan tidak mempunyai masa untuk berkembara, menikmati, dan membelek buku di reruai yang lain. Hari kedua di reruai kami disertai Wolf, pemuzik dan penulis, dan Nizang, penerbit zine. Wolf tiba awal, anarkis-anarkis lain masih belum bangun tidur. Dia pun menyusun poskad hasil karya beliau. Saya turut membantu mempromosikan poskad beliau, ada juga pembeli dari crowd saya yang membeli.

Buku Wolf bagi saya menarik, ia bukan travelog biasa tapi sebuah pengembaraan dengan misi tersendiri, dalam masa yang sama dimuatkan lukisan-lukisan beliau sepanjang pengembaraan beliau. Saya tertarik dengan kehalusan seni beliau, dan beliau bercerita tentang bagaimana setiap lukisan itu di hasilkan, teknik-teknik yang digunakan. Saya bertanya berkenaan dengan lukisan original. “No, not for sale!” jawab Wolf tegas. Saya beli satu buku beliau 'Kept in Ink' bersama poskad tanda solidariti.

“Weh, jom cari kopi” ajak Wolf apabila sudah separuh hari berpromosi dan memberi flyers pada pengunjung. Masing-masing penat, kini tiba masa untuk makan tengahari. Kami pun keluar dari dewan dan masuk ke medan makan di tepi sungai Gombak yang berwarna seperti ‘teh tarik’. Kami bersama makan nasi putih dengan ayam goreng kampung, sambal belacan kedai tersebut sangat sedap, pedas, dan ‘terangkat’. Saya bungkus satu untuk Izzat.

Wolf bercerita perihal dirinya, dari dia mula berkarya ketika belasan tahun, aktiviti harian busking di SACC mall, juga projek-projek amal beliau mengajar muzik secara percuma kepada anak-anak di PPR. Kami bersembang berkenaan dengan buku, banyak juga yang dibualkan kerana banyak buku yang sama kami baca seperti karya-karya Chomsky hingga ke kritikan Richard Dawkins terhadap agama.

Kami kemudian berbual berkenaan dengan halatuju politik kiri di Malaysia. Wolf berpendapat bahawa parti sosialis di Malaysia masih membawa sosialis lama era-70-an sedangkan kapitalis berubah dengan cepat, kapitalis hari ini tidak sama dengan kapitalis 70-an. Di sebabkan itu mereka sukar mendapat base terutamanya dalam lingkungan ideologi. Perkataan ‘sosialis’ sendiri mempunyai konotasi negatif di Malaysia dan sering dikaitkan dengan ‘komunis’. Tetapi bagi Wolf, parti sosialis konsisten dalam bekerja memperjuangkan rakyat bawahan, tiada siapa boleh menyangkal mereka ‘berkerja’, dan dia sendiri meletakkan simpati beliau pada mereka, dan tidak segan membantu jika diminta.

Selamat tinggal Pesta Buku KL 2019

Dalam pekat malam kota aku meninggalkan pesta buku tamat hari ke-dua, pekat malam kota tidak sama dengan pekat malam desa kerana ada lampu neon di mana-mana. Pesta kali ini membuatkan aku berfikir berkenaan dengan keindahan seni dan karya, bagaimana ia boleh merentas rupa, warna, juga ideologi dan budaya. Baik kiri atau kanan, mereka duduk sebentar dalam genjatan senjata, bersama di dalam satu dewan bersama menjual karya.

Di kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih buat penganjur yang memberi ruang kepada kami untuk bernafas, kepada komrad-komrad anarkis yang bersama-sama menjual karya, kepada pengunjung yang sudi singgah mendengar cerita, kepada pembeli dan pencinta karya, kepada suri hati yang menjaga dua anak tercinta dan melepaskan suamimu ke pesta, dan yang paling utama, kepada Allah yang memberikan nikmat tenaga dan usia.

Selamat tinggal pesta buku!

Sabtu, 30 Mac 2019

Kehidupan: Satu Renungan Jauh


Bulan ini dua orang bapa kepada sahabat saya mengakhiri perjalanan mereka di dunia. Seorang guru di Pulau Pinang dan seorang lagi merupakan usahawan pembinaan di Johor. Benarlah kematian itu menghidupkan, ia memberi kehidupan baru kepada si mati dalam perjalanan abadi mereka yang panjang, ia juga menghidupkan hati buat mereka yang masih hidup, berita kematian membuatkan mereka merenung dan menilai semula arah hidup mereka.


Begitulah pesan nabi, mereka yang cerdik adalah mereka yang berfikir tentang kematiannya, bekalan apa yang dia telah masukkan kedalam bagasi hati mereka, amalan apa yang telah dia kumpul dan depositkan ke dalam bank amalan mereka untuk menempuhi alam seterusnya.

Sudah tentu analisa ini hilang dari konfrontasi di arena ideologi materi manusia. Di mana ketinggian ilmunya membataskan perbahasan yang melangkaui realiti fizik. Ia tidak dapat di ukur dengan alatan dan instrumen logika. Kemampuan abstraksasi akal juga hanya berbahas dalam lingkungan perasaan, tiada tempat untuk ruh bangkit segar dan hidup di hati.

Sebab itu sarjana ateis bertanya soalan. Jika polio boleh dibasmi dengan hasil kajian vaksin, mengapa agama boleh terus hidup bahkan berkembang sedangkan sains moden kini sudah menerobos ke cakerawala baru. Sebenarnya professor, agama tidak menolak sains dan sains tidak menolak agama, yang menolaknya hanya manusia yang berkiblatkan harta, mereka miskin jiwa.

Hakikatnya manusia ini kerdil, fiziknya mudah sahaja tewas dengan penyakit yang lahir dari bakteria dan virus sebesar hanya zarah, masanya singkat sepuluh tahun sahaja kulitnya sudah berkedut. Maka kita tiada masa untuk kedekut, sama ada kedekut tenaga membantu manusia, kedekut harta, atau kedekut untuk sujud pada pencipta.

Maka cukuplah mati menjadi tazkirah buat kita. Cukuplah manusia, jangan disalahkan atau disalahgunakan agama. Biarkan manusia mencari jiwa mereka. Dan engkau pun pergilah mengembara, sedang Tuhan menunggumu disana.

Sabtu, 16 Mac 2019

Diskusi UniSHAMS: Islam liberal, salahkah?


Maksud & Konsep Ideologi

Ideologi adalah sistem pemikiran atau kepercayaan (belief system) yang mana dengan sistem ini seseorang melihat dunia ataupun kita panggil worldview. Dengan ideologi seseorang itu mentafsirkan aspek-aspek kehidupan seperti agama, politik, ekonomi, susun atur sosial dan lain-lain.

Sebagai contoh dalam aspek ekonomi. Seorang yang berideologi free-market capitalism akan mencorak ekonomi dengan menghapuskan halangan-halangan dalam ekonomi seperti tariff, melonggarkan peraturan, dan sebagainya. Ideologi komunis pula mungkin menghapuskan pegangan harta, dan ekonomi ditadbir dan diurus oleh central-planning. Ideologi sosialis pula mungkin akan menetapkan polisi-polisi untuk mengurangkan jurang pendapatan, menaikkan cukai orang kaya untuk diagih kepada golongan miskin, apa yang disebut sebagai welfare state. Ideologi Islam pula mungkin cuba membina ekonomi tanpa riba, memperkasa sistem zakat sebagai sistem pengagihan harta.

Begitu juga dalam politik, contohnya di Malaysia kita ada parti-parti politik yang berasaskan ideologi. Ada yang ideologi partinya secularisme, ada yang berdasarkan sosialisme, ada nasionalisme, ada juga parti-parti Islam. Mungkin parti Islam di Malaysia kita boleh pecahkan lagi kepada yang ideologinya progresif, dan ada juga yang lebih konservatif.

Walaupun liberal di Malaysia sering dipandang dalam konotasi negatif. Maksud liberal secara umum adalah kebebasan dari perkataan liberty. Dalam Islam sendiri ada nilai-nilai kebebasan, contohnya Islam membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan pada tuhan, ini adalah nilai liberal. Dalam sejarah juga Islam menjadi asas pembebasan dari penjajah, membebaskan manusia dari sifat jahiliyah kepada masyarakat ilmu. Ini semua adalah nilai liberal. Jadi setiap orang mungkin mempunyai definisi liberal yang berbeza.

Liberalisme boleh kita definisikan sebagai ideologi yang berteraskan nilai-nilai seperti hak-hak sivil, demokrasi, sekularisma, kesamaan gender, kesamaan kaum, internasionalisma, kebebasan bersuara, kebebasan agama, dan pasaran terbuka. Tak kesemua nilai-nilai ini bertentangan dengan Islam.

Kesamaan kaum sebagai contoh, tidak bertentangan dengan Islam. Islam datang dan menghapuskan amalan assobiyah kaum kepada kesaksamaan dalam Islam, yang membezakan manusia adalah taqwa. Ada juga nilai yang bertentangan, contohnya kesaksamaan gender. Islam tidak beri kesamaan gender seperti definisi liberal, tetapi Islam memberi keadilan gender yang mana setiap gender ada hak dan tanggungjawab masing-masing yang diiktiraf.

Ideologi tidak bersifat material, jadi melawan ideologi perlu dengan ideologi. Antara buku yang sangat baik dalam membahaskan isu Islam Liberal ini adalah buku tulisan Dr. Ugi Suharto dari UIAM yang bertajuk Pemikiran Islam Liberal – Perbahasan Isu-isu Sentral terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Usaha mengawal perkembangan Islam liberal

Malaysia adalah satu negara yang unik, dimana Islam diiktiraf dalam perlembagaan secara khusus dan terang. Perkara ini sangat penting kerana Islam boleh wujud dalam bentuk institusi, kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mufti, bahkan Menteri khusus untuk agama Islam. Jadi sebarang usaha untuk mengubah Malaysia sebagai negara sekular perlu melepasi halangan besar pertama ini.

Dengan Islam wujud dalam bentuk institusi, Islam dapat dipelihara dengan penguatkuasaan dan ada legal standing, ini berbeza dengan negara jiran kita yang mana Islam tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan. Indonesia sebagai contoh dalam perlembagaannya iaitu Undang-Undang Dasar 1945  (1) tidak menyebut Islam dengan jelas. Ada frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya” dalam preamble asal, tapi kemudiannya dibuang (2). Di Indonesia ada Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang boleh mengeluarkan fatwa (ruling) tetapi tidak legally binding.

Jadi dengan adanya pengiktirafan rasmi dalam perlembagaan dalam Perkara 3 yang menyebut “Islam ialah agama persekutuan” (3), institusi-institusi agama Islam di Malaysia boleh mengawal penyebaran fahaman-fahaman yang bertentangan termasuk fahaman Islam liberal. Majlis Agama Islam Selangor sebagai contoh melalui kerajaan negeri Selangor mewartakan pada tahun 2014 bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam (4), fatwa ini turut mengishtiharkan bahawa Sisters in Islam (SIS) sebagai sesat, yang mana kemudian SIS mencabar MAIS di mahkamah agar fatwa ini dibatalkan (5).

Selain penguatkuasaan institusi agama, di Malaysia juga kita ada pelbagai gerakan Islam yang menentang pemikiran ini menerusi pendidikan, wacana, diskusi dan pelbagai medium lain. Juga institusi pengajian tinggi, universiti, juga memainkan peranan dalam memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Nota:





Luka lama ummat belum sembuh kini terbit luka baru




Ummat ini sejarahnya panjang, kita hari ini merupakan sambungan rantaian sejarah yang tidak terputus. Tentunya kita masih menggenggam kalam guru-guru kita, baik kini mahupun silam, bertapa ummat ini luka lamanya masih lagi berdarah. Hari ini kita menghadapi luka baru. Dunia menjadi saksi bertapa takutnya mereka terhadap sujud-sujud kita, bertapa iman dan ruh kita menggentarkan mereka, peluru-peluru mereka tidak dapat memadamkan nyawa ummat ini.

Ketika langit mendung, awan menangis, dan seluruh alam berkabung, masih wujud suara pelacur politik yang cuba menangguk di air yang keruh. Dalam kesakitan, kita diludah, kotornya kata yang keluar dari mulut mereka, cuba membeli undi, bermain politik hina, hingga khinzir pun tidak begitu rupa nistanya. Biar ditarik, itulah niatnya, luka kan sembuh, sakit kan hilang, namun parutnya kan kekal. Kekal menjadi nasihat buat ummat.

Namun dibaris kita ada yang masih keliru, pesona barat mengasyikkan minda, slogan-slogan kebebasan acuan barat menjaluri darah mereka. Mujur dikala kecamukan polarisasi berasaskan parti, ada yang tsabat menuntun ummat, menunjuk jalan, biarpun kabur mulanya tapi akhirnya selamat. Mereka yang keliru luntur jati diri hingga dijual murah harga diri, lantas memeluk parti.

Tapi ummat ini daya tahannya kuat. Dikala imperialis memperkosa benua Amerika, Aztec dan Inca lenyap dari semesta, tamadunnya terkubur, malah anak-anak mereka lupa bahasa ibunda mereka, akhirnya lidah mereka menjadi lidah Hispania, budaya mereka hilang entah ke mana. Perkara ini sangat berbeza ketika Islam membuka kota, sang Tajik masih dengan bahasanya, anak Jawa fasih dengan lidah ibundanya, bangsa Turki masih dengan bahasa dan Doner Kebab mereka, yang dibebaskan hanya jiwa, dari perhambaan manusia kepada yang Esa.

Golongan keliru mudahnya lupa, barat kononnya dengan keagungan falsafahnya, tetapi pembunuhan Yahudi Eropah adalah ditangan mereka, namun yang perlu membayar harga adalah bangsa Palestina, mereka diusir dari rumah nenek moyang mereka, agar pendatang dari New York dan Boston dapat mendiaminya. Begitu tinggikah falsafah dan nilainya?

Bahkan tidak, ummat ini tidak akan lupa. Kita tidak lupa dengan barat yang kononnya menjunjung hak-hak manusia, tetapi membiarkan saudara kita dibunuh dengan hina, dari Sabra-Shatila hingga ke Srebrenica. Kononnya menjunjung demokrasi, tetapi berkomplot bersama menjatuhkan pimpinan yang diundi dengan sah di Mesir, Gaza, dan Algeria. Ini bukan sejarah 1000 tahun yang lampau, tetapi di abad dan ketika ini, lukanya masih merah, air matanya masih basah.

Maka ketika ummat ini bersatu, mengalir menjadi kesatuan yang kuat dan menggugat, biarkanlah golongan keliru dengan suara sumbang mereka. Biarlah mereka sibuk berdansa bersama-sama penjunjung sekularisma. Ummat ini tidak akan lupa, tidak akan lenyap, bahkan tidak.

Sabtu, 23 Februari 2019

Ekonomi bukan hitam putih

Saya bukanlah seorang ahli ekonomi, di sekolah belajar aliran sains tak ambil subjek ekonomi. Kali pertama belajar ekonomi masa di universiti, seingat saya nama pensyarah saya adalah Radchenko semasa belajar di Russia. Dalam kelas beliau lah saya pertama kali dengar nama Adam Smith dan "the invisible hand".

Selepas keluar universiti saya ada beli buku The Wealth of Nations tulisan Adam Smith, dikumpulkan 3 jilid dalam satu naskah terbitan Bantam Books. Saya mengambil masa 8 bulan untuk menghabiskan buku setebal 1264 mukasurat ini. Ada bab yang mudah faham seperti "division of labour" manakala banyak yang saya sendiri tak dapat hadam, terutamanya bab yang terlalui detail dan memenatkan seperti harga jagung, nilai emas dan perak.

Tahun lepas ada satu subjek ekonomi yang saya ambil untuk ICS professional exam berkenaan dengan ekonomi pengangkutan laut dan perdagangan antarabangsa. Subjek ICS ni berjaya mencetus semula minat saya untuk membaca dan memahami subjek-subjek ekonomi.

Dalam pembacaan saya, saya dapati ekonomi bukanlah sesuatu yang hitam putih. Ia bukan sains seperti mana subjek Fizik atau Biologi, ada perkara dalam ekonomi yang tidak boleh diberikan definisi secara objektif. Ekonomis Cambridge, Ha-Joon Chang sebagai contoh mengatakan bahawa "95% dari subjek ekonomi adalah common sense".

Maksud bukan hitam putih adalah ia boleh dilihat dari banyak perspektif. Malah banyak polisi ekonomi sebenarnya adalah polisi politik. Saya suka pendekatan sejarawan Howard Zinn, pendekatan pensejarahan yang boleh diapplikasikan dalam bidang ekonomi. Iaitu bila dikatakan sesuatu polisi itu baik, kita perlu bertanya, baik untuk siapa?

Ambil contoh kelemahan nilai matawang berbanding US dollar. Dari sudut import memang tidak baik, sebab kita terpaksa membeli barang luar dengan harga yang lebih mahal. Jika kita melancong keluar negara, kita terpaksa berbelanja lebih dibandingkan dengan masa matawang kita mengukuh.

Tapi dari sudut eksport kelemahan matawang akan memberi kita kelebihan. Barang kita menjadi murah dan orang luar akan lebih membeli, eksport akan meningkat. Sebab itu China mengamalkan polisi yang menyebabkan nilai Yuan lemah secara artificial. Supaya barang mereka murah dan kilang mereka boleh eksport lebih. Yang mana merupakan punca trade war hari ini apabila US mengalami trade deficit dengan China.

Begitu juga bila sebelum ini kerajaan melaksanakan polisi protectionism dalam perusahaan automobil. Jika kita lihat dari sudut syarikat automobil negara, supplier dan vendor, mereka ia memang menguntungkan. Kita juga dapat mengembangkan kemahiran pekerja dalam sektor pembuatan berat, disamping boleh menyemai semangat patriotik terhadap industri tempatan.

Tapi jika kita melihat dari sudut rakyat yang terpaksa membeli kereta tempatan yang lebih kurang kualiti dengan harga yang lebih tinggi berbanding kereta import, tentu kita nampak polisi ini menjerat rakyat. Jika sektor ini diliberalisasi rakyat akan dapat membeli kereta import berkualiti dengan harga berganda lebih murah.

Jadi bila kita mendengar ahli politik berkata membangunkan pengangkutan awam tidak menguntungkan. Kita kena bertanya, tidak menguntungkan siapa? Mungkin tidak menguntungkan kerajaan dari satu segi, iaitu syarikat berkaitan kerajaan perlu mengendali kemudahan awam dengan caj minimum dan tidak menguntungkan.

Tapi ekonomi bukan hitam putih. Apabila ada infrastuktur kemudahan awam pelbagai aktiviti komersial boleh dijalankan. Sebagai contoh, orang berniaga di stesen LRT. Ia mencipta peluang pekerjaan, kerajaan dapat mengutip lebih banyak cukai dari aktiviti ini. Pekerja juga boleh pergi bekerja dengan kos yang rendah, seterusnya menggalakkkan lebih ramai orang bekerja dan kerajaan boleh mengutip lebih banyak cukai pendapatan. Tanah-tanah di sekeliling stesen pengangkutan juga naik harga dan kerajaan boleh kutip lebih banyak cukai hartanah. Ekonomi perlu dilihat dengan menyeluruh, bukan sekadar hitam putih untung rugi syarikat GLC.

Oleh itu penting kita sebagai rakyat untuk memahami bagaimana ekonomi berfungsi dan tidak bergantung semata-mata pada air liur ahli politik. Bila disebut untung atau rugi, kita kena selalu bertanya, untung dan rugi untuk siapa?