Jumaat, 14 Februari 2020

Pemikiran Asghar Ali Engineer Berkenaan Dengan Islam & Negara


Penulisan ini merupakan sambungan ulasan buku yang bertajuk Islam dan Cabaran Masa Kini yang ditulis oleh Asghar Ali Engineer hasil terjemahan Khadijah Abdullah terbitan Ikraq, Kuala Lumpur. Ikraq merupakan imprint kepada Gerakbudaya. Pada ulasan lalu, telah diulas bab pertama dari buku ini yang membincangkan asal usul Islam. Tulisan kali ini akan menjurus kepada tajuk kedua dalam buku ini iaitu perihal Islam dan negara. Ulasan ini lebih kepada perbincangan pemikiran Asghar dalam hal ini, ia bukan bertujuan untuk menerima atau menolak ideanya, membenarkan atau menyalahkan pemikirannya.

Asghar memulakan perbincangannya dengan mengetengahkan idea bahawa Al-Qur'an datang menerangkan konsep masyarakat bukan konsep negara. Dalam hal ini, ia membawakan ayat-ayat yang deskriptif bukan tetap, atau dalam kata lain ia boleh ditafsirkan semula sesuai mengikut zaman dan tempat. Kebolehan menafsir semula inilah bagi Asghar adalah sifat keabadian Al-Qur'an, yang membolehkannya kekal relevan sepanjang zaman. Membaca akan hal ini, saya teringat akan perbincangan oleh Reza Aslan berkenaan dengan perkembangan agama Kristian, apabila terbukti bahawa teori Galileo berkenaan dengan Heliocentric adalah benar, mengalahkan teori Geocentric yang diperjuangkan Kristian, ini tidak bermakna Kristian akan hilang dan ditinggalkan. Apa yang berlaku adalah penafsiran semula teks agama, dan hingga ke hari ini agama Kristian masih dianuti ramai orang. Reza Aslan berpendapat bahawa kemajuan dunia sains tidak akan menghapuskan agama, sebaliknya akan berlaku penafsiran-penafsiran baru yang akan menjadikan agama terus relevan.

Asghar berhujah lagi bahawa konsep pemerintahan khalifah tidak disebut dalam Al-Qur'an, oleh itu ia tidak boleh dianggap sebahagian dari kepercayaan Islam, konsep khalifah menurut Asghar dicipta oleh ulama-ulama terkemudian dalam kitab-kitab fiqh. Selepas meletakkan batu permulaan ini Asghar kemudian berpindah kepada bentuk negara yang dibentuk oleh Rasulullah. Kepelbagaian kabilah, kaum Yahudi, dan masyarakat Islam menjadi hujah Asghar bahawa masyarakat yang rencam ini mirip kepada masyarakat sekular moden. Beliau kemudian menafsirkan semula maksud "ummah' yang baginya merangkumi semua kaum, kabilah, dan agama, bukan eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja.

Piagam Madinah atau "sahifah" menurut Asghar adalah sesuatu yang bersifat revolusioner, iaitu sesuatu yang baru bagi kabilah Arab yang hidup dalam kelompok masing-masing, piagam ini membentuk satu rangka untuk kehidupan bersama antara kabilah, dan agama yang bermacam-macam. Pengiktirafan terhadap hak-hak kehidupan bersama ini bagi Asghar merupakan konsep politik agama dan sekular, bukan sebagai sebuah negara teologi. Dokumen ini juga membuktikan bahawa corak pemerintahan baginda adalah pemerintahan yang demokratik, berasaskan musyawarah dan persetujuan, bukan tekanan atau paksaan.

Apakah matlamat pemerintahan Islam?

Bagi Asghar, penekanan berlebihan kepada aspek Akhirat menurunkan darjat agama kepada semata-mata amalan dan mengabaikan isi agama yang revolusioner dalam soal dunia. Beliau menolak doktrin ketaatan kepada pemerintahan Islam yang zalim, yang baginya bertentangan dengan inti Al-Qur'an yang sentiasa menekankan pembentukan masyarakat yang adil dan saksama. Beliau melihat dalam hal ini, "jihad" hendaklah difahami sebagai instrumen yang hanya bertujuan menghapuskan kezaliman, bukan sebagai instrumen penaklukan, penjajahan, atau pengembangan agama melalui paksaan.

Beliau kemudian menyerang pemikiran Maulana Maududi daripada Jama'at Islami yang membawa konsep theo-democracy atau demokrasi ketuhanan. Beliau menolak negara teologi yang menafikan inisiatif manusia dalam penggubalan undang-undang. Bagi beliau penggubalan undang-undang perlu bersesuaian dengan masa dan tempat, seperti mana berbezanya fatwa Imam Abu Hanifa dalam suasana Iraq yang kompleks berbanding fuqaha' di Hijaz yang hidup dalam suasana yang lebih mudah. Kata beliau "jika syariat yang dikumpul oleh ahli fiqih di abad-abad permulaan Islam dianggap undang-undang yang tidak boleh diubah berkenaan negara Islam, maka saya bimbang ini akan bermakna kedaulatan ulama". Bagi beliau, para fuqaha moden sepatutnya meminda hukum-hakam yang diwarisi dari zaman silam. Penekanan terhadap unsur emperikal akan menjadikan undang-undang usang, manakala penekanan terhadap aspek transcendental akan menyebabkan undang-undang bersifat abstrak.

Definisi ma'ruf dan mungkar juga didefinisikan semula oleh Asghar, baginya ma'ruf adalah apa yang biasa diterima masyarakat, manakala munkar adalah apa yang ditolak masyarakat. Ia boleh berubah mengikut perubahan dan kemajuan masyarakat sesuai dengan keperluan masyarakat. Bagi Asghar konsep ini dibiarkan kabur oleh Al-Qur'an bagi membuka ruang penafsiran. Akhir sekali, dalam bab ini, beliau menafsirkan semula istilah "kafir", bagi Asghar kafir sebenar adalah golongan yang takbur, menekan, merampas, menindas, berbuat salah, tidak mendokong makruf dan menerima munkar. Bagi Asghar, Mukmin bukan hanya mereka yang ber-syahadah, tetapi mereka yang mendokong keadilan dan membela mereka yang lemah.

Sekali lagi, ini adalah inti pemikiran Asghar Ali Engineer berkenaan dengan konsep Islam dan kenegaraan, ia bukan penulisan persetujuan atau penolakan. Tentu sahaja kita dapati banyak penafsiran beliau tidak selari dengan pemikiran ulama arus perdana. Kita boleh tidak bersetuju dengan pendapat dan penafsiran beliau, dan jika kita tidak setuju, kita boleh bawakan hujah-hujah kita. Kerana pemikiran haruslah dilawan dengan fikiran balas. Jika punya nyawa dan masa, akan kita teliti pula pemikiran beliau dalam bab yang seterusnya iaitu Islam dan Falsafah.

Tiada ulasan: