Selasa, 25 Februari 2020

Mengejek Kemenangan Yang Tertangguh


Dahulu mereka mengejek
Mereka menghambur perkataan jelek.

Eh apa ini kemenangan tertangguh
Terima kalah sahajalah bodoh
Buat apa mahu bertangguh
Telan sahaja segala cemuh.

Kemenangan mereka disambut bangga
Konon sejarah telah tercipta.

Nampak luarannya begitu gah
Tapi terlalu mudah disanggah
Belum berangin sudah rebah
Isinya kosong walau luarnya megah.

Akhirnya kemenangan mereka lebur
Walau belum masa untuk dikubur.

Kemenangan mereka mati
Saling khianat mengkhianati
Kemenangan mereka luruh
Tanpa ada serangan musuh.

Begitu lemah kemenangan mereka
Mereka sendiri keliru
Mahu jadi katak atau berudu
Kini mereka tersedu.

Ibarat embun di hari pagi
Disentuh mentari ia pun pergi
Umpama di tepi pantai istana pasir
Hilang semua apabila ombak bersisir.

Mereka mengejek kemenangan tertangguh
Kepada Tuhan kita berteduh
Akhirnya kemenangan mereka yang runtuh

Kita perlu belajar tidak angkuh.

Khamis, 20 Februari 2020

Di Hujung Dunia Ada Sebuah Gunung


Di hujung dunia ada sebuah gunung,
Yang didatangi manusia murung.

Di kakinya ada anak-anak badwi,
Memijak tak berkasut,
Dengan rambut yang kusut,
Mereka mengumpul syiling,
Dari pengembara di lereng.

Juga di kakinya ada gembala keldai,
Menunggu tanpa lalai,
Yang memberi tumpang,
Kepada pendaki yang datang.

Datang mencari diri,
Datang meninggalkan diri,
Datang meneroka diri, 
Datang menghibur hati,
Begitu pelbagai yang mereka niati.

Di hujung dunia itu,
Di atas gunung itu,
Tidak perlu dibawa dosa,
Tidak perlu dibawa pahala,
Cukup datang sebagai manusia.

Manusia.

Manusia mencari diri hingga ke hujung dunia, Tetapi mereka terlupa,
Terlupa mencari diri di dalam jiwa,
Kerana mungkin,
Mungkin sahaja,
Mungkin sekali,
Mungkin disitu letaknya bahagia.



Sabtu, 15 Februari 2020

Membaca Nutmag Edisi Ke-4


Sebenarnya sudah lama saya mencari Persatuan Penulis, untuk duduk bersama bersolidariti, bertukar pandangan, beraktiviti dan berdiskusi, namun takdir tidak mengizinkan. Takdir pada mulanya mengizinkan saya mengikuti MYWriters Penang melalui kumpulan Facebook mereka sahaja, namun akhirnya sempat bertemu dengan penggerak mereka, Anna Tan dan Diyaa Mani selepas acara Sembang Lokal yang diadakan di Lokalhouz anjuran Buku Jalanan Bagan. Saya sempat membeli NutMag edisi terbaru, bilangan 4 untuk membaca tulisan-tulisan mereka.

NutMag ini merupakan majalah kecil mereka, mungkin lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah zine. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan bermuatan puisi, esei pendek, dan cerita pendek (CerTot menurut mantan menteri pendidikan).

Selepas kata-kata pendahuluan oleh editor, Anna Tan, yang menerangkan berkenaan tema zine ini iaitu "transisi", ia dimulakan dengan puisi pendek oleh Mark Walker berkenaan dengan bertapa singkatnya hidup ini. Kemudian kisah zaman remaja Farouk Gulsara, yang mengisahkan kegelisahan beliau semasa usia remaja kerana beliau lebih pendek dari kebanyakan remaja. Kisah beliau mengembara ke Langkawi bersama rakan-rakannya menghargai kecantikan alam juga sangat menyegarkan. Penulisan seterusnya adalah oleh Celine Wu, yang mengisahkan kritikan beliau sebagai imigran ditanah asing dan dikisahkan dalam bentuk tumbuhan, bagaimana imigran selalu dipandang dengan prejudis dan syak wasangka, sedangkan mereka hanya melakukan apa yang termampu untuk kekal hidup dalam survival kehidupan.

Antara kriteria yang menjadikan kisah pendek boleh dianggap bermutu bagi saya adalah kebolehannya mengelirukan pembaca, pembaca mungkin menganggapnya sebagai kisah benar walhal ia adalah karya fiksyen. Inilah perkara yang berjaya dilakukan oleh Diyaa Mani apabila beliau menulis perihal fotografer muda yang bertemu dengan fotografer idola beliau. Tulisan Mathijs Nanne pula merupakan kritikan terhadap pembangunan pesat Pulau Pinang yang ditulis dalam bentuk surat kepada kekasih. Walaupun kritiknya terhadap pembangunan yang lestari mungkin boleh diterima, tetapi saya kira banyak kritikan beliau seolah berlebihan, contohnya Jurassic Park di Komtar yang saya kira merupakan satu initiatif yang baik tetapi tidak dapat dihargai oleh Mathijs. Kemudian, Aathhini Adithan menulis berkenaan dengan seorang lelaki transgender yang berhalusinasi kononnya maknya yang telah meninggal menerima transformasi beliau.

Jika ada tulisan yang boleh diberi markah paling rendah, bagi saya ia adalah tulisan Tan Jie Ying, saya faham penulisan beliau berbentuk sarcastic criticism terhadap pemerintahan, kerajaan dan agama, tiada masalah dengan perspektif kritik tersebut. Tetapi sekurang-kurangnya ia perlulah ditulis dalam bentuk yang boleh difahami, apa yang beliau tulis adalah sebaliknya.

Wan Phing Lim menulis perihal seorang arkitek yang dikhianati oleh teman wanitanya, satu kisah yang ringkas, mudah difahami dan menarik, tentang bagaimana minat terhadap bidang arkitek berjaya membawa keluar Nathanael dari belenggu kesedihan. Winston Lim pula menulis perihal amah Indonesia yang didera oleh majikan, walaupun ringkas pembaca akan berasa sedikit lega kerana akhirnya penderaan Ina berakhir jua. Dimulakan dengan puisi, penutup zine ini adalah puisi tulisan Jackie Ashkin berkenaan dengan kematian.

Zine ini pada saya merupakan bacaan ringan sahaja, dan sesuai dibaca ketika mood tidak serious. Apa-apa pun selamat berkarya kita ucapkan kepada semua barisan penulis MYWriters Penang, semoga mereka terus menyumbang buah karya bagi mengayakan lagi warisan literatura negara.

Jumaat, 14 Februari 2020

Sebesar dunia yang dikejar



Kadang-kadang banyak perkara yang membuatkan kita risau. Resah dan takut sehingga terfikir-fikir dan membuatkan kita tidak boleh tidur malam. Kadang ianya berkenaan dengan peperiksaan pada esok hari. Temu duga yang akan dijalani minggu hadapan, presentation final year projek dan sebagainya.

Ada juga perkara yang kita alami membuatkan kita sedih dan sukar untuk bangun semula bagi meneruskan kehidupan. Seperti kehilangan duit yang banyak , kereta accident teruk sampai tak boleh baiki, kehilangan isteri atau insan tersayang , kalah bertanding dalam pilihanraya dan bermacam lagi.

Kebanyakan perkara yang kita takuti hilang dari kita itu, perkara yang kita kejar-kejarkan itu kebanyakannya adalah benda yang memang bersifat tidak kekal dan akan hilang juga satu hari nanti. Itulah perkara-perkara dunia yang sangat besar di mata kita.

Sehingga kadang kala manusia menghabiskan seluruh umurnya dan menggunakan semua tenaga yang ada bagi mengejar dunia ini. Kerja bagus. Kereta dan rumah. Namun bila mereka berdiri menghadap Tuhan, baru mereka sedar sebesar mana dunia yang dikejar.

Pemikiran Asghar Ali Engineer Berkenaan Dengan Islam & Negara


Penulisan ini merupakan sambungan ulasan buku yang bertajuk Islam dan Cabaran Masa Kini yang ditulis oleh Asghar Ali Engineer hasil terjemahan Khadijah Abdullah terbitan Ikraq, Kuala Lumpur. Ikraq merupakan imprint kepada Gerakbudaya. Pada ulasan lalu, telah diulas bab pertama dari buku ini yang membincangkan asal usul Islam. Tulisan kali ini akan menjurus kepada tajuk kedua dalam buku ini iaitu perihal Islam dan negara. Ulasan ini lebih kepada perbincangan pemikiran Asghar dalam hal ini, ia bukan bertujuan untuk menerima atau menolak ideanya, membenarkan atau menyalahkan pemikirannya.

Asghar memulakan perbincangannya dengan mengetengahkan idea bahawa Al-Qur'an datang menerangkan konsep masyarakat bukan konsep negara. Dalam hal ini, ia membawakan ayat-ayat yang deskriptif bukan tetap, atau dalam kata lain ia boleh ditafsirkan semula sesuai mengikut zaman dan tempat. Kebolehan menafsir semula inilah bagi Asghar adalah sifat keabadian Al-Qur'an, yang membolehkannya kekal relevan sepanjang zaman. Membaca akan hal ini, saya teringat akan perbincangan oleh Reza Aslan berkenaan dengan perkembangan agama Kristian, apabila terbukti bahawa teori Galileo berkenaan dengan Heliocentric adalah benar, mengalahkan teori Geocentric yang diperjuangkan Kristian, ini tidak bermakna Kristian akan hilang dan ditinggalkan. Apa yang berlaku adalah penafsiran semula teks agama, dan hingga ke hari ini agama Kristian masih dianuti ramai orang. Reza Aslan berpendapat bahawa kemajuan dunia sains tidak akan menghapuskan agama, sebaliknya akan berlaku penafsiran-penafsiran baru yang akan menjadikan agama terus relevan.

Asghar berhujah lagi bahawa konsep pemerintahan khalifah tidak disebut dalam Al-Qur'an, oleh itu ia tidak boleh dianggap sebahagian dari kepercayaan Islam, konsep khalifah menurut Asghar dicipta oleh ulama-ulama terkemudian dalam kitab-kitab fiqh. Selepas meletakkan batu permulaan ini Asghar kemudian berpindah kepada bentuk negara yang dibentuk oleh Rasulullah. Kepelbagaian kabilah, kaum Yahudi, dan masyarakat Islam menjadi hujah Asghar bahawa masyarakat yang rencam ini mirip kepada masyarakat sekular moden. Beliau kemudian menafsirkan semula maksud "ummah' yang baginya merangkumi semua kaum, kabilah, dan agama, bukan eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja.

Piagam Madinah atau "sahifah" menurut Asghar adalah sesuatu yang bersifat revolusioner, iaitu sesuatu yang baru bagi kabilah Arab yang hidup dalam kelompok masing-masing, piagam ini membentuk satu rangka untuk kehidupan bersama antara kabilah, dan agama yang bermacam-macam. Pengiktirafan terhadap hak-hak kehidupan bersama ini bagi Asghar merupakan konsep politik agama dan sekular, bukan sebagai sebuah negara teologi. Dokumen ini juga membuktikan bahawa corak pemerintahan baginda adalah pemerintahan yang demokratik, berasaskan musyawarah dan persetujuan, bukan tekanan atau paksaan.

Apakah matlamat pemerintahan Islam?

Bagi Asghar, penekanan berlebihan kepada aspek Akhirat menurunkan darjat agama kepada semata-mata amalan dan mengabaikan isi agama yang revolusioner dalam soal dunia. Beliau menolak doktrin ketaatan kepada pemerintahan Islam yang zalim, yang baginya bertentangan dengan inti Al-Qur'an yang sentiasa menekankan pembentukan masyarakat yang adil dan saksama. Beliau melihat dalam hal ini, "jihad" hendaklah difahami sebagai instrumen yang hanya bertujuan menghapuskan kezaliman, bukan sebagai instrumen penaklukan, penjajahan, atau pengembangan agama melalui paksaan.

Beliau kemudian menyerang pemikiran Maulana Maududi daripada Jama'at Islami yang membawa konsep theo-democracy atau demokrasi ketuhanan. Beliau menolak negara teologi yang menafikan inisiatif manusia dalam penggubalan undang-undang. Bagi beliau penggubalan undang-undang perlu bersesuaian dengan masa dan tempat, seperti mana berbezanya fatwa Imam Abu Hanifa dalam suasana Iraq yang kompleks berbanding fuqaha' di Hijaz yang hidup dalam suasana yang lebih mudah. Kata beliau "jika syariat yang dikumpul oleh ahli fiqih di abad-abad permulaan Islam dianggap undang-undang yang tidak boleh diubah berkenaan negara Islam, maka saya bimbang ini akan bermakna kedaulatan ulama". Bagi beliau, para fuqaha moden sepatutnya meminda hukum-hakam yang diwarisi dari zaman silam. Penekanan terhadap unsur emperikal akan menjadikan undang-undang usang, manakala penekanan terhadap aspek transcendental akan menyebabkan undang-undang bersifat abstrak.

Definisi ma'ruf dan mungkar juga didefinisikan semula oleh Asghar, baginya ma'ruf adalah apa yang biasa diterima masyarakat, manakala munkar adalah apa yang ditolak masyarakat. Ia boleh berubah mengikut perubahan dan kemajuan masyarakat sesuai dengan keperluan masyarakat. Bagi Asghar konsep ini dibiarkan kabur oleh Al-Qur'an bagi membuka ruang penafsiran. Akhir sekali, dalam bab ini, beliau menafsirkan semula istilah "kafir", bagi Asghar kafir sebenar adalah golongan yang takbur, menekan, merampas, menindas, berbuat salah, tidak mendokong makruf dan menerima munkar. Bagi Asghar, Mukmin bukan hanya mereka yang ber-syahadah, tetapi mereka yang mendokong keadilan dan membela mereka yang lemah.

Sekali lagi, ini adalah inti pemikiran Asghar Ali Engineer berkenaan dengan konsep Islam dan kenegaraan, ia bukan penulisan persetujuan atau penolakan. Tentu sahaja kita dapati banyak penafsiran beliau tidak selari dengan pemikiran ulama arus perdana. Kita boleh tidak bersetuju dengan pendapat dan penafsiran beliau, dan jika kita tidak setuju, kita boleh bawakan hujah-hujah kita. Kerana pemikiran haruslah dilawan dengan fikiran balas. Jika punya nyawa dan masa, akan kita teliti pula pemikiran beliau dalam bab yang seterusnya iaitu Islam dan Falsafah.

Khamis, 6 Februari 2020

And The Mountains Echoed



Susah sebenarnya hendak menulis reviu yang objektif untuk buku ini secara stand alone, kerana saya sudah membaca dua karya awal Khaled Hosseini iaitu The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Jadi walaupun saya cuba untuk menilainya secara tersendiri, tetapi minda saya sering juga mahu membandingkannya dengan karya awal beliau. Secara jujur, jika dilakukan perbandingan, pada saya, novel beliau kali ini tidaklah dapat mencapai martabat 2 novelnya sebelum ini dari segi evocation of emotions, perihal kesakitan, dan kepedihan yang boleh menerbitkan air mata.

Novel pertama beliau mengangkat isu penindasan etnik minoriti Hazara dan juga perihal persahabatan. Manakala novel kedua beliau mengangkat isu penindasan wanita dibawah pemerintahan Taliban dan nilai kasih sayang antara ibu dan anak. Tetapi novel ini tiada isu besar yang diangkat, lebih kepada konflik dan pergolakan keluarga yang tidaklah begitu menggelojakkan perasaan.

Baik, mari kita cuba melihatnya dengan lebih objektif dan tersendiri.

Seperti karya awal Hosseini, novel ini juga berorbitkan Afghanistan. Beliau mendapat idea asal novel ini apabila membaca perihal keluarga miskin Afghan yang terpaksa menjual anak kepada orang kaya ketika musim sejuk demi survival keluarga.

Ia bermula di sebuah kampung dimana Abdullah yang sangat menyayangi adik beliau Pari, terpaksa menerima kenyataan bahawa bapanya menjual Pari kepada keluarga yang lebih kaya. Bapanya berbuat demikian agar Pari mendapat kehidupan yang lebih baik. Juga agar dia dapat menyara keluarga dan anaknya yang lain. Peristiwa ini merenggut jiwa dan kehidupan Abdullah. Ini adalah tema awal novel ini. Ia diungkapkan dengan satu quote:

"Sometimes you have to cut a finger to save a hand".

Dalam novel ini Hosseini menceritakan kisah dari pelbagai watak, kehidupan mereka tersendiri, hingga akhirnya ia dijahit menjadi sebuah cerita yang lengkap. Setiap watak diberikan sifat baik dan buruk, jadi tidak ada naratif good versus evil dalam buku ini. Banyak juga detail yang diberikan tentang watak yang kedengaran mundane. Beliau ingin menonjolkan nilai "manusia itu hanya manusia biasa", ada kebaikan dan keburukan. Inilah maksud puisi Rumi yang beliau letakkan di awal buku ini, yang berbunyi:

"Beyond good and bad there is a field, I'll meet you there".

Rabu, 5 Februari 2020

Siapa yang perlu aku tipu?



Siapakah yang perlu aku tipu?
Adakah akal atau hatiku?
Adakah emosi atau perasaanku?

Jalan ini dahulunya segar
mekar dengan muda yang memunggar
kini aku tak nampak
kini perasaanku sesak
kini nafasku rosak.

Terasa begitu berat bahuku
Terasa begitu sesak nafasku
Mungkin terlalu banyak cita-cita
hingga lupa sifatnya manusia.

Yang punya lelah
Yang punya kesah
Yang punya kalah
Yang mampu rebah.

Atau mungkin senyumku palsu
cuba menolak jiwa yang bisu.

Dicari gembira yang tiada
Masihkah aku manusia?
Sudah terlalu jauhkah aku dibawa sungai duka
hingga tak mampu berpatah dari muara
kembali ke hilir bahagia.

Dalam gelap ini aku mahu berhenti
Aku mahu menghilangkan diri
Aku ingin tutup semua pintu aktiviti
Agar jiwa dapat diselimuti sunyi.

Aneh manusia itu.

Sekejap dia menjauhi sunyi
Sekejap dia mencintai sunyi.

Atau apa manusia itu?

Adakah ia sekadar penat
Atau mungkinkah masanya telah tiba
untuknya menutup mata
biarlah dunia dengan putarannya
dan aku dengan kesunyiannya.

Isnin, 3 Februari 2020

Goodreads & Falsafah Membaca



Saya akui antara benda yang memotivasikan saya untuk membaca adalah Goodreads.com, yang sekarang dimiliki oleh Amazon selepas Amazon membeli Goodreads pada tahun 2013. Goodreads membolehkan kita menanda buku yang kita telah beli, tanda berapa muka surat kita sudah baca, juga berikan review dan pandangan terhadap buku yang kita telah baca. Jika buku yang kita baca tiada dalam database Goodreads, kita boleh masukkan secara manual.

Selain itu Goodreads juga buat cabaran setiap tahun, berapa banyak buku kita nak baca setahun, dan kita boleh mencabar diri dengan tentukan sendiri berapa banyak buku yang kita hendak cabar diri kita untuk baca. Selepas habis kita boleh tanda sebagai 'sudah baca', Goodreads juga akan rekod bila kita mula membaca, bila tamat. Setiap hujung tahun Goodreads akan hantar report pembacaan kita pada tahun tersebut. Goodreads juga kini keluarkan statistik, kita boleh lihat jumlah bacaan kita seiring dengan masa, per buku, atau per muka surat.

Dahulu falsafah membaca saya memang idealis, kalau boleh nak baca semua buku yang ada diatas dunia sebelum mati. Namun lama kelamaan falsafah membaca saya menjadi realis, bukan sekadar bilangan buku, tapi apa yang kita dapat dari buku tersebut. Idea dan renungan-renungannya. Jadi saya akan catatkan nota-nota apa yang saya dapat. Sudah tentu proses ini melambatkan pembacaan, tetapi pembacaan menjadi lebih bermakna dan bermanfaat.

Kalau dahulu saya akan cabar diri membaca 20 buku setahun, sekarang mungkin dalam 10 buku sahaja. Kerana kita akhirnya akan mati juga sebelum sempat baca semua buku yang ada. Mungkin juga selepas ini saya akan cabar diri baca satu buku sahaja setahun untuk membaca karya-karya yang tebal dan berat seperti buku Robert Fisk The Great War for Civilization.

Sabtu, 1 Februari 2020

Usrah yang melalaikan: Jawapan buat Benz Ali



Jean-Paul Sartre menulis bahawa jika anda dikritik oleh kedua-dua belah pihak, diatas teks yang sama, ini adalah beberapa petanda bahawa anda berada di pihak yang betul. Apabila golongan Islamis membaca buku saya mereka mengatakan bahawa saya mungkin jatuh ke lembah kesesatan, malah terkejut dengan contoh dan buku komunis yang saya petik. Apabila golongan kiri membaca buku yang sama mereka mengatakan ia tepu dengan nilai ke-usrah-an. Saya tidaklah beranggapan saya sahaja yang benar, tetapi jika ujian Sartre ini diambil kira, saya kira sedikit sebanyak saya telah menjalaninya.

Tulisan ini bertujuan menjawab kritikan bahagian dua yang ditulis oleh komrad yang dikasihi, saudara Benz Ali dalam artikelnya di blog Republikbuku yang bertajuk 'Usrah yang melalaikan – Kritik pada buku Berfikir Tentang Pemikiran'. Artikel beliau banyak mengulangi hujah dari satu artikel yang ditulis 13 tahun lalu oleh Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah'. Oleh kerana saya telah menjawab artikel itu dengan artikel saya yang bertajuk 'Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah', dalam artikel ini saya tidak akan mengulanginya. Cukuplah pada pendapat saya artikel saya itu menjawabnya, saya juga kira buku saya itu bukan sekadar menyentuh usrah sahaja. Jika ada fikiran baru, saya akan meng-update artikel tersebut.

Sebaliknya tulisan ini akan cuba menjawab persoalan lain yang di bangkitkan oleh Benz Ali mengenai  buku saya, yang pada saya menarik untuk sama-sama kita renungkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Benz Ali kerana sudi membaca dan mengkritik tulisan saya, seperti yang saya tulis di portal Borneo Komrad dalam artikel bertajuk 'Harga Sebuah Kritikan', kritikan itu berharga kerana ia adalah sarana pengembangan ilmu. Semoga proses ini mengembangkan lagi ilmu saya, juga ilmu saudara Benz Ali. Walaupun beliau kecewa dengan seratus mukasurat pertama, tidak mengapalah kerana saya tidak dapat memuaskan hati semua orang, buku itu juga tidak ditulis untuk memuaskan hati sesiapa, ia adalah renungan jujur saya, saya berterima kasih kepada beliau kerana jujur dalam mengungkapkan perasaannya.

Berkenaan dengan pembacaan buku sastera, saya akui ini merupakan salah satu kelemahan saya. Saya lebih cenderung membaca buku-buku non-fiksyen jadi anda tidak akan temui petikan Dostoevskiy dalam buku tersebut. Saya juga tidak membaca Tolstoy tetapi ada memetik buah fikir Tolstoy yang saya ambil secondary reference dari tulisan Michael Lewis dalam bukunya 'The Big Short'. Saya ada membeli buku Dostoevskiy dan Tolstoy dalam bahasa Rusia dari kedai buku Dom Knigi di Nevskiy Prospekt, St. Peterburg, namun sehingga hari ini belum membacanya. Saya juga ada membeli karya lengkap Leon Trotsky bertajuk 'The History of the Russian Revolution' tetapi juga masih belum sempat dibaca buku tebal tersebut. Saya ada membaca buah fikir Trotsky dan Lenin dari secondary source tulisan Paul D'Amato dalam bukunya yang bertajuk 'The Meaning of Marxism', tetapi saya membacanya setelah buku saya diterbitkan, jadi ia tidak disentuh dalam buku itu. Mungkin kebelakangan ini baru mula membaca karya-karya sastera, seperti novel-novel Khaled Hosseini, juga bertatih membaca puisi-puisi Rumi.

Buku Dostoevsky dan Tolstoy yang dibeli di Dom Knigi (Rumah Buku) di Nevskiy Prospekt, St. Petersburg, Russia.

Suka saya sebutkan, buku yang saya tulis itu diterbitkan pada suatu masa tersebut, jadi ia terbatas kepada pengalaman dan buku yang saya baca pada masa tersebut. Ia mempunyai skop, tentulah ia tidak boleh atau tidak sempat memuatkan semua buku yang dicadangkan. Namun saya terbuka untuk membacanya, tiada masalah, walaupun Fathi Aris Omar menuduh 'manusia usrah' itu tidak rencam bacaannya, saya akan cuba mendapatkan buku-buku yang dicadangkan dan membacanya perlahan-lahan.

Bekenaan dengan mengajar konsep ketuhanan disebut sebagai doktrinisasi, jika kita membaca buku keibubapaan, buku Jamie Glowacki contohnya, kita akan dapati bahawa kanak-kanak di awal usia masih belum mampu berfikir secara logik dan rasional. Oleh sebab itu kadang kala, jika anda berpengalaman sebagai ibubapa, ada kehendak mereka yang sukar diterima logik akal, contohnya memasukkan taik cicak ke dalam mulut, atau ingin keluar berjalan di taman jam 11 malam. Anak-anak itu memang dilahirkan kosong. Maka apa sahaja yang diajar adalah doktrinisasi, jika diajar sains ia adalah doktrin sains, jika diajar agama ia adalah doktrin agama, jika diajar ateis ia adalah doktrin ateis, jika diajar makan nasi ia juga adalah satu doktrin, kenapa tidak makan roti? atau spegeti? Kenapa tidak beri mereka pilihan? Glowacki mengatakan adalah tugas ibubapa menentukan perkara-perkara  diawal usia kerana mereka tidak mampu untuk buat pilihan pun. Hendak suruh mereka cari sendiri? Membaca pun belum pandai, apatah lagi mengkaji kepelbagaian di internet. Jadi tidak timbul soal doktrin.

Agama apa yang perlu diajar? Konsep ketuhanan mana? Tentulah apa yang dirasakan benar oleh ibubapanya. Dalam Islam sendiri nabi mengatakan ibubapa yang akan mencorak anak tersebut untuk menjadi Nasrani, Yahudi, atau Muslim. Itu adalah sifat natural. Apabila mereka sudah besar, sudah boleh membaca, mencari, menganalisa, maka terpulanglah kepada mereka untuk menentukan sendiri apa yang dirasakan benar. Mereka boleh membaca buku-buku Benz Ali dan artikel Fathi Aris Omar, mereka juga boleh membaca buku Maududi dan Al-Banna jika mereka mahu, atau menonton siri Young Sheldon.

Berkenaan dengan Young Sheldon. Babak kegemaran saya adalah ketika Sheldon berdebat dengan Pastor Jeff, selepas itu beliau menubuhkan agamanya sendiri yang digelar "Mathology" dimana satu-satunya dosa dalam agama beliau adalah kebodohan. Saya gelak besar melihat babak tersebut. Saya kira saya punya sedikit persamaan dengan Sheldon, walaupun Sheldon ateis dan saya digelar sebagai 'manusia usrah', kami masing-masing meminati Carl Sagan. Ketika Halloween, semua orang memakai kostum masing-masing dan Sheldon memilih untuk memakai kostum seperti Carl Sagan. Buku pertama Sagan yang saya baca adalah 'Pale Blue Dot' ia sememangnya satu buku yang sangat mengesani pemikiran dan membuatkan pembaca jatuh cinta pada sains. Saya ada juga ada beberapa kali menulis ulasansaya berkenaan dengan karya Sagan. Jika saya bosan saya sering mendengar audio pendek Sagan berkenaan dengan bumi, hingga kawan-kawan menasihati saya move on dari pemikiran Sagan. Saya ada membeli bukunya yang kedua 'Cosmos', tapi belum sempat dibaca. Dalam buku tersebut juga saya ada menyentuh buah fikir Sagan, pasti Sheldon boleh relate dengan bahagian yang saya tulis tersebut. Jadi, adakah ini melayakkan saya untuk menjadi anak usrah Benz Ali?

Kemudian persoalan adakah kualiti umat Islam lebih baik atau orang putih?

Soalan ini pada saya berbentuk umum. Apa yang dimaksudkan dengan ‘kualiti’ dan ‘baik’? Adakah yang dimaksudkan dengan kualiti dan baik ini dari sudut ekonomi, penguasaan politik, kualiti hidup, atau apa? Secara ekonomi, ada yang cemerlang, ada yang baik, dan ada yang sangat mengecewakan. Dari segi penguasaan politik, ya, sangat lemah, itulah juga naratif yang cuba dibawa oleh kebanyakan gerakan Islam, dalam membina kesatuan semula yang kini dipisah dengan semangat negara bangsa. Namun jika dikatakan secara umum bahawa keadaan umat hari ini lemah, ya, saya sangat bersetuju, kita dalam banyak aspek tertinggal dibelakang. Namun adakah kelemahan ini disebabkan usrah? Atau kepercayaan pada Tuhan dan Nabi? atau pergi haji? Bagi saya tidak. Malah bagi saya usrah, kuliah buku (Kubu), atau apa sahaja bentuk-bentuk diskusi bukan masalahnya, ia bukan sarang pembodohan tetapi medan perjumpaan dan diskusi. Masalah yang lebih besar mungkin penagihan dadah, pendidikan yang tidak menyeluruh kepada semua segmen masyarakat, kemiskinan, kelemahan pentadbiran, juga kelemahan kesatuan antarabangsa.

Juga jangan kita lupa, 'kualiti' orang putih itu banyak merupakan hasil yang dijarah dari negara-negara kolonial. Kemajuan ekonomi itu dicapai dengan pelbagai jenis penindasan, baik penindasan pekerja domestik, juga penguasaan secara paksaan dari tanah-tanah jajahan, koloni, juga perhambaan. Setelah mereka maju mereka mendabik dada mereka mempunyai kemajuan dari segi ekonomi dan ketinggian moral, namun mereka tidak perkatakan berkenaan dengan negara-negara yang mereka jarah. 

Akhir sekali, sebagai penutup kepada siri jawapan kali ini, jika Benz Ali kecewa dengan buku saya itu, saya juga sedikit kecewa dengan ulasan beliau apabila beliau menyebut “ini yang aku harapkan dan nak dengar..” kerana seolah-olah dalam pembacaannya, dia sudah membentuk apa yang dia ingin percaya. Ini juga yang dikritik oleh Tolstoy, yang mana rangkapnya ada saya petik dalam buku saya tersebut dari buku Michael Lewis. Kata Tolstoy:

“The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intelligent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him.”

Tetapi ia bukanlah kekecewaan yang besar, kritikan-kritikan tajam beliau lebih besar harganya dari kekecewaan kecil ini, pemikiran merupakan satu perjalanan bagi saya, tentulah kritikan-kritikan ini akan menjadi sebahagian dari proses pembentukan fikir saya, untuk itu saya ucapkan terima kasih buat beliau yang sudi duduk membaca dan menulis perihal masalah-masalahnya.

Ahad, 26 Januari 2020

Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah


Beberapa kali saya mengulang baca artikel karangan Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah' yang diterbitkan kira-kira 13 tahun yang lalu. Artikel ini dikirim oleh sahabat saya Benz Ali, mungkin sebagai hujahnya dalam mengkritik buku saya yang baginya begitu tepu dengan nilai ke-usrah-an. Tidak mengapa pun untuk beranggapan begitu, kerana setiap orang punya pengalaman dan pandangan yang berbeza. Jadi atas hak yang sama, saya ingin juga kirimkan pandangan dan pengalaman saya. Untuk tidak kedengaran didactic, ingin saya tintakan bahawa tulisan ini boleh sahaja diterima, atau dibuang sekiranya dirasa tidak berguna.

Saya ingin mulakan penulisan panjang pada malam ini dengan sembang saya bersama Francis, setelah penat menarik pengunjung di Pesta Buku KL 2019 untuk mengenali karya tulisan kami, saya dan Francis duduk disebuah warung bersebelahan Sungai Gombak yang berwarna coklat seperti teh tarik. Kami bersembang berkenaan bahan bacaan, antaranya tulisan-tulisan Chomsky. Bagi Francis tulisan Chomsky membawa naratif gerakan kiri lama, begitu juga gerakan kiri di Malaysia yang bagi Francis masih mengambil model-model lama. Saya tidak begitu setuju dengan pandangan beliau pada ketika itu, tetapi hari ini saya merasakan getusan rasa Francis itu ada benarnya. Begitu juga dengan gerakan Islam, saya kira kadang kala terlalu rigid dengan model lama. Bukan saya tidak pernah merasakan perlunya ada pembaharuan pada sistem fikir gerakan Islam. Saya pernah juga mengutarakan bahawa perlu ada pemahaman baharu bagi kesesuaian dengan latar dan geografi kita, bukan sekadar mencedok secara literal teks-teks lama yang ditulis pemikir di era kolonial, contohnya idea-idea dalam Milestones tulisan Sayyid Qutb, kegagalan mengagaskan pemahaman baru bakal menyebabkan pergerakan Islam hilang relevannya. Namun tulisan saya itu lebih bermaksud menyuntik nafas baru, berbanding meninggalkannya.

Setelah membaca artikel Fathi Aris Omar itu, faham saya pengalaman usrah beliau adalah bersama JIM atau bentuk-bentuk JIM sebelum atau selepas berlaku perpecahan dalam gerakan Islam. Penglibatan beliau adalah di era 80-an dan 90-an. Saya pula mengikuti usrah di abad baru dan tidak bersama dengan JIM, jadi saya kira saya tidak layak untuk membela gerakan yang saya tidak duduk di zamannya. Saya generasi yang terkemudian, bersama selepas era 'pergaduhan' gerakan Islam telah sejuk dan abu-abunya telah gugur. Jadi tulisan saya ini hanya mewakili pengalaman saya. Usrah seperti juga diskusi-diskusi lain, berubah mengikut zamannya, mengikut wataknya, mengikut pengisiannya, juga mengikut masalah-masalah geografinya.

Isu kemendungan pertama yang dibangkitkan oleh Fathi Aris Omar adalah usrah sebagai proses indoktrinasi. Saya kira tidak ada gunanya kita menafikan perkara ini, ya usrah ada kalanya bersifat  indoktrinasi yang cuba menanam kefahaman Islam kedalam ahli-ahlinya. Tetapi saya tidak melihat ia dari sudut yang negatif, mana-mana gerakan perlukan satu kefahaman yang sama untuk bergerak sebagai satu gerakan yang effektif. Sebelum berlaku Revolusi Rusia misalnya, sudah ada gerakan-gerakan yang menanam kefahaman perjuangan hak masyarakat pekerja, apabila adanya satu kefahaman yang sama barulah ia boleh membuahkan revolusi. Begitu juga kita lihat dalam pembentukan patriotisme dan kenegaraan, kita dihantar ke kursus Bina Negara, difahamkan dengan rukun negara, perlembagaannya, lagunya, jatanya, sistem pemerintahannya, agar terbinanya negara yang effektif. Jadi jika semua gerakan di dunia, baik yang kecil mahupun besar menjalankan proses indoktrinasi agar mereka dapat bergerak dengan effektif, jadi apakah salah bagi gerakan Islam menggunakan cara yang sama, yang natural, dalam membina gerakan mereka?

Proses ini pada sudut pandang saya, tidak lebih dari keperluan management untuk menghasilkan gerakan yang effektif. Fathi Aris Omar kemudian mengatakan proses ini tidak jauh dengan Hitlerisme, walaupun sebelum membuat persamaan ini beliau meletakkan sedikit disclaimer untuk berada di lembah yang kelihatan selamat, seolah-olah beliau hendak mengatakan bahawa "saya tidak katakan sama, tetapi kelihatan sama". Ia membuatkan saya teringat diskusi saya bersama naqib lama saya, Dr. Khairul, di Old Town White Coffee Bangi hujung tahun lalu, setelah lama terpisah, kami bersembang panjang, hingga masuk kepada teori Darwin di dalam bukunya The Origin of Species serta penyambung kalam beliau Richard Dawkins dalam The God Delusion. Jika benar usrah itu sama atau "kelihatan sama" dengan Hitlerisme mungkin kami yang berbincang idea diluar kerangka Islam ini sudah mati ditembak firing squad atau dicampak ke gulag atau mati dalam gas chamber di ghetto yang disediakan oleh pendokong usrah. Ya, ia kedengaran kelakar. 

Artikel Fathi Aris Omar ini juga terdapat banyak paradoks dalam masa dia mengkritik paradoks gerakan Islam. Sebagai contoh, beliau menulis bahawa gerakan Islam sebagai "dunia hingusan dan syok sendiri", kemudian pada perenggan yang terkemudian, beliau memuji rekod beliau sendiri sepanjang era usrah sebagai "bersih, kalaupun enggan disebut cemerlang". Kelihatan dia pula yang jatuh ke dalam lembah paradoks dan syok sendiri. Pada satu perenggan dia menulis bahawa dia tidak membayangkan bahawa usrah itu sama dengan kesesatan, namun pada ketika lain dia menulis bahawa terdapat "orang-orang tua yang telah jauh disesatkan oleh usrah". Saya bertambah bingung, seolah-olah penulis tidak dapat membuat pendirian yang tetap, mindanya sendiri keliru, jika sesat bukankah lebih baik disebut dengan explicit tanpa perlu ada disclaimer atau hujahan berpusing-pusing, hujah penuh paradoks yang tidak membantu.

Pada pandangan saya, penulis ketika cuba untuk menyuruh manusia berfikir, lama kelamaan beliau menjadi seperti apa yang dia kritik sendiri. Contohnya ketika beliau menulis perihal ingin mengharamkan buku-buku Hassan Al-Banna dan Yusuf Qaradawi kepada anak-anak usrahnya. Mungkin beliau boleh mengambil alih tugas Kementerian Dalam Negeri yang suka mengharamkan buku. Tidakkah itu juga satu paradoks? Mengajak manusia menggunakan kekuatan akal tetapi ingin mengharamkan buku? Bukankah lebih baik Fathi Aris Omar menyuruh anak-anak usrahnya membaca sahaja, kemudian menggunakan kemampuan akal mereka dalam menapis pemikiran Al-Banna dan Qardhawi.

Saya berpandangan spektrum rasional dan dogmatik ini ada pada semua gerakan. Dalam gerakan liberal juga ada sifat dogmatik seperti mahu mengharamkan buku dan pendidikan non-liberal. Kita melihat sejarah negara-negara berfahaman ateis juga banyak bersifat dogmatik, menghalang pemikiran keagamaan menggunakan kekerasan, paksaan, dan indoktrinasi, bukan reason. Kita boleh sahaja memilih beberapa ciri dogmatik dan megabaikan sisi rasional dalam membuat generalisasi untuk memburukkan gerakan yang tidak seangkatan dengan kita. Saya merasakan proses generalisasi terhadap golongan yang mengikuti usrah ini, prejudis yang dilabelkan pada mereka tidak banyak bezanya dengan kelakuan sarjana Barat dalam mengeneralisasikan peradaban Timur sebagai mistik, exotic dan terkebelakang seperti yang ditulis oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism. Fathi Aris Omar menafikan adanya kerencaman dalam golongan yang mengikuti usrah, pada beliau mereka semua "mendung", "syok sendiri", "sesat", "zombie", "kaku", "tohor", "manusia paling bodoh", "tidak membaca buku", "tidak berbakat" dan pelbagai lagi gelaran buruk yang beliau cuba tampalkan pada manusia yang mengikuti usrah. Walhal realitinya mereka rencam sekali pemikirannya, kecenderungannya, cuma mereka memilih kesatuan kefahaman yang sama untuk bergerak dengan effektif.

Banyak lagi pengalaman-pengalaman saya bersama dengan program usrah yang begitu kontradik dengan pengalaman dan kefahaman Fathi Aris Omar. Contohnya beliau mengatakan bahawa usrah ini hanya "menarik mereka kembali kepada Al-Qur'an dan ibadah khusus", sedangkan kami selepas usrah sama-sama turun membersihkan rumah manusia dari lumpur ketika banjir, membangun sekolah-sekolah, membuka institusi pendidikan bagi golongan terpinggir seperti Bajau Laut, dan seribu satu lagi amalan kemasyarakatan lain yang menjangkaui lebih dari "ibadah khusus". Kami didoktrinkan bahawa Islam itu syumul, ibadah bukan sekadar solat, membuka rumah anak yatim juga satu ibadah.

Saya juga tergelak kecil ketika beliau menulis bahawa "usrah tidak lebih daripada tempat pembuangan manusia tidak berbakat". Saya sendiri belajar bercakap kepada awam melalui usrah. Pada mulanya, setiap kali bercakap kepada awam, muka saya akan merah, dan saya akan terus gugup dan lupa apa yang saya hendak perkatakan. Dari usrah saya belajar mengatasi ketakutan pengucapan awam saya, sedikit demi sedikit saya akhirnya berani bercakap dihadapan awam. Begitu juga ramai rakan-rakan saya yang lain, mereka mengasah bakat dalam usrah, mereka yang berbakat dalam bidang volunteerism, menjadi fasilitator dan urusetia program, apabila ke universiti mereka diangkat sebagai kepimpinan pelajar. Bakat mereka itu kebanyakannya lahir dari bulatan-bulatan usrah yang menolak mereka keluar dari zon selesa. Banyak lagi contoh dan pengalaman yang boleh diberikan, namun ia akan memberatkan penulisan ini. Tidak berbakat? Cukuplah sekadar kita sambung ketawa atas tuduhan liar ini.

Mengutuk mendung dan gelap itu mudah, tapi menyalakan lilin dan membuka payung itu lebih sukar. Jika ideologi beliau dirasakan lebih elok dan mulia, atau dalam perkataan beliau sendiri "bermutu dan tahan lama", seharusnya dia membangunkan gerakan baru untuk menyaingi gerakan yang berfikiran jumud itu, bukan menjadi "by-stander". Sebagaimana artikel dilawan dengan artikel, buku dilawan dengan buku, amal perlu dilawan dengan amal. Maka sekiranya dia berasa lebih benar, ayuh bangunkan gerakan, terjun ke medan amal membaiki masyarakat, jika gerakan Islam galak membina pendidikan dan sekolah seharusnya dia mendirikan sekolahnya, jika gerakan Islam menghantar bantuan bencana ke luar negara seharusnya gerakan beliau yang lebih mulia itu menghantar lebih banyak bantuan. Jika gerakan Islam masuk ke kampung memberi pendidikan kepada masyarakat Bajau Laut, seharusnya gerakan yang lebih benar, mulia, dan "membaca banyak buku" telah menyelesaikan masalah golongan yang terpinggir dari arus pendidikan. Apa gunanya ber-romantisme dengan ideologi dan buku-buku agung seperti Jean Paul Sartre itu tanpa ada amalan yang real dan material? Ayuh beramal, bukan sekadar mengutuk "mendung" tetapi hanya menyendiri menjadi "by-stander".

Saya sebenarnya tidak pun ingin menulis tulisan panjang ini, kerana sejak dahulu lagi prejudis terhadap mereka yang mengikuti usrah ini telah wujud, mereka dianggap kolot dan jumud, tetapi entah kenapa suasana segar malam di Bagan Datuk hari ini memberi saya semangat untuk menulis. Saya merasakan tulisan Fathi Aris Omar ini bukanlah satu gambaran keseluruhan yang jujur. Ya, gerakan Islam ada masalah-masalahnya, saya sendiri mengkritiknya dalam buku saya, tetapi bagi saya ia masih mempunyai relevansi pada hari ini, ia juga mempunyai masa depan. Bak kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam kitabnya Al-Muntalaq (Langkah Bermula), "ianya gerhana bukan tenggelamnya matahari". Saya merasakan artikel Fathi Aris Omar itu lebih kepada alasan beliau untuk meninggalkan gerakan Islam yang haraki. Keputusan itu adalah haknya, dan kita hormati (kita tidak akan hantar firing squad ala-ala Hitlerisme). Bagi beliau mungkin usrah itu sudah terlalu mendung dan perlu ditinggalkan, tetapi bagi saya dan generasi saya yang masih bersama harakah Islam, bagi kami mendungnya usrah itu akan membawakan hujan yang membasahi dan menghidupkan hati, dan selepas itu, mendung itu akan diganti dengan awan-awan baharu yang cerah dan ceria.

Sabtu, 25 Januari 2020

Asghar Ali Engineer & Benz Ali


Tulisan ini bertujuan menyampaikan dua maksud, yang pertama adalah jawapan saya terhadap kritikan Benz Ali bahagian satu terhadap buku saya 'Berfikir Tentang Pemikiran' yang disiarkan di blog Republikbuku, yang kedua, merupakan pandangan saya terhadap penulisan dan buah fikir Ashgar Ali Engineer.

Kita mulakan dengan maksud yang petama. Yang pertama, Benz Ali menyatakan bahawa dengan merujuk tokoh-tokoh dakwah seperti Maududi, Syed Qutb, dan Dr. Asri (MAZA), buku itu menjadi kurang menarik, atau dalam perkataan beliau "sudah tidak cukup steam". Saya hormati perasaan dan pandangan beliau, namun tidak diperkatakan dengan jelas permasalahan dari pemikiran tokoh-tokoh tersebut, maka tidak dapatlah saya menjawab apa yang saya kutip dan rujuk melalui pemikiran mereka. Mungkin ada kritikan-kritikan Benz kepada mereka dalam penulisan beliau dahulu, tetapi saya belum lagi sampai kepadanya.

Cuma sedikit, perihal Maududi, saya mengenali Maududi bukan di Malaysia tetapi di Rusia ketika saya masih muda dan berumur awal 20-an, dan menuntut di pengajian kejuruteraan di St. Petersburg atau nama lamanya Leningrad (Bandar Lenin). Saya bukanlah pakar dalam pemikiran Maududi, tetapi di zaman itu kami ada membaca dan membincangkan pemikiran beliau dalam diskusi-diskusi kami (yang disebut sebagai usrah oleh Benz). Antara makalah beliau yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah makalah yang bertajuk 'Shahadatul Haq' atau dalam bahasa Melayunya penyaksian terhadap kebenaran. Dan di dalamnya Maududi menekankan aspek 'amalan', ini adalah perkara yang real dan material, iaitu beramal untuk kebaikan manusia. Yang kedua Maududi menekankan bahawa dia merasakan gerakan beliau adalah yang terbaik dan benar dalam membolehkan beliau beramal, tetapi jika manusia lain merasakan sebaliknya, mereka berhak untuk bersama gerakan lain atau menubuhkan gerakan sendiri, asalkan mereka terus 'beramal'.

Kemudian perihal usrah dimana Benz menulis bahawa buku tersebut "tepu dengan nilai keusrahan". Pada mulanya, saya memang menulis buku tersebut sebagai rekoleksi saya terhadap pengalaman dan renungan saya sepanjang mengikuti program usrah. Saya tidak pasti bagaimana pengalaman Benz Ali dalam mengikuti usrah, apa pengisiannya sehingga dia sampai kepada pandangannya. Tetapi saya secara peribadi merasakan usrah sebagai antara pengisian penting dalam kehidupan saya, malah ia masih berterusan hingga ke hari ini. Saya tidak malu untuk menyatakannya, jika saya malu mungkin saya sudah buang rangkap-rangkapnya dalam buku itu sebelum saya menerbitkannya. Selain medan untuk berdiskusi, usrah bagi saya adalah tempat kita membincangkan cara untuk kita bergerak untuk melaksanakan amalan kebaikan untuk manusia, juga tempat kita berkenalan dengan manusia lain, menjalin silaturrahim. Ya betul, banyak perkara keagamaan yang dibincangkan dalam usrah, adakalanya ia bersifat rohani, namun dihujungnya biasanya ada sesi soal jawab, boleh bertanya jika tidak puas hati, dan jangan risau kita tidak akan dipukul. Saya mohon maaf jika tulisan saya itu berbunyi didactic atau patronizing, tiadalah itu niat saya yang sebenarnya.

Baik, sampai kita ke bahagian kedua. Dalam kritiknya, Benz Ali menawarkan buku Asghar Ali Engineer sebagai penawar. Jadi bahagian kedua ini saya akan menulis pandangan-pandangan saya berkenaan tulisan Asghar. Buku yang saya ulaskan bertajuk 'Islam dan Cabaran Masa Kini' hasil terjemahan Khadijah Abdullah terbitan Ikraq, Kuala Lumpur. Ikraq merupakan imprint kepada Gerakbudaya. Buku ini saya beli dari Pustaka SariDiri. Ulasan saya ini juga merupakan ulasan bersiri, ini adalah siri pertama yang hanya membincangkan bab pertama dalam buku Asghar yang bertajuk 'Asal-Usul Islam'.

Asghar memulakan bukunya dengan menerangkan perbezaan struktur sosial, satu masyarakat berbentuk nomad seperti Arab Badwi yang hidup dalam struktur kabilah dan berpuak-puak, mereka hidup dengan lebih egalitarian, sama rata antara satu sama lain, tiada pemilikan harta secara jelas kerana struktur sosial mereka yang berpindah randah, dan tiada keperluan mengumpul kekayaan. Diskripsi Asghar perihal Arab Badwi tidak banyak beza dengan apa yang di-rawi-kan oleh Glubb Pasha dalam bukunya Story of the Arab Legion, yang menyatakan sikap berkabilah itu hasil dari keperluan survival menghadapi kehidupan padang pasir yang sukar.

Struktur ini berbeza dengan struktur masyarakat Arab kota yang lebih urban, yang mana sudah menetap dan struktur sosialnya berdasarkan perdagangan yang memerlukan pengumpulan kekayaan dan perluasan keewangan. Menurut Asghar pertentangan dua sistem sosial inilah yang mencorak konflik di Mekah. Saya tidak punya masalah dengan naratif ini.

Kemudian Asghar menafsirkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mesej Islam. Beliau memaknai Kafirun sebenar adalah mereka yang menimbunkan harta dan ketidakadilan ekonomi dalam struktur masyarakat. Saya faham Ashgar cuba mengetengahkan isu keadilan ekonomi sebagai mesej Islam kerana ia lebih universal dan rentas bangsa dan agama. Saya malah bersetuju dengan sebahagiannya walaupun bukan keseluruhannya. Bagi saya keadilan ekonomi adalah sebahagian dari mesej Islam, tetapi ia bukanlah keseluruhan mesej Islam, bagi saya mesej Islam yang besar dan utama tetap men-tauhid-kan Allah, manakala naratif ekonomi adalah sebahagian dari mesej besar Islam. Hal ini dapat kita fahami dari pelbagai ayat-ayat awal dalam Al-Qur'an.

Kemudian Ashgar mengisahkan naratif bagaimana Islam di-fuedal-kan. Islam lahir dalam suasana yang egalitarian kemudian berubah feudal pada era seterusnya. Saya boleh bersetuju dengan pendapat ini, sistem feudal pada kira saya bukan dari Islam tetapi Islam beradaptasi sesuai dengan sistem politik pada zaman tersebut. Tetapi untuk mengatakan "Islam .. sifatnya sebagai pembela luput dan bertukar menjadi kuasa yang menindas" saya melukis garisan disini. Bukan kita tidak mengiktiraf bahawa penguasa beragama Islam boleh berlaku zalim, bahkan kita mengiktiraf kezaliman penguasa meskipun dia Islam. Jika sejarah Islam ada raja dan penguasa yang zalim kita perlu jujur dengan sejarah itu. Tetapi saya tidak menerima bahawa kezaliman itu dari Islam, sebaliknya ia adalah dari kelemahan manusia, walaupun manusia itu memakai jenama Islam.

Asghar kemudian menyatakan sikap ulama-ulama tauhid dan syari'at pada zaman fuedal ini mengkanunkan hukum-hukum yang rigid dan jumud, yang kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya dan diterima dengan taklid buta, bagi Asghar ia adalah satu 'kerosakan'. Dalam hal ini, saya kira ulama terdahulu melaksanakan tugas sesuai dengan zamannya, saya lebih cenderung menggunakan terma kesilapan dan ke-khilaf-an berbanding kerosakan. Maka menjadi tugas ulama di zaman baru ini untuk mentafsir mengkanunkan fatwa baru sesuai dengan zaman yang kita hidup hari ini.

Jika berkesempatan, ulasan buku Ashgar Ali Engineer ini akan saya kupas lagi di masa-masa hadapan.

Jumaat, 24 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 27: Hubungan Ibu dan Anak


Mungkin ini kali terakhir saya mencoret nota parenting dari buku tulisan Jamie Glowacki, sudah terlalu lama saya rasa saya membacanya, merenung nasihat-nasihatnya, tiba masa untuk meneruskan perjalanan dan mengutip mutiara di tempat yang lain pula. Buku ini perlu saya tutup dan simpan buat sementara waktu.

Untuk kali yang terakhir ini saya ingin berkongsi satu dari perkara yang saya dapat dari buku ini, iaitu peihal hubungan ibu dan anak. Jamie mengungkapkan, dan saya rasa ia juga terjadi dalam realiti keibubapaan kita, dimana para ibu merasakan ayah lebih effektif, anak mudah sahaja mendengar arahan dari ayahnya dan melaksanakannya tanpa banyak soal. Tetapi tidak kepada arahan ibu, seolah ada sesuatu yang hilang dalam hubungan ibu dan anak.

Jamie menyatakan sebab dari perkara ini berlaku adalah kerana sifat ayah yang kurang bercakap. Mereka akan bercakap sedikit tetapi terus kepada maksud, tidak berpusing-pusing, tidak perlu kepada teka-meneka, dan yang paling penting tegas dan sering maksudkan apa yang dia kata. Jika ayah kata tiada video, mereka mengotakan katanya, membuatkan anak-anak faham dan yakin sebarang kata-kata ayah, dia akan betul-betul laksanakan apa yang dia ungkapkan. 

Para ibu pula menurut Jamie, mempunyai rasa kasihan dan kasih sayang yang banyak. Sering sahaja dalam memberi arahan, para ibu akan memberi huraian dan diceritakan perkara yang tiada kena mengena dengan arahan. Menjadikan sesuatu arahan kedengaran kompleks dalam fikiran anak-anak, sukar ditafsir dan dibuahkan kepada bentuk perbuatan.

Saya kira apa yang diperkatakan Jamie ada benarnya, walaupun bukanlah mungkin 100 peratus, mungkin ada sebahagian dari para ibu yang memberi arahan ringkas dan mudah tanpa huraian kepada anak-anak membuatkan mereka effektif, tetapi jumlah mereka masih sedikit dan tidak dominan dalam masyarakat. Jadi mungkin ayah itu berkesan bukan disebabkan oleh satu kuasa fenomena yang istimewa, cuma mereka memberi arahan ringkas, tegas, dan maksudkan apa yang dia katakan, membuatkan anak-anak senang menangkap maksudnya dan melaksanakannya ke dalam bentuk perbuatan.

Rabu, 22 Januari 2020

Oh Crap! I Have a Toddler


Buku ini merupakan buku yang pertama saya habiskan bacaan pada tahun 2020, saya mula membaca pada bulan Oktober 2019, jadi agak lama bagi buku yang hanya bermuka surat sebanyak 300 mukasurat. Sebenarnya ia bukanlah buku yang pertama, buku pertama adalah buku teks ICS. Sahaja saya baca dengan perlahan kerana saya bukan mahu sekadar membaca, saya juga ingin merenung nilai dan idea yang dibawa, juga cuba mengaplikasikannya ke dalam sistem parenting saya pula.

Buku ini saya kira realis – bukan lagi berlegar di medan teori atau retorika, Jamie sendiri sering mengulang, jika sesuatu itu tidak dapat mencapai objektif, ia perlu ditukar. Kita kadang-kadang terlalu takut dalam membesarkan anak-anak, kerana menanggap kesilapan mendidik anak-anak tidak dapat dibaiki semula di kemudian hari. Tapi kata Jamie, tiada siapa yang lebih mengenali anak kamu melainkan kamu sendiri, jadi kamu adalah ‘pakar’ dalam menjaga anak kamu.

Bahasa yang digunakan ada ketikanya sedikit kasar, sedikit pasar, tetapi apa yang penting adalah praktikalitinya. Saya faham, buku parenting sering bercanggah antara satu sama lain, buku ini kata ini, buku itu kata itu, tetapi saya kira kita tetap perlu banyak membaca buku parenting kerana ia adalah reminder dan peringatan tentang fasa kehidupan yang sedang kita lalui, ia sedikit sebanyak dapat mengubati diri kita dari menjadi ‘gila’.

Jika kita membaca buku Faber & Mazlish mungkin pendekatannya adalah bercakap dengan kanak-kanak dan memberi mereka pilihan, tetapi Jamie mencabar idea ini, bukan semua perkara kita boleh beri pilihan pada anak-anak, kerana mereka belum mencapai pemikiran rasional dan berjangka panjang. Ketika masa yang kritikal seperti melintas jalan, kita tak boleh beri pilihan kepada anak untuk pegang tangan atau jalan sendiri. Jamie menekankan tentang pentingnya ibu bapa bersifat autoritatif tetapi tidak authoritarian.

Banyak konsep yang menarik seperti konsep anak yang baru belajar mengenal dunia, mengenal tubuh badan, mengenal peraturan kehidupan, yang kita kadang-kadang lupa bahawa mereka baru berada di bumi beberapa tahun, tentu sahaja banyak perkara baru yang mereka ingin cuba. Juga perihal aktiviti dan kreativiti. Kita sering menyusun masa anak-anak kita dengan padat sehingga tiada ruang untuk mereka berfikir sendiri aktiviti yang mereka boleh lakukan, menurut Jamie kebosanan adalah pintu kepada kreativiti, dan kreativiti itu merangkumi maksud yang luas. Berenang dalam lautan bedak juga satu kreativiti!

Saya juga mengagumi konsep parenting Jamie kerana beliau bukan sahaja memfokus pada anak-anak. Tetapi fokus juga harus diberi pada diri sendiri, pasangan dan hubungan suami-isteri. Kerana tanpa hubungan suami isteri yang baik, ia tidak dapat memayungi institusi yang dinamakan keluarga. Kita perlu menjaga diri kita sendiri sebelum kita mampu menjaga anak-anak. Teknik mengurus tantrum beliau juga saya kira sangat praktikal dan real.

Membesarkan anak-anak sememangnya bukan tugas mudah, tetapi Jamie mengingatkan tiada siapa yang lebih pakar berkenaan dengan anak kita melainkan kita, kita bersama mereka sejak lahir kitalah yang paling mengenal mereka, segila manapun tugas membesarkan anak-anak, Jamie menutup buku ini dengan nota optimis “you got this!”.

Isnin, 20 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 26: Lawak Kahwin Dua Yang Tidak Lawak



Kita sudah memasuki tahun 2020, rasanya lawak tentang khwin dua ini sudah boleh kita tinggalkan sebagai sejarah sahaja. Biarlah generasi baharu ini hidup dengan lawak-lawak baru yang lebih membina. 

Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan seorang teman, kami sudah berteman agak lama sejak zaman idealis era mahasiswa dahulu lagi. Kawan lama biasanya tiada hijab apabila berjenaka dan bersembang, buatlah lawak apa pun, dua-dua tak akan terasa hati. Tapi bila dia keluarkan lawak kahwin dua, entah kenapa saya tak boleh terima ia sebagai lawak, sikit pun tidak ada rasa untuk gelak.

Pertama, kita sahaja kenal isteri kita sebagai isteri. Pengorbanan yang dia lakukan untuk kita, baik dalam urusan membesar dan menjaga anak-anak, hinggalah urusan menjaga serba-serbi keluarga. Saya tak dapat bayang, walaupun se-saat saya boleh khianati pengorbanan yang isteri saya dah lakukan sepanjang kami bersama, walaupun kami baru berkahwin selama 5 tahun.

Kedua, saya katakan padanya, ada seribu satu perkara yang saya hendak lakukan dalam hidup ini, adakah yang difikirkannya hanya perempuan? Kemana hilang idealisme dan retorik-retorik kita selama ini. Saya sendiri secara peribadi banyak cita-cita peribadi yang belum tertunai, seperti ingin menjadi pelukis, ingin membuka rumah anak yatim, ingin duduk di kampung mengajar anak orang asli, ingin belanja pengemis di tepi jalan makan nasi ayam sambil bersembang pasal falsafah kehidupan, ingin temuramah nenek di kampung dan menulis sejarah keluarga dan migrasi Kaum Banjar ke Perak, dan seribu satu lagi cita-cita. Sedikit kecewa jika idealisme mudah sahaja padam, dengan lawak-lawak kahwin dua.

Ketiga, kenapa saya tak rasa lawak kahwin dua ini lawak, kerana saya sudah banyak melihat sendiri kesan kawin dua ini dalam merosakkan keluarga, kesannya pada anak-anak yang ditinggalkan dan diabaikan ayah mereka. Lawakkah? Dan perkara ini berlaku pada kawan-kawan saya disekeliling saya, ia sangat mengguris hati, tiada secebis lawak sedikit pun.

Saya tetap mengiktiraf poligami dalam Islam. Kerana bagi saya ia adalah solusi yang diperuntukkan Islam dalam membela isteri yang kematian suami, juga jika dalam keadaan sosial dimana populasi perempuan melebihi lelaki. Islam meletakkan poligami sebagai instrumen mengangkat darjat wanita, mereka mempunyai kedudukan sebagai isteri dan boleh mewarisi harta, bukan sebagai perempuan simpanan yang tiada apa-apa obligasi dari sudut perundangan dan warisan. Namun ia perlu diletak pada kadar dan keperluannya, dan semestinya kadar itu bukan suatu lawak atau bahan jenaka.

Ahad, 12 Januari 2020

Serindu malam


Apa itu rindu?
Kenapa datangnya selalu di malam waktu?
Saat tiada mentari
Yang ada hanya cahaya sunyi
Yang tergantung diluar kotak ini
Di luar tingkap hati.

Berkali kali ia datang
Berkali kali jua aku juang
Untuk menyimpan permata
Biar ia tinggal dalam kelopak mata
Namun sekalian kalinya ku tewas pada sepi
Ia pun tumpah jua ke pipi.

Aku rindu pada waktu aku sudah tidak merasa
Sudah tidak boleh dibinasa
Kerana aku sudah tiada.

Mereka memanggilnya mati
Suatu yang patut ditakuti

Mungkin mereka silap akan hal itu
Mungkin itu, itu saatnya aku
Tidak perlu lagi dihanyuti rindu
Mungkin itu..